Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana keadaan orang yang dapat menjawab soalan munkar dan nakir di alam kubur?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا القَبْرُ رَوْضَةٌ مِنْ رِيَاضِ الجَنَّةِ، أَوْ حُفْرَةٌ مِنْ حُفَرِ النَّارِ

Maksudnya: “Sesungguhnya kubur satu taman daripada taman-taman Syurga atau satu gaung daripada gaung-gaung neraka.”

Riwayat al-Tirmizi (2460) Kata Imam al-Tirmizi, “Hadis ini gharib. Tidak aku ketahui kecuali jalan ini.” Turut diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (8613) dan al-Dailami dalam al-Firdaus (4682).  Isnad hadis ini adalah dha’if seperti yang dinyatakan oleh al-Sakhawi (Lihat al-Maqasid al-Hasanah, 359) dan al-‘Ajluni (Lihat Kasyf al-Khafa’, 2/118)

Al-Munawi menyebut: Ia berlaku sama ada secara hakikat atau majaz. Zahir daripada khabar ini bahawa azab kubur tidak terputus. Dalam banyak khabar dan athar, menunjukkan kepada terputusnya dan yang zahir adalah ia berbeza mengikut perbezaan individu. (Lihat Faidh al-Qadir, 2/167)

Keadaan orang yang dapat menjawab soalan Munkar dan Nakir adalah seperti berikut:

  • Kuburnya dihamparkan hamparan dari syurga,
  • Dipakaikan pakaian syurga, dan
  • Dibukakan pintu menuju syurga!
  • Diharumkan kuburnya dengan bau harumnya syurga,
  • diluaskan kuburannya sejauh mata memandang.
  • Didatangkan dengan lelaki berwajah kacak, pakaiannya indah, dan wangian yang harum, iaitu amal solehnya

Antara riwayat yang menyebutkan mengenai keadaan orang mukmin yang berjaya menjawab soalan Munkar dan Nakir ialah sebagaimana hadith panjang yang diriwayatkan daripada al-Barra’ bin Azib RA, antara sabda Rasulullah SAW:

فَتُعَادُ رُوْحُهُ فِي جَسَدِهِ، فَيَأُتيهِ مَلَكَانِ فَيُجْلِسَانِهِ فَيَقُولَانِ لَهُ: مَنْ رَبُّكَ؟ فَيَقُولُ: رَبِّيَ اللَّهُ، فَيَقُولَانِ لَهُ: مَا دِينُكَ؟ فَيَقُولُ: دِينِيَ الإِسْلَامُ، فَيَقُولَانِ لَهُ: مَا هَذَا الرَّجُلُ الَّذِي بُعِثَ فِيكُمْ؟ فَيَقُول: هُوَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى اللَّه عليه وسلم-، فَيَقُولَانِ لَهُ: وَمَا عِلْمُكَ؟ فَيَقُولُ: قَرَأْتُ كِتَابَ اللَّهِ فَآمَنْتُ بِهِ وَصَدَّقْتُ، فَيُنَادِي مُنَادٍ مِنَ السَّمَاءَ أَنْ قَدْ صَدَقَ عَبْدِي فَأَفْرِشُوهُ مِنَ الْجَنَّةِ، وَأَلْبِسُوهُ مِنَ الْجَنَّةِ وَافْتَحُوا لَهُ بَابًا إِلَى الْجَنَّةِ، قَالَ: “فَيَأْتِيهِ مِنْ رَوْحِهَا وَطِيبِهَا، فَيُفْسَحُ لَهُ فِي قَبْرِهِ مَدَّ بَصَرِهِ” قَالَ: “وَيَأْتِيهِ رَجُلٌ أَحْسَنُ الْوَجْهِ حَسَنُ الثِّيَابِ طَيِّبُ الرّيحِ فَيَقُولُ: أَبْشِرْ بِالَّذِي يَسُرُّكَ، هَذَا يَوْمُكَ الَّذِي كُنْتَ تُوعَدُ، فَيَقُولُ لَهُ: مَنْ أَنْتَ؟ فَوَجْهُكَ الْوَجْه يَجِيء بِالْخَيْرِ فَيَقُولُ: أَنَا عَمَلُكَ الصَّالِحُ، فَيَقُولُ: رَبِّ أَقِمِ السَّاعَةَ، رَبِّ أَقِمِ السَّاعَةَ حَتَّى أَرْجِعَ إِلَى أَهْلِي وَمَالِي

Maksudnya: Lantas roh itu dikembalikan lagi ke jasadnya, kemudian dua malaikat mendatangi dan mendudukkannya, lalu menanyakan: “Siapa Tuhanmu?”. Dia menjawab: “Tuhanku Allah”. Keduanya bertanya lagi: “Apa Agamamu?”. Dia menjawab: “Agamaku Islam”. Keduanya bertanya lagi: “Siapakah lelaki yang diutus kepada kamu?”. Ia menjawab: “Dia adalah utusan Allah SAW”. Keduanya bertanya lagi: “Apa ilmu kamu?”. Dia menjawab: “Aku membaca kitab Allah (al-Quran), aku mengimaninya, dan aku membenarkannya”. Kemudian terdengar seruan dari langit mengatakan: “Hambaku benar, maka hamparkanlah hamparan dari syurga, pakaikanlah untuknya pakaian syurga, dan bukakanlah baginya pintu menuju syurga!”… Maka datanglah kepadanya angin sepoi-sepoi dan bau harumnya syurga, diluaskan kuburannya sejauh mata memandang. Lalu dia didatangi lelaki berwajah kacak, pakaiannya indah, dan wangian yang harum… Lelaki itu mengatakan kepadanya: “Bergembiralah dengan khabar yang menggembirakanmu, inilah hari yang dijanjikan untukmu!” Hamba itu bertanya: “Siapakah kamu? Wajahmu adalah wajah yang mendatangkan kebaikan”. Da menjawab: “Aku adalah amal solehmu”. Hamba itu lalu mengatakan: “Wahai Tuhanku, segerakanlah kiamat, sehingga aku boleh kembali bersama keluarga dan hartaku!”.    

Riwayat Abu Dawud (4754), al-Nasaie (2001) Ahmad (573). Syeikh Syuaib al-Arnout di dalam Takhrij Syarh al-Tahawiyah(573) menyatakan hadith ini sahih.

Begitu juga dengan hadith yang diriwayatkan daripada Anas RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْعَبْدُ إِذَا وُضِعَ فِي قَبْرِهِ وَتُوُلِّيَ وَذَهَبَ أَصْحَابُهُ حَتَّى إِنَّهُ لَيَسْمَعُ قَرْعَ نِعَالِهِمْ أَتَاهُ مَلَكَانِ فَأَقْعَدَاهُ فَيَقُولَانِ لَهُ مَا كُنْتَ تَقُولُ فِي هَذَا الرَّجُلِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيَقُولُ أَشْهَدُ أَنَّهُ عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ فَيُقَالُ انْظُرْ إِلَى مَقْعَدِكَ مِنْ النَّارِ أَبْدَلَكَ اللَّهُ بِهِ مَقْعَدًا مِنْ الْجَنَّةِ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيَرَاهُمَا جَمِيعًا.

Maksudnya: Sesungguhnya hamba apabila telah diletakkan di dalam kuburnya dan sahabat handainya pulang, sehingga dia masih mendengar suara selipar mereka, datanglah kepadanya dua malaikat, lalu mendudukannya, keduanya bertanya, “Apa yang engkau katakan terhadap lelaki ini iaitu Muhammad SAW?” orang mukmin menjawab, “saya bersaksi bahawa dia adalah hamba Allah dan utusan-Nya.” Maka kepadanya dikatakan, “Lihatlah tempatmu di neraka telah diganti oleh tuhanmu dengan tempatmu di syurga. Maka Nabi SAW mengatakan: “Lalu dia melihat kedua tempat itu sekaligus.

Riwayat al-Bukhari (1338) dan Muslim (2870)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”