Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa maksud alam barzakh yang akan kita hadapi selepas kematian?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Asal perkataan barzakh adalah benteng atau pemisah. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
مَرَجَ الْبَحْرَيْنِ يَلْتَقِيَانِ (19) بَيْنَهُمَا بَرْزَخٌ لَّا يَبْغِيَانِ (20)
Maksudnya: “Ia biarkan air dua laut (yang masin dan yang tawar) mengalir, sedang keduanya pula bertemu; Di antara keduanya ada penyekat yang memisahkannya, masing-masing tidak melampaui sempadannya.”
(Surah al-Rahman: 19-20)
Al-Syaukani menjelaskan bahawa firman Allah: بَيْنَهُمَا بَرْزَخٌ (antara keduanya ada batas) merujuk kepada suatu pemisah yang menghalang kedua-duanya daripada bercampur. Sementara itu, ayat لَّا يَبْغِيَانِ (yang tidak dilampaui masing-masing) membawa maksud bahawa setiap satu daripadanya tidak dapat melampaui atau bercampur dengan yang lain. (Lihat Fath al-Qadir, 3/263)
Banyak istilah yang digunakan oleh masyarakat bagi menggambarkan tempat penyemadian orang yang telah meninggal dunia, kadangkala disebut alam kubur, alam barzakh dan alam roh. Namun ketiga-tiga istilah tersebut mempunyai pengertian yang sama meskipun berbeza dari segi sebutan.
Menurut kamus Lisan al-Arab oleh Ibnu Manzur: Makna alam barzakh ialah suatu tempat di antara dunia dan akhirat sebelum dihimpunkan di padang Mahsyar, iaitu daripada waktu mati hinggalah dibangkitkan. Jadi sesiapa yang mati bermakna dia telah memasuki alam barzakh. (Lihat Lisan al-Arab, 3/8)
Disebut dalam Mukhtar al-Sihah: Makna barzakh ialah dinding pembatas antara dua benda. Ia juga membawa makna apa yang terdapat di antara alam dunia dan alam akhirat sejak dari waktu kematian seseorang sehingga dia dibangkitkan. Jadi siapa yang mati maka itu bermakna dia telah masuk ke dalam alam barzakh. (Lihat Mukhtar al-Sihah, hlm. 73)
Al-Jurjani dalam al-Ta’rifat berkata: Al-Barzakh (البَرْزَخ) disebut sebanyak tiga kali dalam al-Quran dan semuanya disebut dalam bentuk kata nama. Dari segi bahasa ia bermakna sesuatu atau penghalang antara dua perkara. (Lihat al-Ta’rifat, hlm. 45)
Alam barzakh adalah alam yang dilalui oleh manusia setelah meninggal dunia. Barzakh dari sudut bahasa adalah pemisah antara dua benda. Alam selepas kematian dinamakan alam barzakh. Ini kerana, ia menjadi pemisah antara alam dunia dan alam akhirat. (Lihat Safwat al-Tafasir, 2/293)
Firman Allah SWT:
وَمِن وَرَائِهِم بَرْزَخٌ إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ
Maksudnya: “…sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).”
(Surah al-Mu’minun: 100)
Imam Ibn Kathir dalam menjelaskan maksud al-barzakh dalam ayat di atas menukilkan beberapa pandangan, antaranya:
- Muhammad bin Ka`ab mentakrifkannya sebagai sesuatu antara dunia dan akhirat, bukan bersama ahli dunia yang boleh makan dan minum dan bukan bersama ahli akhirat yang menerima balasan amal mereka.
- Abu Sakhr mengatakan al-barzakh adalah kubur, bukan di dunia, bukan di akhirat.Mereka menetap di dalamnya sehingga hari dibangkitkan.
- Al-Dahhak menyebut, ia adalah satu tempoh antara kematian dan hari dibangkitkan.
- Mujahid pula memberi definisi al-barzakh sebagai penghalang untuk mereka (orang yang mati) kembali ke dunia. (Lihat Tafsir al-Quran al-`Azim, 5/494. Lihat juga Ma’alim al-Tanzil, 5/428)
Imam al-Qurtubi pula dalam menjelaskan ayat di atas menyebut bahawa barzakh itu ialah alam di antara kematian dan kebangkitan. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 6/113)
Menurut Syeikh al-Maraghi: “Di hadapan mereka terbentang sesuatu yang menghalang mereka untuk kembali ke dunia hingga ke hari Kiamat. Di sini terdapat keputusan muktamad untuk mereka berkenaan kembali semula ke dunia. Jika mereka tidak dapat kembali semula sebelum hari Kiamat, maka apalagi sesudahnya, pasti mereka tidak akan berjaya untuk kembali ke dunia selama-lamanya kerana sudah pasti setelah berlaku hari kebangkitan, seseorang itu tidak dapat kembali semula ke dunia kecuali akan tinggal di akhirat untuk selama-lamanya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/4690)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”