Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah benar zakat menjadi bukti keimanan seseorang dan menegaskan kecintaan mereka terhadap Allah SWT?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَالْمُقِيمِينَ الصَّلَاةَ ۚ وَالْمُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَالْمُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ أُولَٰئِكَ سَنُؤْتِيهِمْ أَجْرًا عَظِيمًا ‎

Maksudnya: “Tetapi orang-orang yang teguh serta mendalam ilmu pengetahuannya di antara mereka dan orang-orang yang beriman, sekaliannya beriman dengan apa yang telah diturunkan kepadamu (Al-Quran), dan kepada apa yang telah diturunkan dahulu daripadamu, – khasnya orang-orang yang mendirikan sembahyang, dan orang-orang yang menunaikan zakat, serta yang beriman kepada Allah dan hari akhirat; mereka itulah yang Kami akan berikan kepadanya pahala (balasan) yang amat besar.”

(Surah al-Nisa’: 162)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: “Dan orang-orang yang mendirikan solat pada waktunya, menunaikan zakat kepada yang berhak, serta beriman kepada keesaan Allah dan hari akhirat, mereka itulah yang akan Kami anugerahkan pahala yang besar berupa syurga sebagai ganjaran atas keimanan dan ketaatan mereka kepada Allah. (Lihat Tafsir al-Wajiz, hlm. 142)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa, benar sekali yang zakat menjadikan keimanan seseorang begitu mendalam. Dengan sebab itu, kami nukilkan pendapat seorang ulama’ yang zakat itu boleh menjadi bukti kebenaran iman si pembayar zakat. Ini kerana harta merupakan sesuatu yang sangat dicintai oleh manusia, dan sesuatu yang dicintai tidak akan diberikan kecuali demi mendapatkan sesuatu yang lebih dicintai daripadanya atau lebih besar nilainya. Oleh sebab itu, zakat dinamakan sebagai Sadaqah (صَدَقَةٌ), kerana ia menjadi tanda kebenaran seseorang dalam mencari keredaan Allah SWT. (Lihat al-Syarh al-Mumti’, 1/6-7)

Kami akhiri dengan doa:

 آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا

Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.