Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Jika sekiranya kita tidak mengetahui aset-aset yang ditinggalkan oleh si mati, bagaimana cara untuk mendapatkannya dan mengenalpasti agar harta pusaka dapat dibahagikan kepada waris?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَلْحِقُوا الْفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا، فَمَا بَقِىَ فَهْوَ لأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ

Maksudnya: “Serahkanlah harta-harta pusaka kepada pemiliknya. Sekiranya ada baki, serahkanlah kepada kaum keluarga lelaki yang terdekat.”

Riwayat al-Bukhari (6351)

Hadis menerangkan tentang cara pewarisan bahagian harta pusaka yang disebut dalam kitab Allah SWT, dengan cara menerangkan golongan yang berhak mewarisi pusaka. Ia juga menerangkan bahagian daripada lebihan harta yang mana tidak dijelaskan secara terperinci di dalam al-Quran yang berkaitan dengan pewaris-pewaris dan bahagian mereka. Dan juga menerangkan cara pembahagian pewarisan baki harta bagi pewaris ‘asabah yang tidak disebut dalam al-Quran secara terperinci. Apabila digabungkan hadis ini dengan ayat al-Quran tentang pewarisan maka tersusun dan lengkaplah pembahagian atau bahagian-bahagian di antara kesemua pewaris dari ashab al-Furudh dan ‘asabah. (Lihat al-Kafi Dan Tatmim al-Kafi Syarah Hadis 40, hlm.414)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa aset-aset si mati hendaklah dibahagikan secara faraid dan jika sekiranya seseorang itu tidak mengetahui, maka bolehlah dirujuk kepada orang yang berdekatan dengannya, yang sudah pasti mempunyai sedikit maklumat. Begitu juga, di zaman moden ini, kadang-kadang adanya peguam atau badan berlesen yang menguruskan harta pusaka si mati. Maka sudah pasti apabila dirujuk kepadanya, hendaklah dipastikan pembahagiannya dengan cara yang betul.

Begitu juga cadangan kami, apabila berlaku kematian, maka waris-waris yang berhak menerima pusaka selayaknya berhimpun dan berkumpul untuk membincangkan aset dan harta si mati. Antara langkah yang boleh diambil adalah:

  • Senaraikan tanah dan bangunan yang dimiliki oleh si mati
  • Senaraikan wang ringgit sama ada dalam bentuk tunai atau di bank, Tabung Haji mahupun dalam bentuk saham
  • Senaraikan sekali hutang-hutang si mati
  • Senaraikan harta alih si mati seperti kereta, motosikal, helikopter, yacht, barangan golf dan lain-lain.
  • Senaraikan barangan kemas dan perhiasan si mati termasuklah rantai, cincin, gelang, jam tangan, handbag dan lain-lain lagi.

Alhamdulillah, dengan perkembangan high-tech masa kini, melalui medsos juga boleh membantu dalam mengenalpasti harta si mati dan mungkin ada orang yang melihat dan boleh membantu serta mungkin rakan kongsi si mati berkenaan aset yang ada padanya atau dimilikinya.

Dalam mendapat carian tersebut, bolehlah juga merujuk kepada pejabat tanah, bank, Tabung Haji sebagai contoh dan juga carian-carian yang lain berkenaan dengan aset dan harta si mati. Inilah yang dilakukan oleh para sahabat dahulu dalam mengenalpasti harta si mati serta penyelesaian hutang si mati sebagaimana kisah al-Zubair bin al-Awwam dan hartanya. Kami telah sebut dalam buku kami bertajuk Hidup Bebas Hutang, Rezeki Tanpa Batas. Selebihnya, bertawakkallah kepada Allah. Insya Allah, ada penyelesaiannya. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”