Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bioleh nyatakan kepada kami perbezaan antara kafir, musyrik dan mulhid?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَن يَرْتَدَّ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوْمَةَ لَائِمٍ ۚ ذَٰلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَاءُ ۚ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya.”
(Surah al-Maidah: 54)
Syeikh Abd al-Rahman bin Nasir al-Sa’di berkata: Allah mengkhabar bahawa Dia Maha Kaya terhadap alam semesta dan bahawa sesiapa yang murtad dari agama-Nya, maka Dia tidak merugikan Allah sedikit pun, akan tetapi merugikan dirinya sendiri. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, 2/106)
Imam al-Nawawi berkata: “Riddah adalah memutus Islam dengan niat atau perkataan, atau dengan perbuatan, baik dengan mengatakan hal tersebut kerana mengolok-ngolok, atau kerana kedegilannya, atau kerana keyakinannya” (Lihat al-Minhaj al-Talibin, hlm. 293)
Menjawab persoalan di atas, perbezaannya seperti berikut melalui takrifan dan pengetian:
- Kafir ialah orang yang mengetahui wujud Allah tetapi mendustakan apa yang dibawa oleh Nabi
- Musyrik pula ialah, yang mengetahui wujud Allah, tetapi cuba menyaingi apa yang dibawa oleh Nabi serta beriman melalui perantaraan dengan Allah. Dan mungkin mereka minta bantuan dengan alam dan bukan dengan Tuhan. Firman Allah:
أَلَا لِلَّهِ ٱلدِّينُ ٱلْخَالِصُ ۚ وَٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُوا۟ مِن دُونِهِۦٓ أَوْلِيَآءَ مَا نَعْبُدُهُمْ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَآ إِلَى ٱللَّهِ زُلْفَىٰٓ
Maksudnya: “Ingatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (dari segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): ‘Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya’.”
(Surah al-Zumar: 3)
- Mulhid yang sifatnya mengingkari wujudnya Allah dan secara tidak langsung, mendusta apa yang dibawa oleh Nabi.