Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah terdapat pelbagai jenis dan bentuk was-was?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ وَنَعْلَمُ مَا تُوَسْوِسُ بِهِ نَفْسُهُ
Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya.”
(Surah Qaf: 16)
Syeikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti berkata, “Dalam ayat ini, Allah SWT menjelaskan bahawa tidak ada yang tersembunyi bagi-Nya. Yang tersembunyi juga sama seperti yang zahir di sisi-Nya, dan Dia Maha Mengetahui gerak-geri hati dan apa yang zahir.” ( Lihat Adhwa’ al-Bayan, 2/170).
Waswas dari segi bahasa bermaksud suara (bisikan) halus daripada angin dan lain-lain. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 43/146).
Dari segi istilah, para fuqaha’ membahagikan takrifan waswas kepada beberapa makna, antaranya:
- Waswas bermaksud percakapan di dalam diri sendiri seperti dibisikkan ke dalam diri insan perasaan berbolak-balik samada telah melakukan sesuatu atau belum melakukan sesuatu.
- Waswas bermaksud sesuatu yang dibisikkan oleh syaitan ke dalam diri manusia.
- Waswas ialah apa yang dibisikkan ke dalam diri manusia ketika melakukan sesuatu perkara kepada tahap yang terlalu berhati-hati sehinggakan apabila telah melakukan sesuatu, dia akan mengulangi perkara itu secara berlebihan dan keterlaluan.
- Waswas ialah penyakit pada akal manusia yang apabila dia bercakap maka percakapannya adalah sia-sia. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 43/147)
Mengenai permasalahan waswas ini Allah SWT telah berfirman:
الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ (5) مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ (6)
Maksudnya: “Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia.”
(Surah al-Nas: 5-6)
Menurut al-Maraghi, bisikan was-was itu dinyatakan berada di dalam dada manusia, kerana sudah lazim dalam bahasa orang Arab mengatakan bahawa gurisan jiwa itu ada di dalam hati, sedang hati itu berada di dalam dada. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 15/7748).
Ibn al-Jauzi menyatakan, syaitan menjalankan tipu daya pada manusia ketika solat antaranya dengan cara mengganggu seseorang ketika sedang berniat untuk solat. Sebahagian mereka melafazkan “Usalli…” kemudian lalu mengulanginya kerana menyangka niatnya sudah terbatal sedangkan niatnya tidak batal. Sebahagian yang lain pula mengangkat takbir kemudian membatalkannya, lalu mengulang-ulanginya semula, maka apabila imam sudah rukuk barulah orang yang waswas itu mengangkat takbir dan rukuk bersama imam. Hal ini tidak lain tidak bukan adalah kerana iblis mahu menghilangkan kelebihan (fadhilat mendapat takbir bersama imam) bagi orang yang waswas itu. (Lihat Talbis Iblis, hlm. 169).
Menurut Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya’ ‘Ulum al-Din, waswas terbahagi kepada beberapa bahagian:
Pertama: Bisikan kepada sesuatu kebenaran. Contohnya seseorang yang berkata; “Adakah patut aku meninggalkan kelazatan dunia? Kehidupan dunia sungguh panjang dan bersabar dalam meninggalkan kelazatan dunia sepanjang hidup adalah sangat pedih.” Namun, apabila mengingati agungnya kebesaran Tuhan dan nikmatnya syurga serta pedihnya azab neraka maka dia berkata kepada diri sendiri: “Menahan diri daripada kelazatan dunia amat pedih, namun bersabar dengan seksa neraka adalah jauh lebih pedih. Tidak dapat tidak, aku harus memilih untuk bersabar dengan salah satu daripada keduanya.” Dan apabila hamba itu terkenang kepada janji-janji Tuhannya, maka datanglah imannya dan larilah waswas syaitan tersebut.
Kedua: Bisikan yang mendorong syahwat untuk melakukan maksiat kepada Allah SWT. Bisikan ini mampu dilawan dengan ilmu dan kefahaman bahawa sesungguhnya perbuatan tersebut adalah maksiat kepada Allah SWT.
Ketiga: Bisikan kepada sesuatu perkara yang berlegar-legar di dalam kepala. Bisikan itu pada perkara yang selain daripada solat. Jika seseorang manusia itu mengingati Allah, maka mampulah dia melawannya. Namun, bisikan itu akan datang semula dan hanya dengan mengingati Allah sahaja dapat mengatasi bisikan tersebut. (Lihat Ihya’ ‘Ulum al-Din, 8/1416-1418).
Kami akhiri dengan bacaan surah al-Nas:
قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ (1) مَلِكِ النَّاسِ (2) إِلَٰهِ النَّاسِ (3) مِن شَرِّ الْوَسْوَاسِ الْخَنَّاسِ (4) الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ (5) مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ (6)
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia. “Yang Menguasai sekalian manusia, “Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, “Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, – “Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, – “(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia.”
(Surah al-Nas: 1-6)