Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Kesukaran prosedur oleh pihak yang berautoriti dalam urusan harta pusaka menyebabkan mereka enggan untuk penyelesaian pembahagian harta pusaka. Apa nasihat Dato’ Seri?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ ۚ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا
Maksudnya: “Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).”
(Surah al-Nisa’: 7)
Daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَلْحِقُوا الْفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا، فَمَا بَقِىَ فَهْوَ لأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ
Maksudnya: “Serahkanlah harta-harta pusaka kepada pemiliknya. Sekiranya ada baki, serahkanlah kepada kaum keluarga lelaki yang terdekat.”
Riwayat al-Bukhari (6351)
Menjawab persoalan di atas, kami katakan, kesukaran prosedur ini dapat diatasi dengan kita mempunyai sejumlah maklumat dan mengikut kehendak yang telah ditetapkan. Justeru, kami cadangkan dengan bertanya kepada mereka yang berpengatahuan dan berkeahlian dalam bidang ini. Kemudian, senaraikan keperluan yang akan diminta oleh pihak yang berkenaan agar tidak menjadi isu dan permasalahan ketika pelaksanaan pembahagian pusaka diberikan. Penuhi dengan selengkap-lengkapnya keperluan yang diminta terutamanya yang terkait dengan si mati, si waris dan harta benda yang dibahagikan sebagai harta pusaka.
Alhamdulillah, mutakhir ini amat banyak badan sama ada di pihak kerajaan atau swasta yang telah berkhidmat secara khusus untuk penyelesaian harta pusaka, antaranya:
- Pejabat Agama Islam Negeri
- Mahkamah Syariah
- Baitulmal Negeri
- Kemungkinan Pusat Zakat Negeri boleh membantu di samping dikirakan zakat pusaka tersebut
- Amanah Raya Berhad
- Wasiyyah Shoppe Berhad dan lain-lain.
Kami berdoa kepada Allah, mudah-mudahan urusan yang dianggap sukar ini menjadi mudah apabila mengikut saluran yang sebenarnya dan menepati kehendak serta syarat yang dipinta oleh pihak berkuasa dalam urusan harta pusaka.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ لَا سَهْلَ إِلاَّ ما جَعَلْتَهُ سَهْلاً، وأنْتَ تَجْعَلُ الحَزْنَ إذَا شِئْتَ سَهْلاً
Maksudnya: “Ya Allah! Tiada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikannya sebagai kemudahan. Dan Engkaulah yang menjadikan perkara yang sukar itu jika Engkau kehendaki dengan kemudahan.”