Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah benar bahawa zakat dapat membantu menangani masalah pengangguran dan memberi peluang kepada golongan miskin untuk berdikari?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ

Maksudnya: “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat.”

(Surah al-Baqarah: 43)

Syeikh al-Sa‘di menyebutkan, ayat di atas antaranya mengandungi perintah Allah SWT supaya mengeluarkan zakat daripada harta-harta yang telah Allah SWT kurniakan kepada para hamba-Nya, lalu memberikannya kepada orang-orang fakir dan selainnya yang terdiri daripada penerima-penerima zakat yang telah disebutkan oleh Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 573).

Zakat memainkan peranan penting dalam menangani masalah pengangguran. Antara sebab utama yang menyumbang kepada pengangguran ialah kemiskinan. Orang yang miskin tidak mempunyai modal yang minimum untuk menjalankan sesuatu perusahaan atau pekerjaan. Oleh itu, jika sistem zakat berjalan mengikut haknya, sudah tentu orang yang miskin berhak menerima bahagiannya dan membolehkan mereka menjalankan perusahaan yang dirancang sesuai dengan kemahiran dan kelayakan yang ada pada mereka. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/634)

Alhamdulillah, banyak pusat zakat dan Baitulmal Negeri di Malaysia mula mengorak langkah dengan memberi bantuan kepada fuqara’ atau masakin yang dikenali sebagai golongan asnaf untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan atau kebolehan yang dimiliki bagi dikembangkan sebagai mata pencarian dalam kehidupan. Tidak kurang mereka yang telah berjaya. Kami kemukakan di sini beberapa contoh.

Kami nukilkan di sini beberapa kisah benar mengenai usahawan yang berjaya di Malaysia melalui bantuan zakat:

  • Norlelawati Bahari: Seorang ibu tunggal berusia 44 tahun dari Selangor, Norlelawati dahulunya merupakan asnaf yang menerima bantuan zakat. Dengan sokongan tersebut, beliau memulakan perniagaan bakeri dan kini berjaya keluar dari kemiskinan, menjadi usahawan yang berdikari.
  • Kamal Shafiee: Pada usia 40 tahun, Kamal yang dahulunya bekerja sebagai tukang kebun sekolah telah menerima bantuan zakat untuk memulakan perniagaan nurseri tanaman. Usahanya membuahkan hasil, dan kini beliau bukan sahaja berjaya dalam perniagaan tetapi juga mampu menjadi pembayar zakat.
  • Rosyani Mohamed Razalli: Seorang ibu tunggal dengan lapan orang anak, Rosyani menerima bantuan zakat untuk memulakan perniagaan aiskrim. Dengan kegigihan dan sokongan yang diterima, beliau berjaya mengembangkan perniagaannya dan keluar dari kategori asnaf.

Kisah-kisah ini menunjukkan bagaimana bantuan zakat dapat menjadi pemangkin kepada kejayaan individu dalam mengubah kehidupan mereka ke arah yang lebih baik.

Justeru, marilah sama-sama kita menunaikan ibadat zakat sebagai tanda kita mematuhi tuntutan perintah Allah dan melaksanakan rukun Islam.

Kami akhiri dengan doa:

 آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا

Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.