Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Sejauh manakah kebenaran bahawa zakat menjadikan masyarakat Islam lebih harmoni, seperti satu keluarga yang saling mengambil berat antara satu sama lain?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

خُذۡ مِنۡ أَمۡوَ ٰ⁠لِهِمۡ صَدَقَةࣰ تُطَهِّرُهُمۡ وَتُزَكِّیهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَیۡهِمۡۖ إِنَّ صَلَوٰتَكَ سَكَنࣱ لَّهُمۡۗ وَٱللَّهُ سَمِیعٌ عَلِیمٌ

Maksudnya: “Ambillah sebahagian daripada harta mereka sebagai sedekah (wajib) untuk membersihkan dan menyucikan mereka; dan doakanlah buat kebaikan mereka. Sesungguhnya doa daripadamu (wahai Rasulullah) adalah kebaikan buat mereka. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Taubah: 103)

Imam al-Mawardi berkata dalam tafsirnya bahawa yang dimaksudkan dengan kalimah ‘sadaqah’ ialah sedekah menurut kalam Ibn Zaid dan keduanya ia bermakna zakat, menurut kata-kata ‘Ikrimah. (Lihat Tafsir al-Mawardi, 2/398)

Zakat menjadikan masyarakat Islam seperti satu keluarga yang saling mengambil berat antara satu sama lain. Dalam masyarakat Islam, mereka yang mampu akan bersimpati terhadap mereka yang lemah, dan golongan kaya akan membantu mereka yang dalam kesempitan. Akibatnya, seseorang itu akan merasakan bahawa dia mempunyai saudara seagama yang menjadi tanggungjawabnya untuk dikasihi, sebagaimana Allah ﷻ telah mengurniakan kebaikan kepadanya. Allah ﷻ berfirman:

وَأَحْسِنْ كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ

Maksudnya: “Dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu.”

(Surah al-Qasas: 77)

Dengan ini, umat Islam menjadi seperti satu keluarga besar. Inilah yang dikenali dalam istilah moden sebagai takaful sosial, dan zakat adalah bentuk terbaik bagi merealisasikannya. Ini kerana dengan menunaikan zakat, seseorang bukan sahaja menunaikan kewajipan agama, tetapi juga memberi manfaat kepada saudara-saudaranya yang memerlukan. (Lihat al-Syarh al-Mumti’, 1/6-7)

Benarlah sabda Nabi SAW: Daripada Nu’man bin Basyir bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى

Maksudnya: Perumpamaan golongan yang beriman pada sifat berkasih sayang, saling merahmati, dan saling membantu adalah seperti suatu badan. Apabila ada anggota badan yang sakit, ia menyebabkan keseluruhan tubuh badan tidak dapat tidur dan juga menjadi demam.

Riwayat al-Bukhari (5665), Muslim (2586), al-Tirmizi (1847), al-Nasa’ie (2525) dan Imam Ahmad (19188)

Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani menukilkan sebuah kata-kata menarik daripada Imam Ibn Abi Jamrah apabila mengulas hadis ini yang menyebut: ‘’Secara zahirnya sifat saling merahmati, saling berkasih sayang dan saling membantu ini meskipun mempunyai makna yang hampir sama, akan tetapi terdapat perbezaan tertentu padanya. Adapun saling merahmati, yang dimaksudkan dengannya adalah: Saling merahmati sesama mereka dengan ukhuwwah (persaudaraan) keimanan bukan dengan sebab selainnya. Adapun saling berkasih sayang pula membawa maksud: Saling berhubung yang boleh mendatangkan kasih sayang seperti saling menziarahi dan memberi hadiah. Adapun yang dimaksudkan dengan al-ta’athuf ia adalah mereka saling membantu antara satu sama lain.

Beliau berkata lagi: Nabi SAW memberikan perumpamaan iman dengan tubuh badan dan ahli iman diumpamakan dengan anggota tubuh. Ini kerana iman adalah asal dan cabangnya adalah taklif-taklif. Sekiranya seseorang itu mengabaikan taklif (tanggungjawab) maka yang demikian itu memberi kerosakan kepada asal (keimanan). Demikian jugalah jasad adalah asal seperti sebatang pokok dan anggota-anggota badan seperti dahan-dahan pokok. Apabila satu anggota terasa sakit maka sakitlah jua keseluruhan badan. (Lihat Fath al-Bari, 10/439)

Kami akhiri dengan doa:

 آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا

Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.