Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Betulkah bahawa zakat dapat menghalang berlakunya jenayah seperti kecurian dan rompakan dalam masyarakat?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
خُذۡ مِنۡ أَمۡوَ ٰلِهِمۡ صَدَقَةࣰ تُطَهِّرُهُمۡ وَتُزَكِّیهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَیۡهِمۡۖ إِنَّ صَلَوٰتَكَ سَكَنࣱ لَّهُمۡۗ وَٱللَّهُ سَمِیعٌ عَلِیمٌ
Maksudnya: “Ambillah sebahagian daripada harta mereka sebagai sedekah (wajib) untuk membersihkan dan menyucikan mereka; dan doakanlah buat kebaikan mereka. Sesungguhnya doa daripadamu (wahai Rasulullah) adalah kebaikan buat mereka. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
(Surah al-Taubah: 103)
Imam al-Mawardi berkata dalam tafsirnya bahawa yang dimaksudkan dengan kalimah ‘sadaqah’ ialah sedekah menurut kalam Ibn Zaid dan keduanya ia bermakna zakat, menurut kata-kata ‘Ikrimah. (Lihat Tafsir al-Mawardi, 2/398)
Menjawab persoalan di atas, kami katakan benar sekali yang bahawa zakat boleh menghalang berlakunya jenayah kewangan seperti kecurian, rompakan, perampasan, dan seumpamanya. Ini kerana apabila golongan fakir menerima sesuatu yang dapat menampung keperluan asas mereka, mereka akan merasa lebih tenang dan tidak terdesak untuk melakukan perbuatan jenayah. Mereka juga akan melihat bahawa golongan kaya telah berbuat ihsan terhadap mereka dengan memberikan sebahagian daripada harta mereka, lalu mereka tidak akan melihat golongan kaya sebagai musuh yang perlu mereka perangi atau zalimi. Dengan itu, masyarakat menjadi lebih harmoni dan aman. (Lihat al-Syarh al-Mumti’, 1/6-7)
Begitu juga, apa yang disebut oleh Syeikh al-Jarjawi: “Antara hikmah menunaikan zakat ialah membawa kepada keamanan dalam negara. Beliau memberi banyak alasan dan hujah bagi membenarkan kenyataan tersebut yang jelas menunjukkan bala menimpa masyarakat, negeri, negara dan tempat di mana pengabaian untuk mengeluarkan zakat berlaku. Natijah yang lebih parah lagi membawa kepada pembunuhan, jenayah, pencurian dan juga ramai yang ditangkap dan dimasukkan ke penjara kerana sebab harta benda dan kewangan.” (Lihat Hikmah al-Tasyri’ wa Falsafatuhu, hlm. 169)
Benarlah firman Allah SWT:
هَلْ جَزَاءُ الْإِحْسَانِ إِلَّا الْإِحْسَانُ
Maksudnya: “Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik – melainkan balasan yang baik juga?”
(Surah al-Rahman: 60)
Al-Baghawi menyebutkan bahawa, tiada balasan bagi sifat ihsan di dunia melainkan dibalas dengan ihsan di akhirat. (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 7/455)
Kami akhiri dengan doa:
آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا
Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.”