Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum ahli waris yang tidak akui harta wasiat dan hibah sehingga berlaku penganiayaan kepada penerima wasiat atau hibah tersebut?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Dalam Islam, wasiat dan hibah adalah dua bentuk pemberian harta yang diiktiraf dan mempunyai hukum yang jelas. Jika ahli waris menolak atau mengingkari wasiat dan hibah sehingga menyebabkan penganiayaan kepada penerima yang sah, maka perbuatan tersebut dianggap sebagai suatu kezaliman yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Sekiranya wasiat dibuat mengikut ketetapan syara‘ dan tidak melebihi had yang dibenarkan, ia wajib dilaksanakan oleh ahli waris. Firman Allah SWT:
فَمَنۢ بَدَّلَهُۥ بَعْدَ مَا سَمِعَهُۥ فَإِنَّمَآ إِثْمُهُۥ عَلَى ٱلَّذِينَ يُبَدِّلُونَهُۥٓ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya: “Kemudian sesiapa yang mengubah mana-mana wasiat sesudah ia mendengarnya, maka sesungguhnya dosanya hanya ditanggung oleh orang-orang yang mengubahnya; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
(Surah al-Baqarah: 181)
Imam Abu Ja‘far al-Tabari berkata, apa yang dimaksudkan dengan firman Allah di atas, sesiapa yang mengubah wasiat yang telah dibuat oleh pewasiat – daripada wasiat yang baik kepada ibu bapanya atau kaum kerabatnya yang tidak mewarisi – sedangkan orang itu telah mendengar wasiat itu, maka sesungguhnya dosa mengubah wasiat tersebut ditanggung oleh orang yang mengubahnya. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 3/396)
Begitu juga hibah, ia adalah sah selama mana memenuhi syarat seperti ijab dan qabul serta pemilikan penuh penerima. Sekiranya ahli waris menafikan atau cuba merampas harta hibah yang telah diberikan secara sah, mereka telah melakukan kezaliman dan penganiayaan, yang diharamkan dalam Islam. Allah SWT berfirman:
وَلَا تَأْكُلُوٓا۟ أَمْوَٰلَكُم بَيْنَكُم بِٱلْبَـٰطِلِ وَتُدْلُوا۟ بِهَآ إِلَى ٱلْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا۟ فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَٰلِ ٱلنَّاسِ بِٱلْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”
(Surah al-Baqarah: 188)
Ayat di atas boleh difahami bahawa, janganlah sebahagian daripada kamu memakan (mengambil) harta sebahagian yang lain dengan cara yang batil seperti sumpah yang dusta, merampas, mencuri, rasuah, riba dan lain-lain. Selain itu, janganlah kamu menyampaikan hujah-hujah yang batil kepada hakim bagi tujuan memakan harta segolongan manusia dengan cara yang salah sedangkan kamu tahu perkara itu adalah haram ke atas kamu (melakukannya).(Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 29)
Oleh yang demikian, jika berlakunya isu begini, kami mencadangkan agar saudara berusaha membawakan kes ini ke mahkamah terlebih dahulu bagi tujuan menentukan kesahihan wasiat atau hibah dan mengarahkan pelaksanaannya. Islam mendidik kita untuk sentiasa memilih jalan terbaik dalam mendepani sebarang masalah. Allah SWT berfirman:
وَإِن طَآئِفَتَانِ مِنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ ٱقْتَتَلُوا۟ فَأَصْلِحُوا۟ بَيْنَهُمَا ۖ فَإِنۢ بَغَتْ إِحْدَىٰهُمَا عَلَى ٱلْأُخْرَىٰ فَقَـٰتِلُوا۟ ٱلَّتِى تَبْغِى حَتَّىٰ تَفِىٓءَ إِلَىٰٓ أَمْرِ ٱللَّهِ ۚ فَإِن فَآءَتْ فَأَصْلِحُوا۟ بَيْنَهُمَا بِٱلْعَدْلِ وَأَقْسِطُوٓا۟ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلْمُقْسِطِينَ
Maksudnya: “Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”
(Surah al-Hujurat: 9)
Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di berkata, ayat ini mengandungi perintah untuk berdamai serta berlaku adil dalam perdamaian. Sesungguhnya perdamaian itu mungkin terjadi, tetapi bukan dengan keadilan, sebaliknya dengan kezaliman dan ketidakadilan terhadap salah satu pihak yang berselisih. Maka, ini bukanlah perdamaian yang diperintahkan. Oleh itu, tidak seharusnya memberi keutamaan kepada salah satu pihak kerana hubungan kekeluargaan, bangsa, atau sebab-sebab lain yang mendorong untuk menyimpang daripada keadilan. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 800)
Semoga Allah SWT kita dari sifat zalim dan orang-orang yang zalim di sekeliling kita, agar kita terhindar dan terselamat dari sebarang penganiayaan. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Wallahu a‘lam