Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah seorang yang sentiasa mengeluarkan zakat boleh menjadi seorang itu sifat pemurah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
خُذۡ مِنۡ أَمۡوَ ٰلِهِمۡ صَدَقَةࣰ تُطَهِّرُهُمۡ وَتُزَكِّیهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَیۡهِمۡۖ إِنَّ صَلَوٰتَكَ سَكَنࣱ لَّهُمۡۗ وَٱللَّهُ سَمِیعٌ عَلِیمٌ
Maksudnya: “Ambillah sebahagian daripada harta mereka sebagai sedekah (wajib) untuk membersihkan dan menyucikan mereka; dan doakanlah buat kebaikan mereka. Sesungguhnya doa daripadamu (wahai Rasulullah) adalah kebaikan buat mereka. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
(Surah al-Taubah: 103)
Imam al-Mawardi berkata dalam tafsirnya bahawa yang dimaksudkan dengan kalimah ‘sadaqah’ ialah sedekah menurut kalam Ibn Zaid dan keduanya ia bermakna zakat, menurut kata-kata ‘Ikrimah. (Lihat Tafsir al-Mawardi, 2/398)
Menjawab persoalan di atas, kami katakan, memang benar. Amalan berzakat boleh membiasakan diri pengeluarnya supaya bersifat pemurah. Amalan itu juga boleh membuang sifat kedekut dan unsur-unsur bakhil. Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
السَّخِيُّ قَرِيبٌ مِنَ اللَّهِ، قَرِيبٌ مِنَ الْجَنَّةِ، قَرِيبٌ مِنَ النَّاسِ، بَعِيدٌ مِنَ النَّارِ. وَالْبَخِيلُ بَعِيدٌ مِنَ اللَّهِ، بَعِيدٌ مِنَ الْجَنَّةِ، بَعِيدٌ مِنَ النَّاسِ، قَرِيبٌ مِنَ النَّارِ. وَلَجَاهِلٌ سَخِيٌّ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ عَابِدٍ بَخِيلٍ
Maksudnya: “Maksudnya: “Orang yang pemurah dekat dengan Allah SWT, dekat dengan manusia, dekat dengan syurga, jauh daripada neraka. Sedangkan orang yang bakhil dan kedekut, jauh daripada Allah, jauh daripada manusia, jauh daripada syurga dan hampir dengan neraka. Orang jahil yang pemurah lebih dicintai oleh Allah SWT daripada ‘abid yang bakhil.”
Riwayat al-Tirmizi (1961)
Hakikat ini dapat dirasai oleh pengeluar zakat dan dia juga menyedari bahawa zakat itu lebih ketara kepada penambahan harta daripada menguranginya. Hal ini sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya:
مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ
Maksudnya: “Zakat itu tidak mengurangi harta.”
Riwayat Muslim (2588)
Timbul persoalan, bagaimanakah dikatakan zakat itu akan mengurangi harta, sedangkan Allah memberkati harta yang tinggal dengan sebab berzakat?
Persoalan tersebut boleh dijawab bahawa, Allah SWT akan menjauhkan harta tersebut daripada sesuatu yang memudaratkannya dan memeliharanya daripada gangguan manusia. Selain daripada perkara tersebut, Allah SWT juga menunjukkan cara-cara untuk memanfaatkan dan mengembangkan harta tersebut kepada pemiliknya. Di samping itu, Allah SWT memberikan ganjaran pahala yang besar kerana mengeluarkan harta semata-mata untuk keredhaan-Nya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/634)
Alhamdulillah, bukti nyata amat banyak menunjukkan, dengan sebab bersedekah dan berzakat, rezekinya melimpah-ruah.
Dr Khalid al-Jubair berkata: Aku pernah dihantar oleh al-Amir Sultan ke Morocco untuk memberi rawatan kepada pesakit-pesakit di sana. Bilamana aku sampai, aku dapati tempat rawatan tidak sempurna dan banyak kekurangan. Aku mengkhabarkan hal tersebut kepada al-Amir Sultan dan beliau menyuruhku supaya berikhtiar mencari jalan penyelesaian. Antara yang aku rawat itu, ada seorang penduduk Maghribi yang memberitahu kepadaku, terdapat seorang ahli korporat yang kaya di Morocco, yang amat pemurah. Lantas, aku pun pergi ke rumahnya dan bercakap dengannya. Serta merta beliau memanggil keraninya dan mengarahkan supaya menyelesaikan semua kehendak dan keperluan yang diperlukan bermula sewa bangunan sehingga kepada kos rawatan.
Perkara yang tidak boleh aku lupakan adalah beliau berkata kepadaku, “Tolong ceritakan kepada sesiapa sahaja, bahawa tidaklah aku keluarkan untuk sedekahkan sejumlah wang kecuali Allah akan menggandakan kepadaku. Sebagai contoh, jika aku sedekah pada hari ini 1 Juta, maka pada akhir minggu, aku akan memiliki 3 Juta. Ceritalah. Hal ini bukan berlaku sekali kepadaku, bahkan boleh dikatakan, itulah yang sering berlaku. Aku tidak menganggap diriku kecuali pemegang harta yang Allah amanahkan. Aku mempunyai empat orang anak. Setiap orang, aku beri kepada mereka sebuah syarikat atau kilang, dan mereka mendapat keuntungan yang banyak. Adapun wakaf yang aku lakukan, pernah aku wakafkan bangunan untuk pesakit dialisis di mana rawatan mencuci buah pinggang perlu dilakukan setiap dua hari sekali. Kemudian aku juga mewakafkan 20 hospital yang lain untuk dijadikan sebagai pusat rawatan. Begitulah yang aku lakukan. Dan semua itu adalah rezeki yang Allah kurniakan kepadaku.” (Lihat Keajaiban Sedekah, hlm. 110-112)
Inilah kisah yang ajaib, yang membenarkan sabda Rasulullah SAW:
مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ
Maksudnya: “Sedekah tidak akan mengurangkan harta.” Riwayat Muslim (2588)
Kami akhiri dengan doa:
آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا
Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.”