Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Seorang berkahwin tanpa mendaftarkan perkahwinan atau perceraian. Apakah mereka berhak mendapat pusaka jika sekiranya berlaku kematian salah seorang daripada pasangan tersebut?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَانكِحُوا مَا طَابَ لَكُم مِّنَ النِّسَاءِ مَثْنَىٰ وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ

Maksudnya: “Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat.”

(Surah al-Nisa’: 3)

Dalam menjawab persoalan di atas, sejujurnya kami katakan, perkahwinan hukumnya sah apabila mencukupi segala rukunnya dan berlaku akad nikah yang sahih. Walaupun begitu, dalam kehidupan bernegara dan bermasyarakat, kita diwajibkan untuk mematuhi ulul amri yang telah menetapkan pendaftaran setiap perkahwinan sebagai bahan bukti serta beberapa tujuan lain lagi. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.

(Surah al-Nisa’: 59)

Perlu diketahui bahawa tindakan pemerintah berasaskan kepada maslahat yang ingin dicapai bagi mengharmonikan kehidupan rakyatnya. Sebuah kaedah menyebut:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya: “Polisi pemerintah itu hendaklah berasaskan maslahah terhadap rakyat.”

Para ulama menetapkan bahawa segala tindakan yang ditetapkan pihak pemerintah wajib didasari dengan maslahah dan kebaikan untuk masyarakat umum seluruhnya; iaitu rakyat yang berada di bawah tadbir urusnya. Sekiranya tindakan tersebut bertentangan dengan tujuan dan objektif yang asal, maka tindakan tersebut dianggap tidak sah dan tidak terpakai dari sudut Syarak. (Lihat Mausu’ah al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 2/308)

Justeru, menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa tindakan tersebut dengan tidak mendaftarkan perkahwinan mahupun perceraian di pejabat agama atau di mahkamah boleh mengakibatkan ternafinya hak pusaka yang sepatutnya dimiliki oleh pasangan tersebut. Ini kerana, sebarang sabitan dan pembuktian perlu ada hitam putihnya serta dokumennya. Inilah amalan yang dilakukan oleh mahkamah dan juga badan-badan berautoriti. Hal ini sebenarnya berdasarkan irsyad nabawi. Daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَوْ يُعْطَى النَّاسُ بِدَعْوَاهُمْ لاَدَّعَى رِجَالٍ أَمْوَالَ قَوْمِ وَدِمَاءِهِمْ، لَكِنَّ البَيِّنَةُ عَلَى الْمُدَّعَي وَالْيَمِينَ عَلَى مَنْ أَنْكَر

Maksudnya: “Jika manusia dibiarkan dengan dakwaan mereka, nescaya mereka akan menuntut harta-harta dan nyawa orang lain. Walau bagaimanapun, orang yang mendakwa hendaklah mengemukakan bukti dan orang yang menafikannya hendaklah bersumpah.”

Riwayat al-Bukhari (4277) dan Musllim (1711)

Imam al-Nawawi berkata, hadith ini merupakan satu kaedah yang besar daripada kaedah-kaedah hukum syara‘. Ini menunjukkan bahawa tidak diterima ucapan seseorang itu terhadap apa yang dia dakwa hanya semata-mata dengan dakwaan tersebut. Bahkan dakwaan itu perlu kepada bukti, atau pengakuan kebenaran dari pihak orang yang didakwa. Sekiranya dituntut sumpah orang yang didakwa maka boleh untuk dia berbuat demikian (bersumpah). (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 12/4)

Justeru, daftarkanlah perkahwinan supaya tidak menimbulkan masalah dan sebarang bentuk dakwaan sehingga mengakibatkan perpecahan kekeluargaan serta merosakkan hubungan silaturrahim. Ingatlah perkahwinan untuk mendapat sakinah, mawaddah dan rahmah serta ketenangan dalam hidup dan kebahagiaan. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: Dan di antara tanda-tanda (kebesaran-Nya) adalah Dia menciptakan buat kamu isteri-isteri yang berasal dari diri kamu sendiri, supaya kamu berasa tenang kepada mereka. Dan dia menjadikan di antara kamu perasaan mawadah (kasih sayang) dan juga rahmah (belas kasihan). Sesungguhnya pada yang demikian itu merupakan tanda-tanda (kebesaran) bagi kaum yang sentiasa berfikir.

(Surah al-Rum: 21)

Imam al-Qurtubi menyatakan dalam tafsirnya: Yang dimaksudkan dengan kalimah al-mawaddah dan al-rahmah adalah, perasaan yang menghubungkan di antara satu sama lain (suami dan isteri). Ibn Abbas R.Anhuma menafsirkan al-mawaddah sebagai perasaan cinta seorang suami kepada isterinya. Manakala al-rahmah pula bererti perasaan belas ehsan seorang lelaki dari mendatangkan keburukan kepada isterinya. (Lihat Tafsir al-Qurthubi, 17/14)

Kalaulah tanpa daftar, sudah tentu menyukarkan pelbagai perkara termasuklah pembahagian pusaka kerana ia berdasarkan kaedah:

نَحْنُ نَحْكُمُ بِالظَّاهِرِ، وَاللهُ يَتَوَلَّى السَّرَائِرَ

Maksudnya: “Kita berhukum dengan apa yang zahir dan Allah yang akan menguruskan apa yang tersembunyi.” (Lihat al-Tafsir al-Munir, 9/324).

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.” 43