Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa soalan yang ditanya oleh Munkar dan Nakir?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّمَا القَبْرُ رَوْضَةٌ مِنْ رِيَاضِ الجَنَّةِ، أَوْ حُفْرَةٌ مِنْ حُفَرِ النَّارِ
Maksudnya: “Sesungguhnya kubur satu taman daripada taman-taman Syurga atau satu gaung daripada gaung-gaung neraka.”
Riwayat al-Tirmizi (2460) Kata Imam al-Tirmizi, “Hadis ini gharib. Tidak aku ketahui kecuali jalan ini.” Turut diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (8613) dan al-Dailami dalam al-Firdaus (4682). Isnad hadis ini adalah dha’if seperti yang dinyatakan oleh al-Sakhawi (Lihat al-Maqasid al-Hasanah, 359) dan al-‘Ajluni (Lihat Kasyf al-Khafa’, 2/118)
Al-Munawi menyebut: Ia berlaku sama ada secara hakikat atau majaz. Zahir daripada khabar ini bahawa azab kubur tidak terputus. Dalam banyak khabar dan athar, menunjukkan kepada terputusnya dan yang zahir adalah ia berbeza mengikut perbezaan individu. (Lihat Faidh al-Qadir, 2/167)
Syeikh Sulaiman bin Nasir berkata: Hadis ini menjadi dalil bahawa kubur terkadang menjadi cahaya bagi pemiliknya, dan terkadang menjadi satu kegelapan. (Lihat Syarh Kitab al-Jana’iz min al-Bulugh, hlm. 11)
Fitnah kubur ini berlaku secara umum bagi setiap orang mukallaf, kecuali para Nabi yang masih ada khilaf padanya. Maksud fitnah kubur adalah ujian bagi si mayat tatkala disoal oleh dua malaikat iaitu Munkar dan Nakir. (Lihat Majmu’ al-Fatawa 4/257).
Antara soalan yang akan ditanya di dalam kubur oleh Malaikat Munkar dan Nakir, ialah:
- Siapa tuhan kamu
- Apa agama kamu
- Siapa Nabi yang diutuskan kepada kamu
Hal ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada al-Barra bin ‘Azib RA, katanya: : Kami keluar bersama Nabi SAW menghantar mayat seorang lelaki daripada Ansar. Maka kami tiba di tanah perkuburan.(dan pada masa itu) kubur sedang digali liang lahadnya. Kemudian Rasulullah duduk, dan kami duduk di sekelilingnya. (suasana sangat tenang) seolah-olah ada burung di atas kepala kami. Dan di tangan baginda terdapat sebatang kayu yang dipukulnya ke tanah. Kemudian baginda mengangkat kepalanya dan berkata:
اسْتَعِيذُوا بِاللَّهِ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ. مَرَّتَيْنِ أَوْ ثَلاَثًا – زَادَ فِي حَدِيثِ جَرِيرٍ هَا هُنَا – وَقَالَ : وَإِنَّهُ لَيَسْمَعُ خَفْقَ نِعَالِهِمْ إِذَا وَلَّوْا مُدْبِرِينَ حِينَ يُقَالُ لَهُ : يَا هَذَا مَنْ رَبُّكَ وَمَا دِينُكَ وَمَنْ نَبِيُّكَ ؟…
Maksudnya: Mohonlah perlindungan daripada Allah daripada azab kubur (baginda mengucapkan sebanyak dua kali ataupun tiga kali). Sesungguhnya dia apabila mendengar tapak selipar meninggalkan kuburnya, maka dikatakan kepadanya: wahai kamu, siapa tuhan kamu, apa agama kamu dan siapa Nabi kamu?…
Riwayat Abu Dawud (4753) dan Nasaie (2001), Ibn Majah (1549) dan Ahmad (18557). Pengarang kitab Sahih Abi Dawud(4753) menyatakan hadith ini sahih
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”