Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah sahih bahawa zakat boleh menyelamatkan seseorang daripada kepanasan pada hari kiamat?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَأَقْرِضُوا اللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا ۚ وَمَا تُقَدِّمُوا لِأَنفُسِكُم مِّنْ خَيْرٍ تَجِدُوهُ عِندَ اللَّهِ هُوَ خَيْرًا وَأَعْظَمَ أَجْرًا
Maksudnya: “Dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat; dan berilah pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas). Dan (ingatlah), apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, -sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya.”
(Surah al-Muzzammil: 20)
Menjawab persoalan di atas, kami katakan, benar sekali bahawa zakat boleh menyelamatkan seseorang daripada kepanasan pada hari kiamat. Rasulullah ﷺ bersabda:
كُلُّ امْرِئ فِي ظِلِّ صَدَقَتِهِ يَوْمَ الْقِيَامَة
Maksudnya: “Setiap individu akan berada di bawah naungan sedekahnya pada hari kiamat.”
Riwayat Ahmad (17333), Ibn Khuzaimah (2431) dan Ibn Hibban (3301). Hadis ini dinilai sahih dalam Sahih al-Jami‘ [4510].
Al-Munawi berkata: “Setiap orang berada di bawah naungan sedekahnya pada hari Kiamat,” iaitu pada saat matahari didekatkan ke atas kepala manusia. (Lihat Faidh al-Qadir, 5/12)
Dikisahkan kepada kami oleh beberapa orang tua bahawa ada seorang lelaki yang melarang ahli keluarganya daripada bersedekah dengan hartanya, lalu dia berkata: “Jangan sesekali kamu bersedekah dengan apa-apa pun, kerana kamu berada dalam kesulitan disebabkan aku.”
Namun, keluarganya adalah keluarga yang pemurah. Jika ada orang yang memerlukan, mereka tetap memberi. Maka, datanglah seorang fakir yang memerlukan pakaian, lalu mereka memberinya sehelai pakaian. Kemudian datang pula seorang fakir lain yang memerlukan makanan, lalu mereka memberinya tiga butir kurma sahaja.
Pemilik rumah tersebut kemudiannya melihat dalam mimpinya bahawa Hari Kiamat telah berlaku dan manusia berada dalam kesusahan serta kepanasan akibat terik matahari. Dia melihat bahawa ada sehelai kain yang menaunginya, namun terdapat tiga lubang padanya. Kemudian, datanglah tiga butir kurma yang menutup ketiga-tiga lubang tersebut.
Setelah terjaga, dia merasa cemas dan terkejut, lalu berkata kepada keluarganya: “Aku telah melihat begini dan begini dalam mimpiku! Apa yang telah berlaku?”
Mereka menjawab: “Tidak ada apa-apa yang berlaku.”
Namun, dia bertegas: “Kamu mesti memberitahuku!”
Maka, mereka pun memberitahunya tentang apa yang sebenarnya berlaku, bahawa mereka telah bersedekah dengan sehelai pakaian dan tiga butir kurma. Setelah mendengar hal itu, dia berkata kepada mereka: “Aku membebaskan kamu dari laranganku, bersedekahlah dengan apa sahaja yang kamu mahu.”
Peristiwa itu menjadi pembuka kebaikan bagi dirinya. (Lihat Syarh Kitab al-Riqaq min Sahih al-Bukhari, hlm. 105)
Baginda juga bersabda mengenai golongan yang akan mendapat naungan Allah pada hari yang tiada naungan selain naungan-Nya:
رَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ فَأَخْفَاهَا حَتَّى لاَ تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينُهُ
Maksudnya: “Seorang lelaki yang bersedekah secara sembunyi-sembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfaqkan oleh tangan kanannya.”
Riwayat al-Bukhari (1423) dan Muslim (1031)
Ibn Battal berkata: Dan sabda Nabi SAW: “Seorang lelaki yang bersedekah secara sembunyi-sembunyi.” Maksudnya ialah sedekah sunat, kerana bagi sedekah wajib (zakat), lebih utama untuk diumumkan berbanding menyembunyikannya, supaya dapat dijadikan teladan bagi orang lain dan memperlihatkan syiar Islam.
Adapun sabda baginda SAW: “Sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh tangan kanannya,” ia merupakan bentuk penegasan terhadap keperluan menyembunyikan sedekah tersebut. Kebenaran maksud hadis ini juga dapat dilihat dalam firman Allah Ta‘ala: “Jika kamu menzahirkan sedekah, maka itu adalah suatu kebaikan. Namun, jika kamu menyembunyikannya dan memberikannya kepada fakir miskin, maka itu lebih baik bagi kamu.” (Surah al-Baqarah: 271) (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari oleh Ibn Battal, 8/428)
Kami akhiri dengan doa:
آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا
Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.”