Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin mendapat penjelasan daripada Dato’ berkenaan pasangan menganggap harta dipindah milik secara automatik sekiranya pasangan si mati meninggal. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:
أَلْحِقُوا الفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا، فَمَا بَقِيَ فَلِأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ
Maksudnya: “Berikanlah harta warisan kepada orang-orang yang berhak (daripada ahli waris), adapun apa yang berbaki adalah untuk pewaris lelaki yang paling hampir (dari gologan ‘asabah).”
Riwayat al-Bukhari (6737) dan Muslim (1615) dengan sedikit perbezaan lafaz.
Hadith ini bermaksud, Nabi SAW memerintahkan umatnya untuk membahagikan harta pusaka dan membahagikannya kepada mereka yang berhak menerimanya dengan pembahagian yang adil yang selari dengan perintah dan hukum Allah SWT. Oleh itu, sabda Baginda SAW, “أَلْحِقُوا الفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا” (Berikanlah harta warisan kepada orang-orang yang berhak dari kalangan ahli waris) bermaksud memulakan pembahagian dengan ashab al-furudh yang mana bahagian mereka sudah ditentukan dalam al-Kitab, al-Sunnah dan Ijma‘ umat. Berikanlah setiap seorang daripada mereka bahagiannya yang telah ditentukan secara syarak. Kemudian, apa-apa yang lebih daripada ashab al-furudh barulah diberikan kepada golongan ‘asabah. (Lihat Manar al-Qari Syarh Mukhtasar Sahih al-Bukhari, 5/321-322).
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa dalam sistem faraid, harta si mati tidak dipindahkan secara automatik kepada pasangan yang masih hidup selepas kematian. Sebaliknya, harta pusaka perlu melalui proses pengurusan yang sah mengikut hukum syarak dan perundangan sebelum ia boleh diagihkan kepada waris yang berhak.
Imam al-Nawawi berkata: Pengurusan harta peninggalan si mati dimulakan dengan membiayai kelengkapan dan pengurusan jenazahnya, kemudian diselesaikan hutang-hutangnya kemudian dipenuhi wasiatnya (hanya satu pertiga daripadanya) kemudian baharulah diberikan baki harta tersebut secara faraid kepada waris-waris yang berhak”. (Lihat Minhaj al-Talibin, hlm. 180)
Perlu diingat bahawa harta peninggalan si mati bukanlah hak mutlak pasangan yang masih hidup. Ini kerana, harta tersebut wajib dibahagikan mengikut hukum faraid sebagaimana yang telah ditetapkan dalam al-Quran dan al-Sunnah.
Allah SWT berfirman: Allah SWT:
لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ ۚ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا
Maksudnya: “Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).”
(Surah al-Nisa’: 7)
Ibn Jarir al-Tabari menyatakan bahawa: Maksud firman Allah Ta‘ala dalam ayat ini ialah bahawa anak lelaki si mati berhak mendapat bahagian daripada harta pusakanya, begitu juga anak perempuan, masing-masing memperoleh bahagian tertentu daripada harta peninggalannya, sama ada sedikit atau banyak. Bahagian tersebut telah ditetapkan sebagai suatu ketetapan yang wajib, jelas, dan ditentukan kadarnya. (Lihat Jami’ al-Bayan, 7/597)
Justeru melalui ayat di atas dapat difahami bahawa harta peninggalan si mati bukanlah hak mutlak pasangan yang masih hidup, sebaliknya ia merupakan hak semua ahli waris yang berhak menerimanya mengikut ketetapan faraid. Oleh itu, harta pusaka hendaklah diagihkan dengan adil berdasarkan hukum yang telah ditetapkan dalam al-Quran dan al-Sunnah, bagi memastikan keadilan dalam pewarisan serta mengelakkan pertikaian dalam kalangan ahli waris.
Sebagai kesimpulannya, anggapan bahawa harta pasangan yang meninggal dunia dipindah milik secara automatik adalah tidak tepat dalam hukum Islam dan undang-undang. Sebaliknya, harta perlu melalui proses pentadbiran pusaka yang sah sebelum diagihkan kepada waris mengikut faraid atau berdasarkan tuntutan yang sah seperti harta sepencarian, hibah, atau wasiat. Oleh itu, perancangan harta yang sistematik amat penting untuk mengelakkan kesulitan kepada ahli waris dalam menguruskan harta pusaka.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami, kurniakanlah kepada kami di dunia dengan kebaikan dan di akhirat dengan kebaikan. Dan selamatkanlah kami dari azab Neraka.”
Wallahua‘lam