Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana cara yang terbaik untuk membahagi pusaka jika sekiranya semua waris tidak mampu sebagai penyelesaian kerana masalah kewangan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَۚ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا

Maksudnya: Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).

(Surah al-Nisa’: 7)

Dalam menjawab isu di atas, kami katakan, pembahagian pusaka adalah kefardhuan dan kewajiban yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kepada kita disebabkan kematian. Ini bertujuan agar harta tetap digunakan kepada mereka yang berhak dan tidak terabai begitu sahaja. Benarlah firman Allah SWT:

فَرِيضَةً مِّنَ اللَّهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا

Maksudnya: (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

(Surah al-Nisa’: 11)

Dalam isu di atas, kami syorkan seperti berikut:

  • Tanyalah kepada orang yang berkeahlian untuk menjadi rujukan dalam penyelesaian isu pusaka ini.
  • Kumpulkan segala dokumen yang terkait dengan harta pusaka serta hubungan dengan waris yang berhak menerima pusaka.
  • Bincang dan syuralah dengan sebaik mungkin dengan ahli semua di mana jadikanlah mana-mana duit pendahuluan untuk penyelesaian sebagai pinjaman atau hutang yang akan diambil semula daripada harta pusaka.
  • Tetapi kebijaksanaan perlu. Janganlah wang penyelesaian lebih mahal daripada pusaka yang dibahagikan. Maka cara ini adalah tidak bijak dan tiada hikmah. Justeru, jika terjadi seperti ini, bolehlah menjual harta tersebut dengan kesepakatan keluarga dan duit tersebut dibahagikanlah mengikut nisab masing-masing.
  • Ingatlah bahawa memutuskan hubungan silaturrahim adalah antara dosa besar yang disebut oleh Imam al-Zahabi dalam kitabnya al-Kaba’ir. Benarlah firman Allah SWT:

وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ

Maksudnya: Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat;

(Surah al-Nisa’: 1)

Ibn Kathir menukilkan bahawa al-Dahhak berkata: “Bertakwalah kamu kepada Allah yang dengan-Nya kamu saling mengikat janji dan persetujuan, serta takutlah kamu daripada memutuskan silaturrahim, tetapi berusahalah untuk berbuat baik dan menyambungnya.” Pentafsiran ini adalah pendapat Ibn Abbas, Ikrimah, Mujahid, al-Hasan, al-Dahhak, al-Rabi’ dan ramai ulama’ yang lain.

Sebahagian ulama membaca ” والأرحامِ ” dengan khafadh (kasrah) sebagai athaf (sambungan) dari dhamir “بِهِ“, maksudnya kamu saling meminta satu sama lain kepada Allah dan hubungan silaturrahim, sepertimana yang dinyatakan oleh Mujahid dan selainnya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/332)

Kami akhiri perbicangan ini dengan mengajak supaya pihak keluarga sentiasa bersatu hati dalam menyelesaikan isu faraid dan bukan mengikut emosi serta kehendak hati yang dihiasi dengan sifat tamak. Syukurlah kepada Allah, walaupun nisab dan bahagian kita sedikit kerana itulah hak kita. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.