Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Betulkah bahawa menunaikan zakat dapat membantu seseorang memahami syariat dan hukum-hukum Allah dengan lebih mendalam?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ

Maksudnya: “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat.”

(Surah al-Baqarah: 43)

Al-Mawardi berkata: Ayat ini merupakan antara dalil kewajipan ke atas setiap individu muslim agar mengeluarkan zakat (setelah sampai nisab dan juga cukup haul) ke atas hartanya supaya dapat membersihkan hati daripada sifat-sifat keji. (Lihat Tafsir al-Mawardi, 2/398)

Kami terangkan sedikit berkenaan ilmu. Ilmu yang dikehendaki dalam kehidupan kita amat banyak tetapi ilmu berkaitan Ahkam Syar’iyyah antara yang utama. Ilmu itu terdiri daripada tiga huruf (عِلْمٌ) yang bermaksud pengetahuan atau makrifah. Ia merupakan salah satu daripada nama dan sifat Allah SWT. la ditakrifkan juga dengan maksud mengetahui dan mendapati sesuatu berbetulan mengikut hakikat yang sebenar. Itulah ilmu. Apakah hakikat ilmu itu?

Lihatlah jawapan ulama:

Pertama: Imam Syafie berkata: “Seseorang itu tidak berhak berkata pada sesuatu perkara yang halal atau haram kecuali dengan ilmu.” Sudut ilmu itu ialah:

  • Apa yang dinaskan dalam Kitabullah.
  • Atau dalam Sunnah.
  • Atau dalam ljmak.
  • Jika tiada, maka Qias atas usul-usul ini, atau apa yang semakna dengannya.

Kedua: Imam Muhammad Ibn Al-Hasan al-Syaibani berkata, ilmu adalah empat wajah:

  • Apa yang terdapat dalam kitab Allah dan seumpamanya.
  • Apa yang terdapat dalam sunnah Rasulullah dan seumpamanya.
  • Apa yang menjadi ijmak para sahabat dan seumpamanya.
  • Apa yang menjadi istihsan para fuqaha dan seumpamanya.

Ibn Abd al-Barr Rahimahullah mentafsirkan maksud Imam Syafie dengan “apa yang semakna dengannya” dan maksud Imam Muhammad Ibn Al-Hasan dengan “dan seumpamanya” dengan kaedah Qias.

Ketiga: Imam Malik berkata: “Ilmu dan hikmah adalah cahaya yang Allah hidupkan dengannya siapa yang dikehendakinya, bukan dengan banyaknya masalah ilmiah.” Hal ini berbetulan dengan kenyataan sahabat Nabi, Abdullah bin Mas’ud Radhiallahu anhu:-

لَيْسَ الْعِلْمُ بِكَثْرَةِ الرِّوَايَةِ ، إِنَّمَا الْعِلْمُ الْخَشْيَةُ

Maksudnya: “Bukanlah ilmu dengan banyaknya hadis tetapi ilmu yang sebenarnya adalah takut kepada Allah.”

Riwayat Ibn Hibban (9) dalam Raudhat al-‘Uqala’

Kata beliau lagi:

رَأْسُ الْحِكْمَةِ مَخَافَةُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ

Maksudnya: “Kepala hikmah itu ialah takut kepada Allah Azza wa Jalla.”

Riwayat al-Baihaqi (729) dalam Syu’ab al-Iman

Ini berbetulan dengan firman Allah SWT:

 إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ

Maksudnya: “Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu.

(Surah Fatir: 28)

Ibn Kathir telah menukilkan sejumlah pandangan ulama berkenaan dengan maksud ayat ini.

Al-Maraghi berkata: “Ini kerana orang yang mengetahui perkara tersebut tentu akan yakin adanya hukuman yang bakal ditimpakan kepada sesiapa sahaja yang derhaka dan ingkar kepada Allah. Atas dasar itu, dia berasa takut kepada Allah dan ngeri dengan hukuman serta seksaannya.”

Keempat: Al-Khattabi berkata: “Ilmu lebih jelas dan terang daripada didefinisikan.” Ertinya, ilmu itu diketahui oleh semua orang yang berakal, sekalipun seseorang itu ada ilmu atau sebaliknya.

Menjawab persoalan di atas, Syeikh Abdul Aziz al-Tarifi berkata, “Ilmu mensabitkan manusia dan ibadah mensabitkan ilmu.

Inilah kedudukan ilmu yang sentiasa memandu ibadat dan dengan ibadat tamkin ilmu akan menjadi kukuh dalam jiwa seseorang. Seorang ulama berkata, “Ilmu hurufnya (عِلْمٌ) ia mempunyai tuntutan untuk melakukannya maka, jadilah (عَمَلٌ).

Hasil daripada ilmu dan amal maka, lahirlah (لَمَعٌ) yang memberi maksud bercahaya. Justeru, amat penting seseorang yang mempunyai ilmu hendaklah beramal dan seseorang yang ingin beramal hendaklah mempunyai ilmu. Apabila kedua-duanya lengkap maka tindakannya sahih dan menepati syarak tanpa sebarang keraguan dan kejahilan. (Lihat Tinta Nasihat untuk Penuntut Ilmu, hlm. 30-32)

Seorang ahli Feqah, Syeikh Syihab al-Din Ibn Ruslan al-Ramli bersenandung di dalam matan beliau:

وَكُلُّ مَنْ بِغَيْرِ عِلْمٍ يَعْمَلُ                            أَعْمَالُهُ مَرْدُودَةٌ لَا تُقْبَلُ

“Setiap siapa tanpa ilmu beramal

Segala amalannya ditolak dan tidak diterima”

(Lihat al-Zubad fi Fiqh al-Syafi‘i, hlm. 4)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa zakat boleh membawa seseorang untuk memahami batasan dan syariat Allah. Ini kerana seseorang tidak akan dapat menunaikan zakatnya dengan sempurna melainkan setelah dia mengetahui hukum-hukum berkaitan zakat, jenis harta yang wajib dizakatkan, kadar nisabnya, serta golongan yang berhak menerimanya. Semua ini menuntutnya untuk memahami ilmu agama dengan lebih mendalam. (Lihat al-Syarh al-Mumti’, 1/6-7)

Kami akhiri dengan doa:

 آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا

Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.