Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Terdapat di kalangan waris yang telah pun menggunakan harta si mati sebelum si mati meninggal dunia merasa takut harta tersebut jatuh ke tangan waris yang lain. Bagaimana penyelesaiannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

‏ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya).”

(Surah al-Nisa’: 29)

Ayat di atas boleh difahami bahawa, janganlah sebahagian daripada kamu memakan (mengambil) harta sebahagian yang lain dengan cara yang batil seperti sumpah yang dusta, merampas, mencuri, rasuah, riba dan lain-lain. Selain itu, janganlah kamu menyampaikan hujah-hujah yang batil kepada hakim bagi tujuan memakan harta segolongan manusia dengan cara yang salah sedangkan kamu tahu perkara itu adalah haram ke atas kamu (melakukannya). (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 29)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nasihatkan bahawa, harta merupakan amanah Allah dan kita berhak menggunakan harta tersebut jika sekirannya hak kita yang sebenar. Tetapi jika bukan milik kita, maka haram bagi kita menggunakan harta tersebut. Inilah yang sepatutnya difahami. Benarlah hadith Nabi SAW: Daripada Ibn Umar R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَ عَلَيْكُمْ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ وَأَعْرَاضَكُمْ، كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا فِي شَهْرِكُمْ هَذَا فِي بَلَدِكُمْ هَذَا

Maksudnya:Sesungguhnya Allah SWT mengharamkan ke atas kalian semua darah kalian dan harta kalian dan kehormatan kalian, sepertimana haramnya hari kalian ini, pada bulan kalian ini dan di negeri kalian ini.

Riwayat al-Bukhari (6043)

Justeru, selayaknya bagi mereka yang terambil harta si mati secara tidak sebenarnya, hendaklah menggantikan terlebih dahulu, atau jika sekiranya sebagai golongan yang berhak mendapat pusaka, maka hendaklah ditolak daripada penggunaan yang telah digunakan harta tersebut kecualilah jika yang menggunakan itu ayah kepada si mati. Hal ini berdasarkan sebuah hadith Nabi SAW: Daripada Jabir bin Abdillah R.A, katanya:

أَنَّ رَجُلا قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّه, إِنَّ لِي مَالا وَوَلَدًا وَإِنَّ أَبِي يُرِيدُ أَنْ يَجْتَاحَ مَالِي, فَقَالَ رسول الله صلى الله عليه وسلم: أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ

Maksudnya: “Bahawa sesungguhnya seorang lelaki telah berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku memiliki harta dan anak, dan bapaku ingin mengambil hartaku, maka Rasulullah SAW bersabda: “Kamu dan harta kamu adalah milik bapa kamu.”

Riwayat Ibn Majah (2291)

Marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah agar kita sentiasa mengguna harta yang hanya milik kita. Kita hendaklah redha dengan harta kita walaupun sedikit sebagaimana kata Saidina Ali, antara maksud takwa itu ialah:

الخَوْفُ مِنَ الْجَلِيْلِ، وَالْعَمَلُ بِالتَّنْزِيْلِ، وَالْقَنَاعَةُ بِالْقَلِيْلِ، وَالاِسْتِعْدَادُ لِيَوْمِ الرَّحِيْلِ

Maksudnya: “Merasa takut dan gerun kepada Allah Yang Maha Agung, beramal dengan apa yang terkandung dalam al-Quran, bersikap qana’ah dengan sedikit dan persediaan bagi hari Akhirat.” (Lihat Subul al-Huda wa al-Rasyad oleh al-Solihi al-Syami, 1/421)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”