Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami dan tafsirkan ayat pertama daripada surah al-Kafirun?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Wahai orang-orang kafir!”
(Surah al-Kafirun: 1)
Surah ini dimulakan dengan kata perintah (قُلْ) bagi menekankan kepentingan ucapan selepas itu, sebuah ucapan yang ingin disampaikan kepada sekalian manusia dalam satu gaya bahasa yang khusus, dengan disebutkan secara jelas perintah untuk menyampaikan ucapan tersebut, meskipun pada hakikatnya keseluruhan al-Quran itu memang diperintahkan oleh Allah SWT agar disampaikan kepada umat Nabi Muhammad SAW.
Kemudian Allah menyeru orang kafir dalam ayat ini dengan istilah kafirun. Menurut Abu Bakar al-Anbari, kaum Quraisy terdahulu tidak suka dipanggil sebagai orang kafir kerana menurut fahaman mereka, mereka adalah kaum yang turut menyembah Allah SWT. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 30/580)
Syeikh Muhammad al-Amin al-Syinqiti menimbulkan suatu persoalan, didatangkan kata perintah (قُلْ) sedangkan pesanan yang dibawa itu sudah cukup difahami bahawa ia untuk disampaikan, akan tetapi apakah tujuan didatangkan kata perintah ini?
Dinukilkan daripada al-Fakhr al-Razi, katanya: “Kemungkinan didatangkan kata perintah ini kerana orang-orang kafir itu mempersendakan Rasulullah SAW dalam surah sebelumnya (Surah al-Kauthar): ‘Sesungguhnya Muhammad ini tidak ada penyokong.’ Maka Allah SWT berfirman: ‘Katakanlah’ sebagai peringatan bahawa Allah SWT yang menjawab bagi pihak Rasul-Nya dengan ucapan ini, mereka diseru dengan seberat-berat sifat (Kafir), Allah SWT bersabda kepada Baginda: ‘Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai orang-orang kafir!’
Atau mungkin apabila ucapan ini mempunyai sedikit perubahan yang biasa digunakan oleh mereka dalam gaya bahasa yang penuh hikmah serta peringatan yang baik, dan padanya turut ada teguran serta kritikan. Allah SWT berfirman kepada Baginda SAW: ‘Katakanlah’ sebagai peringatan bahawa Baginda SAW sebagai sekadar menyampaikan dari Allah segala apa yang diperintahkan. Kemudian disebutkan: ‘Wahai’ sebagai seruan buat mereka yang duduk berjauhan, jauh di dalam kekufuran dan kedegilan terhadap Rasulullah SAW.” (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 9/132)
Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya‘rawi berkata, Rasulullah SAW berjumpa dengan kaum Quraisy dan membacakan kepada mereka: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Wahai orang-orang kafir!’” Baginda tidak meninggalkan kalimah “Katakanlah,” agar mereka yang mendengar tahu bahawa ayat tersebut bukanlah datang dari diri Baginda sendiri.[1]
Tambahan lagi, sebahagian ulama seperti Fakhruddin al-Razi ada menyebutkan faedah yang cukup banyak berkenaan penggunaan kata perintah qul “قُلْ” ini, sehingga ia mencapai kira-kira 43 buah faedah. Di antara faedah tersebut ialah:
Pertama: Rasulullah SAW diperintahkan untuk bersikap lemah lembut dalam segala perkara, sebagaimana yang disebutkan dalam ayat:
فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللَّهِ لِنتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ
Maksudnya: “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.”
(Surah Ali ‘Imran: 159)
Begitu juga ayat:
لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.”
(Surah al-Taubah: 128)
Begitu juga ayat:
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ
Maksudnya: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”
(Surah al-Anbiya’: 107)
Kemudian Baginda SAW juga diperintahkan untuk menyeru/berdakwah kepada (agama) Allah dengan cara yang terbaik, seperti firman-Nya:
ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ
Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.”
(Surah al-Nahl: 125)
Ketika mana perintah itu sebegitu rupa, kemudian Baginda SAW memanggil mereka dengan, “يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ” (Wahai orang-orang kafir), mereka mungkin akan berkata: “Bagaimana kekasaran ini sesuai dengan kelembutan yang diperintahkan itu?” Maka persoalan tersebut dijawab bahawasanya Baginda diperintahkan untuk menyampaikan kata-kata ini, dan bukanlah ia datang dari diri Baginda sendiri. Makna daripada perkataan “Katakanlah” (قُلْ) adalah untuk memperkukuhkan maksud ini.
Kedua: Apabila dikatakan kepada Baginda SAW (sebagaimana ayat):
وأنْذِرْ عَشِيرَتَكَ الأقْرَبِينَ
Maksudnya: “Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat.”
(Surah al-Syu‘ara’: 214)
Sedangkan Baginda SAW menyayangi kaum kerabatnya seperti yang disebut dalam firman-Nya:
قُل لَّا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ أَجْرًا إِلَّا الْمَوَدَّةَ فِي الْقُرْبَىٰ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah tentang ajaran Islam yang aku sampaikan itu, (yang aku minta) hanyalah kasih mesra (kamu terhadapku) disebabkan pertalian kerabat (yang menghubungkan daku dengan kamu supaya aku tidak disakiti).’”
(Surah al-Syura: 23)
Maka hubungan kerabat dan keturunan yang sama seolah-olah menjadi penghalang bagi menunjukkan kekasaran/ketegasan. Sehubungan itu, Baginda diperintahkan untuk secara jelas menyampaikan kekasaran dan ketegasan tersebut, maka diperintahkan kepadanya: (قُلْ) “Katakanlah.”
Ketiga: Ketika Baginda SAW diperintahkan:
يَا أَيُّهَا الرَّسُولُ بَلِّغْ مَا أُنزِلَ إِلَيْكَ مِن رَّبِّكَ ۖ وَإِن لَّمْ تَفْعَلْ فَمَا بَلَّغْتَ رِسَالَتَهُ
Maksudnya: “Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu; dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusan-Nya.”
(Surah al-Ma’idah: 67)
Baginda diperintahkan untuk menyampaikan segala yang diturunkan kepadanya. Maka apabila Allah berfirman: “قُلْ ياأيُّها الكافِرُونَ” [Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Wahai orang-orang kafir!], Baginda SAW menyampaikan keseluruhan perkataan itu seperti yang diperintahkan. Seolah-olah Baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan aku untuk menyampaikan segala yang diturunkan kepadaku, dan apa yang diturunkan kepadaku adalah keseluruhan firman-Nya: ‘Katakanlah, wahai orang-orang kafir,’ maka aku juga menyampaikannya kepada manusia seperti itu.”
Keempat: Orang-orang kafir mengakui kewujudan Pencipta, dan bahawa Dialah yang menciptakan serta memberi rezeki kepada mereka, sebagaimana firman Allah SWT:
وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ
Maksudnya: “Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: ‘Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?’ Sudah tentu mereka akan menjawab: ‘Allah.’”
(Surah Luqman: 25)
Seorang hamba sanggup menerima sesuatu daripada tuannya yang dia tidak sanggup terima daripada orang lain. Jika Baginda SAW mula-mula sudah mengatakan: “يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ” (Wahai orang-orang kafir), mereka mungkin akan menganggap itu kata-kata Muhammad, dan barangkali mereka tidak akan menerimanya serta akan menyakitinya. Akan tetapi apabila mereka mendengar perkataan, (قُلْ) “Katakanlah,” mereka mengetahui bahawa Baginda SAW sedang menyampaikan suatu ketegasan daripada Pencipta langit dan bumi. Maka mereka akan lebih mampu untuk menerimanya dan tidak terlalu terasa/terganggu dengannya.
Kelima: Firman Allah SWT: (قُلْ) “Katakanlah,” menunjukkan bahawa Baginda SAW ialah seorang Rasul yang diutuskan daripada Allah SWT. Apabila dikatakan kepadanya, “Katakanlah,” ia seolah-olah suatu pengumuman baharu yang menegaskan/mensabitkan kedudukan kerasulannya, dan hal tersebut mengandungi penghormatan yang lebih besar terhadap Rasul. Jika seorang raja menyerahkan kerajaannya kepada salah seorang hambanya, dan setiap bulan atau tahun dia memberikan perintah baharu kepadanya, itu menunjukkan perhatian yang sangat besar terhadap urusan hamba tersebut, dan bahawa raja itu berhasrat untuk meningkatkan penghormatan dan kemuliaannya setiap hari.
Keenam: Orang-orang kafir berkata: “Kami akan menyembah Tuhanmu selama setahun, dan kamu menyembah tuhan-tuhan kami selama setahun,” maka seolah-olah Baginda SAW bersabda: “Aku telah memohon perintah (petunjuk) daripada Tuhanku mengenai hal ini,” lalu Dia berfirman: “قُلْ ياأيُّها الكافِرُونَ” [Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Wahai orang-orang kafir!]. “لَا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ” (Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah).
Ketujuh: Orang-orang kafir berkata hal yang buruk mengenai Baginda, lalu Allah SWT mencegah mereka daripada perbuatan itu dan menjawab mereka melalui firman-Nya:
إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ الْأَبْتَرُ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, Dia lah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya).”
(Surah al-Kauthar: 3)
Seolah-olah Allah SWT berfirman: “Ketika mereka menghinamu, Aku yang menjawab bagi pihakmu. Lalu apabila mereka menghina-Ku dan menetapkan sekutu bagi-Ku, maka kamu yang menjawab kepada mereka dengan melalui ayat: “قُلْ ياأيُّها الكافِرُونَ” [Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Wahai orang-orang kafir!]. “لَا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ” (Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah).”
Kelapan: Mereka menggelarmu sebagai terputus (daripada keturunan). Jika kamu ingin membalas mereka dengan hukuman setimpal, sebutlah mereka dengan sifat celaan yang benar iaitu: “قُلْ ياأيُّها الكافِرُونَ” [Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Wahai orang-orang kafir!]. Namun, perbezaannya adalah mereka mencelamu dengan perkara yang bukan daripada perbuatanmu, sedangkan kamu mencela mereka dengan perkara yang benar-benar merupakan perbuatan mereka.
Kesembilan: Seolah-olah ketika Baginda SAW bersabda (dengan menyebutkan ayat ini): “Wahai orang-orang kafir, aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.” Orang-orang kafir itu bertanya: “Adakah ini kata-kata Tuhanmu atau kata-katamu sendiri? Jika ini kata-kata Tuhanmu, maka Tuhanmu berfirman: ‘Aku tidak akan menyembah berhala-berhala ini,’ dan kami tidak meminta penyembahan ini daripada Tuhanmu, sebaliknya kami memintanya daripadamu. Jika ini adalah kata-katamu sendiri, maka kamu mengatakan daripada dirimu sendiri, ‘Sesungguhnya aku tidak akan menyembah berhala-berhala ini,’ maka mengapa kamu mengatakan bahawa Tuhanmu yang memerintahkan kamu melakukan itu?” Namun, dengan adanya perintah menerusi firman-Nya, (قُلْ) “Katakanlah,” maka bantahan ini tertolak kerana firman-Nya, (قُلْ) “Katakanlah,” menunjukkan bahawa Baginda diperintahkan oleh Allah SWT untuk tidak menyembah berhala-berhala tersebut dan berlepas diri daripadanya.
Kesepuluh: Jika Allah menurunkan ayat-Nya: “يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ” (Wahai orang-orang kafir), sudah pasti Baginda akan membacakannya kepada mereka, kerana tidak mungkin Baginda berlaku khianat dalam wahyu. Melainkan, apabila Allah berfirman, (قُلْ) “Katakanlah,” hal itu seperti suatu penegasan untuk memastikan penyampaian wahyu tersebut kepada mereka. Penegasan ini menunjukkan bahawa perintah tersebut adalah sesuatu yang sangat besar/agung. Dengan cara ini, kalimat itu menunjukkan bahawa apa yang mereka katakan dan minta daripada Rasul adalah perkara yang sangat buruk lagi keji.
Kesebelas: Seolah-olah Allah SWT berfirman: “Dahulu taqiyyah (berpura-pura) dibenarkan ketika dalam keadaan takut, tetapi kini setelah Kami menguatkan hatimu dengan firman Kami:
إِنَّا أَعْطَيْنَاكَ الْكَوْثَرَ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, Dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya).”
(Surah al-Kauthar: 1)
Begitu juga firman Kami:
إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ الْأَبْتَرُ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, Dia lah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya).”
(Surah al-Kauthar: 3)
Maka janganlah kamu peduli dengan mereka dan janganlah kamu berpaling kepada mereka, serta katakanlah: ‘Wahai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.’” (Lihat Mafatih al-Ghaib, 32/323-329)
Menurut Ibn Kathir, surah ini adalah surah yang mengandungi pelepasan diri daripada amalan yang dilakukan oleh golongan musyrikin, dan memerintahkan untuk mengikhlaskan diri dalam hal itu. Seterusnya, perkataan kafirun “الْكافِرُونَ” dalam ayat ini pula meliputi setiap orang kafir yang ada di atas muka bumi, akan tetapi dalam konteks ayat ini, ia ditujukan kepada golongan kafir Quraisy. Ada yang menyatakan bahawa disebabkan oleh kejahilan mereka, mereka mengajak Rasulullah SAW untuk menyembah berhala-berhala mereka selama setahun dan sebagai balasan mereka pula akan menyembah Tuhan yang disembah oleh Baginda selama setahun. Lalu Allah SWT menurunkan surah ini dan memerintahkan Rasulullah SAW untuk menyatakan pembebasan diri secara total daripada agama mereka. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/479).
Kami akhiri dengan doa:
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”
Nota Hujung:
[1] Lihat https://www.youtube.com/watch?app=desktop&v=FDxu_tZnQxo. Diakses pada 5 April 2024.