Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Ada orang mempunyai stigma bahawa urusan pusaka ini makan tahun sehingga mengabaikan keperluan. Apa nasihat Dato’ Seri?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
فَرِيضَةً مِّنَ اللَّهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا
Maksudnya: (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
(Surah al-Nisa’: 11)
Al-Syaukani berkata: Yakni hukum-hukum pada ayat ini wajib atas kamu semua sebagai ketetapan dari Allah. (Lihat Fath al-Qadir, 1/321)
Daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَلْحِقُوا الْفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا، فَمَا بَقِىَ فَهْوَ لأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ
Maksudnya: “Serahkanlah harta-harta pusaka kepada pemiliknya. Sekiranya ada baki, serahkanlah kepada kaum keluarga lelaki yang terdekat.”
Riwayat al-Bukhari (6351)
Hadis menerangkan tentang cara pewarisan bahagian harta pusaka yang disebut dalam kitab Allah SWT, dengan cara menerangkan golongan yang berhak mewarisi pusaka. Ia juga menerangkan bahagian daripada lebihan harta yang mana tidak dijelaskan secara terperinci di dalam al-Quran yang berkaitan dengan pewaris-pewaris dan bahagian mereka. Dan juga menerangkan cara pembahagian pewarisan baki harta bagi pewaris ‘asabah yang tidak disebut dalam al-Quran secara terperinci. Apabila digabungkan hadis ini dengan ayat al-Quran tentang pewarisan maka tersusun dan lengkaplah pembahagian atau bahagian-bahagian di antara kesemua pewaris dari ashab al-Furudh dan ‘asabah. (Lihat al-Kafi Dan Tatmi al-Kafi Syarah Hadis 40,hlm.414)
Menjawab persoalan di atas, kami katakan, hukum Allah dalam pewarisan perlu diteruskan dan ditegakkan kerana ia sebaik-baik penyelesaian. Adapun tempoh lama yang memakan masa bertahun-tahun, boleh kita jimatkan jika kita merujuk kepada mereka yang berkeahlian. Benarlah firman Allah SWT:
فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.”
(Surah al-Nahl: 43)
Mengenai tafsir bagi ayat di atas, Abu Hayyan menukilkan daripada al-Zajjaj, katanya: “(Ahli Zikri) adalah umum pada setiap orang yang disandarkan dengannya ilmu.” (Lihat al-Bahr al-Muhit, 6/533).
Untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan segera, dengan bertanya kepada mereka yang berkeahlian, ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan bagi pihak waris. Antaranya:
- Sijil kematian
- Aset dan harta si mati sama ada berbentuk bangunan, saham, tanah, mahupun wang ringgit atau barangan bernilai termasuk kereta, motosikal dan lain-lain.
- Senaraikan ahli keluarga yang berhak berdasarkan hukum pusaka serta hubungan dengan si mati. Sebagai contoh, sama ada anak, suami atau isteri dan lain-lain.
- Pergilah kepada tempat yang paling mudah dan sesuai dengan pihak keluarga si mati ini bagi menyelesaikan dengan sesegera mungkin atau secepat mungkin. Insya Allah kami yakin dan percaya, hal ini dapat diselesaikan dengan baik jika mengikut kehendak yang diperlukan dalam penyelesaian pembahagian pusaka ini.
Kami katakan, sesungguhnya syariat Allah adalah unggul dan terbukti dalam pembagian pusaka dapat menyelesai kemelut serta pertelingkahan ahli waris dengan sebaik mungkin. Benarlah firman Allah SWT:
وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ ۗ وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُبِينًا
Maksudnya: “Dan tidaklah patut bagi para lelaki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah SWT dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa menderhakai Allah SWT dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata.”
(Surah al-Ahzab: 36)
Al-Nasafi ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: Jika kemaksiatan itu berupa penolakan dan keengganan untuk menerima, maka ia adalah kesesatan kekufuran. Jika kemaksiatan itu berupa perbuatan dan dalam masa yang sama menerima perintah dan meyakini kewajipannya, maka ia adalah kesesatan pada kesalahan dan kefasikan. (Lihat Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Takwil, 3/32)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ
Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”