Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah benar bahawa seseorang yang suka bersedekah dan membayar zakat akan merasakan ketenangan dan kelapangan jiwa?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

خُذۡ مِنۡ أَمۡوَ ٰ⁠لِهِمۡ صَدَقَةࣰ تُطَهِّرُهُمۡ وَتُزَكِّیهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَیۡهِمۡۖ إِنَّ صَلَوٰتَكَ سَكَنࣱ لَّهُمۡۗ وَٱللَّهُ سَمِیعٌ عَلِیمٌ

Maksudnya: “Ambillah sebahagian daripada harta mereka sebagai sedekah (wajib) untuk membersihkan dan menyucikan mereka; dan doakanlah buat kebaikan mereka. Sesungguhnya doa daripadamu (wahai Rasulullah) adalah kebaikan buat mereka. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Taubah: 103)

Syeikh Dr. Wahbah Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya bahawa para fuqaha’ berpendapat sedekah yang dimaksudkan di dalam ayat di atas adalah zakat yang diwajibkan kepada seluruh umat manusia. (Lihat Tafsir al-Wasit, 1/913)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan, benar sekali bahawa zakat melapangkan dada. Seseorang yang memberi sesuatu, terutamanya harta, akan merasakan kelapangan dan ketenangan jiwa. Ini adalah satu pengalaman yang terbukti, tetapi dengan syarat pemberiannya dilakukan dengan ikhlas dan hati yang lapang, bukan dalam keadaan hatinya masih terikat dengan harta yang diberikan. (Lihat al-Syarh al-Mumti’, 1/6-7)

Ibn al-Qayyim menyebut dalam Zad al-Ma‘ad (2/25) bahawa sifat memberi dan pemurah merupakan antara sebab yang membawa kepada kelapangan dada. Namun, manfaat ini hanya akan diperoleh oleh orang yang memberi dengan ikhlas dan lapang dada—yakni, yang mengeluarkan harta dari hatinya sebelum mengeluarkannya dari tangannya. Adapun seseorang yang menghulurkan harta dengan tangannya, tetapi hatinya masih terikat dengannya, maka dia tidak akan mendapat manfaat sebenar daripada pemberian tersebut.

Dapatan kami menunjukkan, golongan yang pemurah akan merasa dirinya tenang apabila berzakat, wakaf dan berinfaq pada jalan Allah. Dan sifat ini akan menjadikannya sedikit sukar dan susah apabila tidak dapat menyumbang. Mereka sentiasa merasa puas hasil sumbangan yang diberikan melalui zakat, wakaf dan infaq.

Kami nukilkan di sini berkenaan kisah pemurahnya Sulaiman al-Rajhi. Beliau ialah seorang tokoh perniagaan dan dermawan terkenal dari Arab Saudi yang membina empayar kewangan yang kukuh melalui Bank al-Rajhi, salah satu bank Islam terbesar di dunia. Beliau berasal daripada keluarga miskin dan memulakan perniagaan dari bawah, bekerja keras sehingga berjaya mengumpul kekayaan yang mencecah berbilion riyal. Namun, di sebalik kejayaannya, beliau terkenal dengan sifat pemurah dan keprihatinannya terhadap masyarakat, sentiasa memberi sumbangan besar dalam bidang kebajikan, pendidikan, dan pembangunan umat Islam.

Kisah-1: Nilai 1 Riyal yang Sangat Bermakna

Sulaiman al-Rajhi bukan sekadar seorang usahawan berjaya, tetapi juga seorang insan yang tidak pernah melupakan jasa orang-orang yang membantunya di awal kehidupannya. Salah satu kisah yang paling menyentuh hati ialah bagaimana beliau menghargai pemberian kecil seorang guru yang pernah membantunya ketika zaman persekolahan.

Ketika masih kecil dan hidup dalam kemiskinan, seorang guru dari Palestin pernah memberinya 1 Riyal. Walaupun jumlah itu kecil bagi kebanyakan orang, bagi seorang anak miskin seperti beliau, nilai tersebut sangat besar. Setelah bertahun-tahun berlalu dan kejayaan telah dicapainya, beliau berusaha menjejaki guru tersebut yang sudah lama bersara dan kini menjalani kehidupan yang sederhana.

Apabila bertemu, beliau menjemput gurunya menaiki kereta bersamanya. Di sepanjang perjalanan, beliau menyatakan betapa besarnya jasa gurunya itu dan betapa beliau terhutang budi hanya kerana pemberian 1 Riyal dahulu. Gurunya kehairanan, kerana baginya 1 Riyal itu bukanlah sesuatu yang besar.

Tidak lama kemudian, mereka tiba di hadapan sebuah rumah banglo mewah dengan sebuah kenderaan mewah di hadapannya. Dengan penuh hormat, Sulaiman al-Rajhi memberitahu gurunya bahawa rumah dan kenderaan itu adalah hadiah untuknya sebagai tanda terima kasih atas jasa kecil yang pernah diberikan dahulu. Gurunya tergamam, terharu, dan tidak menyangka bahawa hadiah sebesar itu diberikan hanya kerana pemberian 1 Riyal di masa lalu.

Menurut Sulaiman al-Rajhi, kegembiraannya menerima 1 Riyal ketika kecil jauh lebih bermakna daripada kegembiraan yang dirasai gurunya saat menerima hadiah rumah dan kereta itu. Baginya, nilai sebuah kebaikan bukan diukur dari jumlahnya, tetapi dari impak dan makna yang terkandung di dalamnya.

Kisah 2: Keputusan untuk Mewakafkan Hartanya

Pada tahun 2010, Sulaiman al-Rajhi telah memanggil isteri dan anak-anaknya untuk mengagihkan hartanya kepada mereka serta menyampaikan rancangannya untuk mewakafkan sebahagian besar daripada kekayaannya. Sehingga kini, jumlah wang yang telah didermakannya melebihi 60 bilion Riyal.

Sebagai pemilik rangkaian Bank Al Rajhi, beliau terus memainkan peranan penting dalam membantu masyarakat. Ketika pandemik COVID-19 melanda, beliau telah menyumbangkan sekitar 170 juta Riyal dan membenarkan dua buah hotel miliknya di Mekah digunakan oleh Kementerian Kesihatan Arab Saudi secara percuma sebagai langkah membantu usaha menangani wabak tersebut.

Kisah 3: Wakaf Ladang Kurmanya

Di daerah Al-Qassim, Arab Saudi, terdapat sebuah ladang kurma yang memiliki 200,000 pokok kurma. Keunikan ladang ini terletak pada sistem wakafnya—keseluruhan keuntungan daripada hasil tanaman digunakan sepenuhnya untuk tujuan kebajikan dan wakaf.

Ladang ini menghasilkan kira-kira 45 jenis kurma, dengan sekitar 10,000 tan kurma dijual setiap tahun. Ia diiktiraf sebagai kawasan tanah wakaf terbesar di dunia, di mana semua pendapatan hasil jualan digunakan untuk:

  • Pembinaan masjid di seluruh dunia.
  • Kerja-kerja kemanusiaan.
  • Penganjuran majlis iftar (berbuka puasa) di Masjidil Haram, Mekah dan Madinah.

Ladang ini telah dibangunkan di atas tanah yang diwakafkan oleh seorang dermawan Arab Saudi berstatus bilionair, iaitu Sulaiman al-Rajhi.

Kami akhiri dengan doa:

 آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا

Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.