Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan bagaimana sekiranya seseorang tidak mempunyai dokumen yang lengkap bagi urusan pusaka? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Hukum pusaka ini telah disyariatkan dalam Islam dan telah dinaskan oleh al-Quran, al-Sunnah serta ijma’ ulama’. Orang-orang yang mengingkari pensyariatan hukum pusaka adalah kafir dan keluar daripada Islam. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ ۚ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا

Maksudnya: “Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).”              

(Surah al-Nisa’: 7)

Menurut al-Qasimi, lafaz “لِلرِّجالِ” adalah ayat di atas, adalah merujuk kepada anak-anak lelaki dan kaum kerabat. Manakala “نَصِيبٌ” pula bermaksud bahagian tertentu, daripada apa yang ditinggalkan oleh ibu bapa dan kaum kerabat yang sudah meninggal dunia. Begitulah juga bagi perempuan ada bahagian daripada apa yang ditinggalkan oleh ibu bapa dan kaum kerabat, sama ada sedikit harta atau banyak harta, “sebagai bahagian yang telah ditentukan,” iaitu bahagian yang telah dipastikan dan diwajibkan untuk mereka.

Penyebutan hukum tentang perempuan secara khusus, tanpa menggabungkannya dengan hukum lelaki dalam satu ayat, bertujuan untuk menunjukkan kepentingan urusan perempuan. Ia juga memberikan isyarat sejak awal bahawa terdapat perbezaan dalam bahagian antara lelaki dan perempuan, serta menegaskan pembatalan hukum Jahiliyyah. Pada zaman Jahiliyyah, perempuan dan anak-anak tidak diberikan warisan. Mereka berkata, “Yang mewarisi hanyalah orang yang mampu menggunakan tombak, melindungi tanah air, dan memperoleh harta rampasan.”

Ayat ini juga dijadikan dalil bagi pewarisan mereka yang mempunyai hubungan kekeluargaan (zawi al-Arham) kerana mereka termasuk dalam golongan kaum kerabat yang disebutkan. Ini adalah hujah yang kukuh, dan tiada alasan bagi sesiapa yang cuba menolaknya. (Lihat Mahasin al-Ta’wil, 3/32).

Dalam menjawab bagi persoalan di atas, salah satu aspek penting dalam pengurusan pusaka ialah memastikan pewaris mempunyai dokumen lengkap berkaitan pemilikan harta. Sekiranya waris tidak menyedari atau tidak mengambil maklum tentang harta yang dimiliki oleh si mati, mereka mungkin terpaksa membuat permohonan pengurusan pusaka secara berulang, yang boleh membazirkan masa dan tenaga.

Sebagai contoh, bagi urusan di Unit Pembahagian Pusaka Kecil, waris perlu mengisi Borang A bagi permohonan pertama untuk pembahagian pusaka kecil. Namun, jika terdapat harta yang tidak disenaraikan dalam permohonan awal, waris perlu mengemukakan permohonan baharu menggunakan Borang P, menyebabkan proses menjadi lebih panjang dan rumit.

Salah satu punca utama masalah ini ialah pewaris tidak menyusun senarai harta mereka secara sistematik atau tidak menyimpan dokumen pemilikan dengan baik. Dalam sesetengah kes, waris menyedari kewujudan harta tetapi gagal menemui dokumen yang membuktikan pemilikannya. Ini menyukarkan mereka untuk mengenal pasti jumlah dan jenis harta yang ditinggalkan.

Bagi mengelakkan kesulitan ini, pewaris perlu menyediakan senarai lengkap harta yang dimiliki berserta dokumen sokongan seperti:

  • Geran tanah dan rumah
  • Perjanjian jual beli hartanah
  • Geran kenderaan
  • Penyata akaun simpanan dan pelaburan
  • Dokumen berkaitan pembiayaan atau hutang
  • Sijil takaful atau insurans

Jika waris tidak memiliki dokumen lengkap, mereka akan menghadapi kesukaran untuk membuat carian harta, terutama bagi akaun si mati yang dikawal oleh institusi kewangan di bawah peraturan perlindungan data peribadi.

Dengan adanya senarai harta yang jelas, waris dapat menganggarkan nilai keseluruhan harta yang ditinggalkan serta mengenal pasti kategori harta sama ada harta alih (seperti kenderaan dan simpanan) atau harta tak alih (seperti rumah dan tanah). Maklumat ini penting bagi menentukan agensi yang tepat untuk menguruskan permohonan pusaka dengan lebih cepat dan teratur.[1]

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami, kurniakanlah kepada kami di dunia dengan kebaikan dan di akhirat dengan kebaikan. Dan selamatkanlah kami dari azab Neraka.”

Wallahua‘lam

[1] Lihat https://efaraid.mais.gov.my/manfaat-masa-kumpul-dokumen-pemilikan-harta/ Diakses pada 3 Februari 2025