Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan ayat 2 hingga ayat 4 daripada surah al-Kafirun?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

لَا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ

Maksudnya: “Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.”

(Surah al-Kafirun: 2)

Al-Syaukani ketika menafsirkan ayat “لَا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ” menyatakan, maknanya adalah: “Aku tidak akan melakukan ibadah penyembahan berhala yang kamu sembah, yang kamu minta daripadaku untuk melakukannya.” Selain itu, ada yang berpendapat bahawa maksudnya adalah dalam konteks akan datang (masa depan), kerana lam nafiyah “لَا النَّافِيَةَ” biasanya tidak digunakan melainkan ke atas fi‘il mudhari‘ yang menunjukkan makna akan datang, sebagaimana ma “مَا” juga tidak digunakan melainkan ke atas fi‘il mudhari‘ yang menunjukkan makna al-hal (masa kini). (Lihat Fath al-Qadir, 5/619).

Begitu juga sebahagian ahli tafsir lain seperti al-Baidhawi dan Abu al-Su‘ud turut menyatakan, ayat: “لَا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ” (Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah) bermaksud pada masa hadapan, kerana ia (yakni lam nafiyah) hanya digunakan bersama fi‘il mudhari‘ yang membawa makna masa hadapan, sama seperti ma “ما” yang hanya digunakan bersama fi‘il mudhari‘ yang membawa makna masa sekarang. Dalam erti kata lain, “Aku tidak akan melakukan pada masa hadapan apa yang kamu minta daripadaku, iaitu menyembah tuhan-tuhan kamu.” (Lihat Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil, 5/343; Irsyad al-‘Aql al-Salim ila Mazaya al-Kitab al-Karim, 9/206).

Selain daripada itu, Syeikh al-Sa‘di juga ada menjelaskan bahawa ayat ini menunjukkan kepada pembebasan atau berlepas diri daripada apa yang mereka sembah selain daripada Allah SWT, baik secara zahir mahupun batin. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, 1/936).

Firman Allah SWT:

‏ وَلَا أَنتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ ‎

Maksudnya: “Kamu pula bukan penyembah-penyembah apa yang aku sembah.”

(Surah al-Kafirun: 3 dan 5)

Al-Syaukani menafsirkan ayat “وَلا أَنْتُمْ عابِدُونَ مَا أَعْبُدُ” ini dengan menyatakan bahawa maksudnya adalah: “Kamu tidak akan melakukan di masa depan apa yang aku minta daripada kamu untuk melakukannya iaitu beribadah kepada Tuhanku.” (Lihat Fath al-Qadir, 5/619).

Setelah Syeikh al-Sa‘di menjelaskan tafsiran ayat sebelumnya, beliau seterusnya menyatakan bahawa ayat “وَلا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ” disebabkan oleh tidak ada keikhlasan dalam ibadah kamu kepada-Nya. Ini kerana ibadah kamu kepada-Nya yang disertai dengan kesyirikan tidak dipanggil sebagai ibadah. Kemudian hal itu diulang-ulang, supaya yang pertama menunjukkan bahawa perbuatan itu tidak wujud, dan keduanya menunjukkan bahawa hal itu menjadi sifat yang lazim ada. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, 1/936).

Selain daripada itu, Ibn Juzai ketika menafsirkan ayat ini menyatakan, ini merupakan suatu perkhabaran bahawa mereka orang kafir tidak menyembah Allah, sebagaimana yang dikatakan kepada Nabi Nuh A.S melalui ayat:

أَنَّهُۥ لَن يُؤْمِنَ مِن قَوْمِكَ إِلَّا مَن قَدْ ءَامَنَ

Maksudnya: “Bahawa sesungguhnya tidak akan beriman lagi dari kaummu melainkan orang-orang yang telah sedia beriman.”

(Surah Hud: 36)

Melainkan ini adalah tentang kaum tertentu yang telah mati dalam kekufuran. Sesungguhnya telah diriwayatkan bahawa kelompok yang disebutkan ini ialah Abu Jahal, al-Walid bin al-Mughirah, al-‘Asi bin Wa’il, al-Aswad bin al-Muttalib, Umayyah bin Khalaf, Ubai bin Khalaf, dan Ibn al-Hajjaj,  mereka semuanya mati dalam keadaan kafir.

Jika ditanyakan: Mengapa Nabi menjawab, “مَا أَعْبُدُ” (apa yang aku sembah), sedangkan hal itu ditujukan untuk mereka yang berakal? Jawapannya ada tiga aspek: Pertamanya, hal tersebut sesuai dengan sabdanya dalam ayat, “لاَ أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ” yang bermaksud kepada berhala-berhala yang tidak berakal, dan kemudian Baginda menjadikan jawapannya iaitu “مَا أَعْبُدُ” supaya sesuai dengan lafaz/perkataan. Keduanya, ia merujuk kepada sifat, seolah-olah Baginda menjawab, “Aku tidak menyembah kebatilan dan kamu pula tidak menyembah al-Haq (yakni Allah) seperti mana disebutkan oleh al-Zamakhsyari. Ketiganya, ia merujuk kepada Ma Masdariyah (kata terbitan), menjadikan maksudnya seolah-olah seperti “Aku tidak menyembah sembahan kamu dan kamu pula tidak menyembah sembahanku,” dan pendapat ini adalah lemah.

Jika ditanyakan: Mengapa diulangi makna dan lafaz ini, dalam ayat seterusnya iaitu “وَلاَ أَنتُمْ عَابِدُونَ مَآ أَعْبُدُ” sekali lagi? Jawapannya boleh dilihat dari dua sudut: Pertamanya, menurut pendapat al-Zamakhsyari bahawa yang pertama merujuk kepada masa hadapan, manakala yang kedua merujuk kepada masa lalu. Keduanya, menurut pendapat Ibn ‘Atiyyah bahawa yang pertama merujuk kepada situasi semasa, manakala yang kedua merujuk kepada masa hadapan. Oleh itu, ini adalah suatu kepastian bahawa mereka tidak akan pernah beriman selama-lamanya. (Lihat al-Tashil li ‘Ulum al-Tanzil, 2/518-519).

Firman Allah SWT:

‏ وَلَا أَنَا عَابِدٌ مَّا عَبَدتُّمْ

Maksudnya: “Aku tidak sesekali akan menjadi penyembah apa yang kamu sembah.”

(Surah al-Kafirun: 4)

Al-Syaukani ketika menafsirkan ayat “وَلَا أَنَا عَابِدٌ مَّا عَبَدتُّمْ” menyatakan bahawa maknanya ialah aku tidak pernah sama sekali sebelum ini menyembah apa yang kamu sembah. Dalam erti kata lain, hal itu tidak pernah dijanjikan daripadaku. (Lihat Fath al-Qadir, 5/619).

Selain itu, Abu al-Su‘ud juga ketika menjelaskan ayat “وَلَا أَنَا عَابِدٌ مَّا عَبَدتُّمْ” turut menyatakan, ayat ini bermaksud, “Tidak pernah sama sekali aku menyembah apa yang kamu sembah pada masa lalu.” Dalam erti kata lain, “Tidak pernah dijanjikan bahawa aku menyembah berhala semasa zaman jahiliyyah, jadi bagaimana boleh diharapkan bahawa aku akan melakukannya semasa dalam Islam?” (Lihat Irsyad al-‘Aql al-Salim ila Mazaya al-Kitab al-Karim, 9/206).

Ibn Juzai dalam kitab tafsirnya, setelah beliau menjelaskan berkenaan ayat sebelumnya iaitu ayat “لَا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ” bahawa ini adalah suatu perkhabaran bahawa Baginda SAW tidak menyembah berhala-berhala mereka. Seterusnya, beliau menimbulkan persoalan bahawa jika ditanyakan: Mengapa diulangi makna ini iaitu melalui ayat “وَلَا أَنَا عَابِدٌ مَّا عَبَدتُّمْ”? Maka jawapannya dari dua sudut:

Pertamanya adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Zamakhsyari bahawa ayat “لَا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ” merujuk kepada masa depan (akan datang), manakala ayat “وَلَا أَنَا عَابِدٌ مَّا عَبَدتُّمْ” pula merujuk kepada masa lalu. Dalam erti kata lain, maksudnya adalah aku tidak pernah sama sekali menyembah apa yang kamu sembah sebelum ini, jadi bagaimana kamu meminta perkara itu daripadaku sekarang.

Keduanya adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn ‘Atiyyah bahawa ayat “لَا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ” berkemungkinan merujuk kepada masa kini secara khusus. (Lihat al-Tashil li ‘Ulum al-Tanzil, 2/518).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.