Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah tindakan yang perlu dilakukan apabila berlaku konflik di antara isteri-isteri ketika pembahagian pusaka?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Allah SWT telah menetapkan bagi isteri, sama ada dia berseorangan atau lebih dari seorang, bahagian dari pusaka suami sebanyak satu perempat (¼) sekiranya si suami tidak meninggalkan anak, atau satu perlapan (⅛) sekiranya suami meninggalkan anak. Para isteri akan berkongsi bahagian yang telah ditetapkan secara adil dan saksama, tanpa sebarang penindasan.
Beginilah yang diajarkan oleh syara‘ sebagaimana disebutkan dalam firman Allah SWT:
فَإِن تَنَـٰزَعْتُمْ فِى شَىْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ ۚ
Maksudnya: “Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat.”
(Surah al-Anfal: 59)
Apabila berlaku perselisihan pendapat dalam sesuatu perkara agama kamu dan timbul pertikaian di dalamnya, maka kembalikanlah ia kepada Allah, iaitu carilah hukum mengenai perkara yang diperselisihkan itu daripada kitab-Nya, dan ikutilah ia. Jika tidak ditemui hukum mengenai perkara itu dalam Kitab Allah, maka carilah pula hukum tersebut dalam sunnah Rasul-Nya. Sesungguhnya, jika kita melakukan apa yang diperintahkan dalam ayat ini, nescaya kita akan memperoleh ganjaran yang besar daripada Allah SWT. Namun, jika kita mengabaikannya, maka azab yang pedih menanti. (Liha Jami‘ al-Bayan, 8/504)
Setelah pemergian suami bagi para isteri ini, ahli keluarga terdekat berperanan penting dalam membantu untuk meleraikan konflik ini agar pemergian suami tidak diakhiri dengan persengketaan keluarganya. Sesungguhnya Rasulullah SAW mengajarkan kita untuk mendamaikan hubungan dua pihak yang sedang berselisih. Ini disebutkan dalam hadith Abu al-Darda’ R.A, bahawa Baginda SAW bersabda:
أَلَا أُخْبِرُكُمْ بِأَفْضَلَ مِنْ دَرَجَةِ الصِّيَامِ وَالصَّلَاةِ وَالصَّدَقَةِ؟ قَالُوا: بَلَى. قَالَ: صَلَاحُ ذَاتِ الْبَيِّنِ، فَإِنَّ فَسَادَ ذَاتِ الْبَيِّنِ هِيَ الْحَالِقَةُ
Maksudnya: “‘Mahukah aku beritahu kalian tentang sesuatu yang lebih utama daripada darjat puasa, solat, dan sedekah?’ Mereka menjawab: ‘Sudah tentu, wahai Rasulullah.’ Baginda bersabda: ‘Mendamaikan hubungan yang renggang, kerana sesungguhnya kerosakan hubungan itulah yang mencukur (menghapuskan kebaikan)’.”
Riwayat Abu Daud (4919), al-Tirmizi (2509) dan Ahmad (27508)
Syarafuddin al-Tibi berkata, hadith ini mengandungi galakan dan dorongan untuk memperbaiki hubungan yang renggang serta menjauhi kerosakan dalam hubungan tersebut. Ini kerana usaha mendamaikan hubungan menjadi sebab untuk berpegang teguh kepada tali Allah dan mengelakkan perpecahan dalam kalangan umat Islam. Kerosakan hubungan sesama Muslim merupakan satu bentuk kerosakan dalam agama, maka sesiapa yang berusaha memperbaikinya dan menghilangkan persengketaan akan memperoleh kedudukan di sisi Allah yang lebih tinggi daripada apa yang diperoleh oleh orang yang berpuasa dan solat tetapi hanya sibuk dengan urusan peribadinya sendiri. Oleh itu, solat dan puasa dalam konteks ini harus difahami secara umum, manakala penghapus (الحَالِقَةُ) pula merujuk kepada perkara yang boleh merosakkan agama. (Lihat al-Kasyif ‘an Haqa’iq al-Sunan, 10/214)
Begitu juga, konflik sebegini boleh diusulkan ke mahkamah sekiranya ahli keluarga tidak berjaya meleraikan masalah perbalahan antara isteri-isteri si mati berkaitan hal ehwal bahagian pusaka. Hal ini bagi memastikan setiap isteri berpuas hati dengan setiap bahagian yang mereka peroleh dan tidak berlaku penindasan kepada mana-mana pihak.
Semoga isu ini berjaya diselesaikan dan tidak berlanjutan, kerana harta itu hanya bersifat sementara, manakala akhirat adalah destinasi terakhir yang kita kehendaki ganjarannya. Wallahu a‘lam
Marilah sama-sama kita membina semula hubungan yang baik dan silaturrahim sesama kaum kerabat sebagaimana yang dianjurkan oleh Allah SWT. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Firman Allah SWT:
وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ
Maksudnya: Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat;
(Surah al-Nisa’: 1)
Ibn Kathir menukilkan bahawa al-Dahhak berkata: “Bertakwalah kamu kepada Allah yang dengan-Nya kamu saling mengikat janji dan persetujuan, serta takutlah kamu daripada memutuskan silaturrahim, tetapi berusahalah untuk berbuat baik dan menyambungnya.” Pentafsiran ini adalah pendapat Ibn Abbas, Ikrimah, Mujahid, al-Hasan, al-Dahhak, al-Rabi’ dan ramai ulama’ yang lain.
Sebahagian ulama membaca ” والأرحامِ ” dengan khafadh (kasrah) sebagai athaf (sambungan) dari dhamir “بِهِ“, maksudnya kamu saling meminta satu sama lain kepada Allah dan hubungan silaturrahim, sepertimana yang dinyatakan oleh Mujahid dan selainnya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/332)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”