Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah yang dimaksudkan dengan perceraian atau talaq?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ ۗ
Maksudnya: “Talaq (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah dia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”
(Surah al-Baqarah: 229)
Imam al-Mawardi menyebut dalam tafsirnya: “(Antara tafsir ayat ini) bahawa ia menerangkan bilangan talaq dan penentuannya dengan tiga kali, dan bahawa lelaki itu memiliki hak rujuk pada dua talaq dan tidak pula memilikinya pada talaq ketiga. Inilah pendapat ‘Urwah dan Qatadah.” (Lihat al-Nukat wa al-‘Uyun, 1/293).
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perceraian ialah perpisahan dan perpecahan atau perihal (kejadian) bercerai (antara suami isteri).[1] Dalam erti kata lain, perceraian yang dimaksudkan di sini adalah merujuk kepada kejadian bercerai antara suami dan isteri. Ia bermaksud menamatkan hubungan perkahwinan sama ada dengan pilihan suami atau dengan keputusan qadhi. Perceraian yang biasa kita dengar atau yang diamalkan oleh orang Malaysia ialah cerai dengan lafaz talaq yang hanya boleh dilakukan oleh suami. Ia merupakan hak suami kerana suami sahaja yang dapat melafazkannya.
Dalam bahasa Arab perceraian ini dipanggil sebagai talaq. Dari sudut bahasa, talaq bermaksud lepas dan terlepas. Manakala dari sudut syarak pula, ia bermaksud melepaskan ikatan perkahwinan dengan lafaz dan seumpamanya. Secara lebih jelas, pengertian talaq seperti mana disebut dalam al-Qamus al-Fiqhi (hlm. 230) boleh difahami seperti berikut:
- Mengangkat ikatan perkahwinan.
- Menghilangkan penguasaan terhadap isteri dengan lafaz yang jelas atau kinayah yang zahir atau dengan lafaz yang tertentu disertakan bersama niat. Hal ini sepertimana disebut oleh al-Dusuqi.
- Mengangkat ikatan perkahwinan pada masa tersebut atau akan datang dengan lafaz yang khusus atau yang mengambil kedudukannya. Inilah yang dinyatakan dalam kitab Dur al-Mukhtar (3/226). Lihat juga al-Mughni (16/192) dan Mughni al-Muhtaj (3/279).
Terdapat juga beberapa lafaz lain yang mempunyai kaitan dengan talaq, iaitu:
- Fasakh. Ia merupakan jalan keluar daripada pernikahan apabila terdapat aib-aib yang telah ditentukan syarak, dan ia memberi kesan kepada tujuan pernikahan itu. Antaranya ialah aib-aib yang menyebabkan terhalang untuk istimta‘ atau “berseronok” di antara suami dan isteri.
Secara asasnya, para fuqaha’ telah menyenaraikan beberapa aib-aib yang dibolehkan untuk membawa kepada tuntutan fasakh. Antara aib-aib dalam pernikahan ialah gila, kusta, sopak, faraj tersumbat dengan daging, faraj terhalang dengan tulang, zakar tidak boleh membesar, hasyafah (kepala zakar) terpotong. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 4/96). Namun begitu, fasakh hanyalah boleh dituntut sekiranya semua aib yang disebutkan di atas, diketahui selepas perkahwinan. (Lihat al-Taqrirat al- Sadidah, hlm. 42).
- Khulu‘. Ia bermaksud perpisahan antara suami isteri dengan sesuatu gantian (bayaran) yang diberikan oleh isteri kepada suami dengan lafaz talaq atau khulu‘. Umumnya, masyarakat Malaysia lebih maklum dengan istilah ‘tebus talaq’. Perbezaan antara talaq biasa dan khulu‘ ialah talaq berlaku dengan kehendak suami manakala khulu‘ berlaku dengan kemahuan isteri dan nekad untuk bercerai disertai dengan gantian atau pampasan. Oleh itu, dia disyariatkan untuk menebus diri daripada suaminya, dengan gantian memberi suatu kadar jumlah daripada mas kahwin yang dipersetujui bersama. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/127).
- Mutarakah. Juga dikenali dengan mufaraqah. Hal ini berlaku apabila seseorang meninggalkan isterinya dengan sebab akad fasid sebelum bersama atau selepasnya.
- Tafriq. Dengan makna pemisahan.
Justeru, berdasarkan kenyataan di atas, dapat difahami bahawa talaq adalah merupakan pembubaran ikatan perkahwinan dengan lafaz talaq atau seumpamanya, yang dilakukan menggunakan lafaz sarih (jelas) atau lafaz kinayah (sindiran). Apabila berlaku, ia menyebabkan kerosakan hubungan silaturrahim antara dua keluarga, anak-anak dan masyarakat. Ia bukanlah suatu yang manis, bahkan sangat pahit bagi mereka yang menghadapinya.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=perceraian. Diakses pada 2 Januari 2024.