Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh tafsirkan ayat Quran berkaitan Islah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Allah SWT berfirman:
إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ ۚ وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّـهِ ۚ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ
Maksudnya: “Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufiq untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali.”
(Surah Hud: 88)
Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan, lafaz “إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ” (Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku), maksudnya adalah dalam apa yang aku perintahkan kepadamu dan aku melarangmu, aku hanyalah ingin memperbaikimu dengan kemampuanku dan kekuatanku. Seterusnya lafaz “وَمَا تَوْفِيقِي” (dan tiadalah aku akan beroleh taufiq untuk menjayakannya) pula adalah bermaksud dalam meraih kebenaran dalam apa yang aku inginkan. Kemudian, lafaz “إِلَّا بِاللَّـهِ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ” (melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri) iaitu dalam segala urusanku. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/344)
Imam al-Baidhawi menjelaskan maksud ayat (إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ) adalah apa yang aku inginkan adalah mengislahkan kamu semua dalam perkara makruf dan mencegah kamu semua daripada perkara mungkar dengan sedaya upaya yang aku miliki. Perkataan (الْإِصْلَاحَ) merujuk kepada kadar yang termampu. Seterusnya, ayat (وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّـهِ) ini pula bermaksud aku tidak mendapat taufiq untuk mengatakan yang betul dan benar tanpa hidayah dan pertolongan daripada Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Baidhawi, 3/145).
Manakala Ali al-Sabuni pula ketika menafsirkan ayat di atas, menjelaskan maksudnya adalah, tidaklah aku mahu menyuruh dan mencegah kamu kecuali membawa kebaikan kepada kamu dalam kadar kemampuan yang aku miliki. Begitu juga tiada taufiq ke arah kebaikan kecuali dengan sokongan dan pertolongan daripada-Nya. (Lihat Safwah al-Tafasir, 2/39).
Selain itu, al-Maraghi juga ada menyebutkan, firman Allah SWT: “إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ”. Baginda menyambung, “Tiada apa yang aku kehendaki kecuali kebaikan dengan cara memberi nasihat dan pelajaran menurut daya dan usahaku. Aku tidak akan lalai semasa menyampaikannya kerana semua itu bukan dorongan hawa nafsuku. Ia juga bukan kerana untuk keuntungan peribadiku yang jika bukan disebabkannya, maka aku tidak akan melakukannya!” Hal ini merupakan petunjuk kemantapan akal, kebenaran, kebijaksanaan dan pembatalan baginda terhadap ejekan dan olok-olokan kaumnya. Seterusnya, keadaan itu memberinya gelaran sebagai orang yang penyantun dan berakal.
Seterusnya, firman Allah SWT: “وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّـهِ”. Taufiq bererti kejayaan dan keberhasilan dalam melakukan segala amal dan usaha yang baik. Hal itu boleh terjadi apabila orang yang melakukan usaha dan mencari jalan yang dapat menyampaikan kepada keberhasilan tersebut, di samping dia mempersiapkan sebab-sebab yang dapat memudahkannya untuk mencapainya. Kesemua itu hanya daripada Allah SWT semata-mata. Ayat ini bermaksud, Nabi Syu‘aib AS bersabda, “Taufiq yang aku peroleh sehingga sentiasa mengenai sasaran yang benar dan hak dalam segala hal yang aku lakukan atau yang aku tinggalkan, tidak lain tidak bukan hanyalah petunjuk dan pertolongan Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/3249-3250).
Menurut Sayyid Qutb: Firman Allah SWT (إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ) bermaksud melakukan kebaikan umum untuk kesejahteraan kehidupan dan masyarakat yang akan membawa kebajikan kepada setiap individu dan kelompok masyarakat walaupun sebahagian orang menyangka bahawa akibat mengikut dasar aqidah dan mematuhi prinsip-prinsip akhlak akan menghilangkan sebahagian daripada keuntungan peribadi dan peluang-peluang yang baik. Sebenarnya yang akan hilang itu hanyalah hasil-hasil pendapatan dan peluang-peluang yang kotor, namun kehilangan itu akan digantikan Allah dengan pendapatan yang bersih dan rezeki yang halal di samping melahirkan sebuah masyarakat padu, di mana para warganya saling membantu dan bekerjasama tanpa menyimpan perasaan hasad dengki, dendam kesumat dan tanpa khianat dan berseteru satu sama lain. Dan (وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّـهِ) dijelaskan dengan, “Allah SWT sahaja yang berkuasa menjayakan usaha islahku, kerana Dialah yang mengetahui niatku dan membalas segala usahaku. (وَإِلَيْهِ أُنِيبُ) kepadanya sahaja aku kembali apabila aku dilanda kesusahan dan kesulitan dan kepadaNya aku tumpukan seluruh niatku, amalanku dan usahaku. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 9/14-15).
Kami akhiri dengan doa:
يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”