Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimanakah cara kita meninggalkan hasad?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَمِن شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ ‎

Maksudnya: “Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya.”

(Surah al-Falaq: 5)

Syeikh al-Sa’di berkata: Orang yang dengki ialah individu yang merasa senang apabila nikmat yang dimiliki oleh orang lain hilang. Dia berusaha sedaya upaya untuk menghilangkan nikmat tersebut melalui pelbagai cara. Oleh itu, kita perlu memohon perlindungan kepada Allah daripada kejahatannya serta agar tipu dayanya dapat digagalkan. Penyebar penyakit ‘ain juga termasuk dalam golongan pendengki kerana penyakit ‘ain tidak akan muncul melainkan daripada seseorang yang penuh dengan hasad dengki, memiliki akhlak yang buruk, serta hati yang busuk. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 863)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Aku berlindung kepada Allah daripada keburukan hasad dengki, iaitu perasaan iri hati seseorang yang mengharapkan agar nikmat yang dimiliki oleh orang lain hilang daripadanya. Jika sifat dengki ini telah meresap ke dalam diri, maka dia akan berusaha untuk menghilangkan nikmat tersebut daripada orang yang dicemburui.” (Lihat Tafsir al-Wajiz, hlm. 922)

Takrif Hasad

Al-Syaukani berkata: Hasad adalah harapan agar kenikmatan yang diberikan Allah kepada seseorang dapat hilang daripadanya. (Lihat Fath al-Qadir, 5/661)

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِيَّاكُمْ وَالْحَسَدَ فَإِنَّ الْحَسَدَ يَأْكُلُ الْحَسَنَاتِ كَمَا تَأْكُلُ النَّارُ الْحَطَبَ

Maksudnya: “Hendaklah kalian menjauhi sifat hasad dengki, kerana ia menghapuskan kebaikan, sepertimana api menghanguskan kayu.”

Riwayat Abu Dawud (4903)

Muawiyah bin Abi Sufyan berkata:

كُلُّ النَّاسِ أَقْدِرُ عَلَى رِضَاهُ إلَّا حَاسِدَ نِعْمَةٍ فَإِنَّهُ لَا يُرْضِيهِ إلَّا زَوَالُهَا.

Maksudnya: “Setiap manusia boleh dipuaskan hatinya, kecuali orang yang hasad terhadap nikmat. Sesungguhnya, dia tidak akan merasa reda melainkan apabila nikmat itu lenyap.”  (Lihat al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kaba’ir, 1/93)

Al-Hasan berkata:

مَا رَأَيْتُ ظَالِمًا أَشْبَهَ بِمَظْلُومٍ مِنْ حَاسِدٍ، نَفَسٌ دَائِمٌ، وَحُزْنٌ لَازِمٌ، وَعَبْرَةٌ لَا تَنْفَدُ

Maksudnya: “Aku tidak pernah melihat seorang yang zalim lebih menyerupai orang yang dizalimi selain daripada seorang yang hasad. Nafasnya sentiasa sesak, kesedihannya berterusan, dan tangisannya tidak pernah berhenti.” (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/251)

Suatu hari, al-Asmu’i berkata: Aku melihat Syaikh di kampung yang telah jatuh dua keningnya sampai ke mata kerana terlalu tua. Usianya ketika itu sudah mencecah 120 tahun. Tetapi yang menakjubkan, beliau amat cergas dan sihat. Lantas aku berkata dan bertanya kepadanya: Kenapa Syaikh nampak begitu cergas dalam usia seperti ini?

Maka jawabnya:

تَرَكْتُ الْحَسَدَ فَبَقِيَ الْجَسَدُ

Maksudnya: “Aku meninggalkan sifat hasad, maka Allah kekalkan jasad dan tubuhku.”

Semoga Allah menjadikan kita jauh daripada sifat hasad dengki dan juga daripada orang yang berhasad dengki. Kami akhiri dengan membaca surah al-Falaq:

قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ (1) مِن شَرِّ مَا خَلَقَ (2) وَمِن شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ (3) وَمِن شَرِّ النَّفَّاثَاتِ فِي الْعُقَدِ (4) وَمِن شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ (5)

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad); “Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk, “Dari bencana makhluk-makhluk yang Ia ciptakan; “Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk; “Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan); “Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya.”

(Surah al-Falaq: 1-5)