Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Kita sering kali mendengar khatib atau mana-mana penceramah, apabila selesai memberi ucapan, mengakhirinya dengan kalimah “wabillahi taufiq wal hidayah.” Justeru, apa perbezaan antara taufiq dan hidayah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّـهِ

Maksudnya: “Dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah.”

(Surah Hud :88)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Taufik bererti kejayaan dan keberhasilan dalam melakukan segala amal dan usaha yang baik. Hal itu boleh terjadi apabila orang yang melakukan usaha dan mencari jalan yang dapat menyampaikan kepada keberhasilan tersebut, di samping dia mempersiapkan sebab-sebab yang dapat memudahkannya untuk mencapainya. Kesemua itu hanya daripada Allah SWT semata-mata. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/3250)

Kami mulakan dengan mengemukakan perbahasan berkenaan lafaz hidayah. Al-Raghib al-Asfahani menyebut bahawa lafaz hidayah memiliki empat tingkatan, iaitu:

  • Hidayah umum, iaitu hidayah yang diberikan oleh Allah SWT kepada setiap mukallaf berupa kecerdasan akal dan sejumlah pengetahuan asas.
  • Hidayah yang berupa seruan Allah SWT terhadap manusia melalui perantaraan Rasul-Nya.
  • Taufiq, iaitu hidayah Allah SWT yang diberikan kepada semua manusia yang dapat membawanya kepada kebahagiaan.
  • Hidayah Allah SWT yang diberikan kepada para hamba-Nya sehingga di akhirat, dia dapat memperoleh syurga. (Lihat al-Mufradat fi Gharib al-Quran, hlm. 536).

Hal yang sama juga dijelaskan oleh Ibn al-Qayyim dalam Miftah Dar al-Sa’adah (1/304) yang turut membahagikan hidayah kepada empat bentuk. Kami nukilkan berserta penjelasannya seperti berikut:

  • Hidayah Umum: Hidayah ini diberikan kepada seluruh makhluk, sama ada haiwan atau manusia untuk suatu maslahat tertentu. Allah SWT berfirman:

سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الْأَعْلَى‏ الَّذِي خَلَقَ فَسَوَّىٰ‏ وَالَّذِي قَدَّرَ فَهَدَىٰ

Maksudnya: “Bertasbihlah mensucikan nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi (dari segala sifat-sifat kekurangan), – Yang telah menciptakan (sekalian makhlukNya) serta menyempurnakan kejadiannya dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya; Dan Yang telah mengatur (keadaan makhluk-makhlukNya) serta memberikan hidayah petunjuk (ke jalan keselamatannya dan kesempurnaannya).

(Surah al-A‘la: 1-3)

  • Hidayah Bayan wa Dalalah (Hidayah Penjelasan dan Petunjuk). Yang dimaksudkan di sini adalah hidayah berupa penjelasan kepada hamba dan hal ini tidak memestikan memperoleh hidayah yang sempurna. Allah SWT berfirman:

وَأَمَّا ثَمُودُ فَهَدَيْنَاهُمْ فَاسْتَحَبُّوا الْعَمَىٰ عَلَى الْهُدَىٰ

Maksudnya: “Adapun kaum Thamud, maka Kami beri petunjuk kepadanya, lalu mereka mengutamakan kesesatan dari hidayah petunjuk.”

(Surah Fussilat: 17)

  • Hidayah Taufiq dan Ilham. Hidayah ini diberikan kepada sesiapa sahaja yang Allah kehendaki, sepertimana disebut dalam ayat:

‏ وَاللَّهُ يَدْعُو إِلَىٰ دَارِ السَّلَامِ وَيَهْدِي مَن يَشَاءُ إِلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ

Maksudnya: “(Itulah dia kesudahan kehidupan dunia), dan sebaliknya Allah menyeru manusia ke tempat kediaman yang selamat sentosa, dan Dia sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya) ke jalan yang betul lurus (yang selamat itu).

(Surah Yunus: 25)

Ada juga yang diberikan hidayah berupa penjelasan, namun belum tentu memperoleh hidayah taufiq. Firman Allah SWT:

إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَٰكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَن يَشَاءُ ۚ

Maksudnya: “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya).”

(Surah al-Qasas: 56)

Ibn Kathir berkata: “Allah SWT berfirman kepada Rasul-Nya SAW: “Sesungguhnya engkau tidak berkuasa memberikan hidayah kepada orang yang engkau cintai”, maksudnya itu bukan urusanmu. Tetapi, kewajibanmu hanya menyampaikan dan Allah akan memberi hidayah (petunjuk) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 10/473)

  • Hidayah di akhirat menuju ke syurga atau neraka.

Allah SWT berfirman:

ٱحْشُرُوا۟ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ وَأَزْوَٰجَهُمْ وَمَا كَانُوا۟ يَعْبُدُونَ ٢٢ مِن دُونِ ٱللَّهِ فَٱهْدُوهُمْ إِلَىٰ صِرَٰطِ ٱلْجَحِيمِ

Maksudnya: “(Allah berfirman kepada malaikat): ‘Himpunkanlah orang-orang yang zalim itu, dan orang-orang yang berkeadaan seperti mereka, serta benda-benda yang mereka sembah – Yang lain dari Allah serta hadapkanlah mereka ke jalan yang membawa ke neraka.’”

(Surah al-Saffat: 22-23)

Al-Syaukani berkata: Allah SWT memerintahkan para malaikat untuk mengumpulkan orang-orang musyrik berserta orang-orang yang serupa dengan mereka dalam kesyirikan dan orang-orang yang sekelompok dengan mereka dalam mendustakan para rasul. Imam al-Dahhak berkata: Yang dimaksudkan dengan teman mereka adalah syaitan qarin yang selalu mendampingi mereka, setiap orang kafir akan dibangkitkan dengan syaitannya itu. (Lihat Fath al-Qadir, 6/223)

Adapun penghuni syurga:

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي هَدَانَا لِهَٰذَا وَمَا كُنَّا لِنَهْتَدِيَ لَوْلَا أَنْ هَدَانَا اللَّهُ

Maksudnya: “Segala puji tertentu bagi Allah yang telah memberi hidayah petunjuk untuk (mendapat nikmat-nikmat) ini, padahal Kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufiqNya).”

(Surah al-A‘raf: 43)

Syeikh Muhammad Mustafa al-Maraghi pula membahagikan hidayah Allah SWT untuk manusia dalam empat bentuk, iaitu:

  • Hidayah al-Ilham (petunjuk ilham), iaitu dalam bentuk naluri yang dibawa oleh setiap manusia sejak kelahirannya, seperti bayi yang baru lahir, meskipun tanpa belajar, dia dapat menyusu pada ibunya.
  • Hidayah al-Hawas (petunjuk pancaindera), iaitu berupa pendengaran, penglihatan dan seumpamanya. Namun, hidayah dalam bentuk ini belum dapat membawa manusia kepada kebenaran, kerana kemampuannya sangat terbatas. Disebabkan itu, Allah SWT menyempurnakan hidayah ini dengan hidayah akal.
  • Hidayah al-‘Aql (petunjuk akal), iaitu berupa kemampuan akal untuk berfikir, memahami dan mengetahui sesuatu, yang akan dapat membawanya kepada kebenaran dan keselamatan hidup. Al-Quran menganjurkan manusia untuk memerhatikan segala sesuatu di sekitarnya, dan memikirkan dan memahami ciptaan Allah SWT untuk memantapkan keimanannya. Namun, ia tetap memerlukan kepada hidayah al-din yang merupakan kurniaan Allah yang terbesar.
  • Hidayah al-Din wa al-Syara’i‘ (petunjuk agama dan syariat), iaitu berupa wahyu yang diturunkan Allah SWT kepada Rasul-Nya untuk disampaikan kepada umatnya atau kepada manusia seluruhnya, sebagai pedoman hidup untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Di samping hidayah umum di atas, terdapat juga hidayah yang khusus, yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada orang tertentu, yang akan menjadikan keimanan dan ketakwaan lebih mantap. Hidayah seperti ini boleh wujud dalam bentuk taufiq, ma‘unah (pertolongan Allah SWT terhadap orang beriman) dan lain-lain. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 1/29)

Di sana terdapat firman Allah SWT:

إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَـٰكِنَّ اللَّـهَ يَهْدِي مَن يَشَاءُ ۚ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

Maksudnya“Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).”

(Surah al-Qasas: 56)

Ibn Kathir menyebutkan, Allah SWT berfirman kepada Rasul-Nya SAW: “Sesungguhnya engkau tidak berkuasa memberikan hidayah kepada orang yang engkau cintai,” maksudnya itu bukan urusanmu. Akan tetapi, kewajipanmu hanya menyampaikan dan Allah akan memberi hidayah (petunjuk) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 10/473).

Tambahan lagi, guru kami, Fadhilah al-Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti turut menyebutkan, Hidayah al-Taufiq khusus untuk Allah, tidak diberikan kepada nabi yang diutuskan atau malaikat yang hampir. Justeru, Nabi Nuh A.S sendiri tidak mampu memberikan hidayah kepada anaknya, begitu juga Nabi Ibrahim A.S kepada bapanya — meskipun ada pertalian yang sangat dekat antara mereka; hubungan anak dan bapa.[1]

Selain itu, Ibn Rajab al-Hanbali ada membahagikan hidayah kepada dua:

  • Hidayah yang bersifat mujmal, iaitu hidayah kepada agama Islam dan iman. Hidayah jenis ini dianugerahkan-Nya kepada setiap Muslim.
  • Hidayah yang bersifat khusus dan terperinci, iaitu hidayah untuk mengetahui perincian cabang-cabang iman dan Islam, serta pertolongan-Nya untuk mengamalkan semua itu. Hidayah ini sangat diperlukan oleh setiap Mukmin siang dan malam.” (Lihat Jami‘ al-‘Ulum wa al-Hikam, hlm. 225).

Ibn al-Qayyim menyatakan, Allah ‘Azza wa Jalla berfirman kepada para hamba-Nya yang beriman: “Jika bukan kerana taufiq-Ku, nescaya kamu tidak dapat menundukkan hatimu kepada iman. Keterikatan kamu kepada iman bukanlah hasil usaha dan bantuan dirimu sendiri, melainkan Aku yang menjadikannya disenangi olehmu dan menghiasi dalam hatimu. Aku juga telah menjadikan kebencian kepada kekufuran dan kefasikan sebagai sesuatu yang tidak disukai olehmu.” (Lihat Madarij al-Salikin, 1/447).

Taufiq adalah salah satu perkara yang hanya dapat dicari daripada Allah SWT. Hal ini kerana hanya Dia sahaja yang dapat memberikan taufiq. Oleh itu, sesiapa yang mencarinya daripada selain Allah, dia akan terhalang (daripada mendapatkan taufiq tersebut). Hal ini adalah jelas sebagaimana firman Allah dalam ayat 56 Surah al-Qassas seperti yang kami telah sebutkan di atas.

Hidayah yang disebutkan dalam ayat 56 Surah al-Qassas itu, dinamakan oleh para ulama sebagai hidayah al-Taufiq. Allah SWT merakamkan kata-kata Nabi Syu‘aib A.S:

وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّـهِ

Maksudnya: “Dan tiadalah aku akan beroleh taufiq untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah.”

(Surah Hud: 88)

Syeikh al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan bahawa maknanya adalah, tidaklah aku berhasil mendapatkan taufiq untuk melakukan kebaikan dan menjauhi kejahatan, melainkan kerana Allah SWT dan bukannya kerana daya dan kekuatanku sendiri semata-mata. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/387).

Ibn al-Qayyim menyebutkan, orang yang ‘arif billah telah bersepakat bahawa taufiq ialah Allah SWT tidak menyerahkanmu kepada dirimu sendiri, dan orang yang tidak mendapat taufiq pula ialah apabila Dia menyerahkanmu kepada dirimu sendiri. (Lihat Madarij al-Salikin, 1/445).

Oleh sebab itu, terdapatnya bimbingan Nabawi, daripada riwayat Abu Bakrah R.A, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

دَعَوَاتُ الْمَكْرُوبِ اللَّهُمَّ رَحْمَتَكَ أَرْجُو فَلَا تَكِلْنِي إِلَى نَفْسِي طَرْفَةَ عَيْنٍ وَأَصْلِحْ لِي شَأْنِي كُلَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ

Maksudnya: “Beberapa doa bagi orang yang tertimpa musibah, ‘اللَّهُمَّ رَحْمَتَكَ أَرْجُو فَلَا تَكِلْنِي إِلَى نَفْسِي طَرْفَةَ عَيْنٍ وَأَصْلِحْ لِي شَأْنِي كُلَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ’ (Ya Allah, aku mengharap rahmat-Mu, kerana itu janganlah Engkau serahkan urusanku kepada diriku sendiri, janganlah Engkau berpaling dariku sekelip mata, perbaikilah semua urusanku, tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Engkau).

Riwayat Abu Daud (5090); Dinilai sebagai sahih dalam Sahih al-Jami‘ al-Saghir (3388)

Menurut kitab Jauharah Tauhid, pengertian taufiq ialah sesuatu yang diciptakan oleh Allah SWT yang mendorong seseorang itu untuk melakukan kebaikan jika perkara tersebut berada di dalam dirinya.

Dalam bahasa yang lain, hidayah al-taufiq dengan maksud Allah jadikan petunjuk dalam hatinya yang akhirnya dapat dilaksanakan sebarang bentuk kebaikan dan kesolehan. Justeru, kami katakan, hidayah bersifat umum sedangkan taufiq bersifat khusus berdasarkan kepada nas Ilahi bahawa taufiq dan hidayah adalah milik Allah.

Justeru, kami dapati hakikat hidayah taufiq merupakan milik Allah yang wajib kita mohon kepada-Nya.

Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya:Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

 

[1] Lihat https://www.youtube.com/watch?v=SrWs1JrIsrE. Diakses pada 26 Disember 2023.