Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Sejauh manakah kebenaran bahawa zakat dapat membantu mengurangkan jurang perbezaan sosial dalam masyarakat dan memastikan kesejahteraan semua lapisan masyarakat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

خُذۡ مِنۡ أَمۡوَ ٰ⁠لِهِمۡ صَدَقَةࣰ تُطَهِّرُهُمۡ وَتُزَكِّیهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَیۡهِمۡۖ إِنَّ صَلَوٰتَكَ سَكَنࣱ لَّهُمۡۗ وَٱللَّهُ سَمِیعٌ عَلِیمٌ

Maksudnya: “Ambillah sebahagian daripada harta mereka sebagai sedekah (wajib) untuk membersihkan dan menyucikan mereka; dan doakanlah buat kebaikan mereka. Sesungguhnya doa daripadamu (wahai Rasulullah) adalah kebaikan buat mereka. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Taubah: 103)

Syeikh Dr. Wahbah Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya bahawa para fuqaha’ berpendapat sedekah yang dimaksudkan di dalam ayat di atas adalah zakat yang diwajibkan kepada seluruh umat manusia. (Lihat Tafsir al-Wasit, 1/913)

Zakat berperanan untuk memastikan sesebuah anggota masyarakat itu menjadi lebih sempurna. Meskipun begitu, terdapat pelbagai keadaan dan unsur-unsur yang memperluaskan jurang perbezaan taraf sosial itu bertambahnya golongan yang memerlukan bantuan serta golongan fakir. Zakat berfungsi memelihara masyarakat daripada jurang perbezaan taraf sosial yang ketara. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/634)

Sejarah membuktikan, pada zaman Umar Ibn ‘Abd al-Aziz, zakat telah dikembangkan bukan hanya asnaf yang lapan yang dimaklumi, tetapi juga untuk membiayai perkahwinan bagi anak-anak muda yang memerlukannya. Ini sudah tentu menjadikan masyarakat merasa tenang kerana bantuan untuk mereka melalui zakat diperuntukkan. (Lihat Umar ibn Abd al-Aziz, hlm. 23)

Justeru, marilah sama-sama kita menunaikan ibadat zakat yang menjadi tiang kepada agama Islam itu sendiri dan kami akhiri dengan doa:

 آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا

Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.