Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah benar zakat dianggap sebagai sebab turunnya keberkatan dan kebaikan dalam kehidupan seseorang?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ
Maksudnya: Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.
(Surah al-Hajj: 41)
Menjawab persoalan di atas, kami katakan, benar sekali zakat menjadi sebab turunnya keberkatan dan kebaikan. Dalam sebuah hadis, Rasulullah ﷺ bersabda:
لَمْ يَمْنَعْ قَوْمٌ زَكَاةَ أَمْوَالِهِمْ إِلَّا مُنِعُوا الْقَطْرَ مِنَ السَّمَاءِ
Maksudnya: “Tidaklah sesuatu kaum menahan zakat harta mereka melainkan mereka akan dihalang daripada mendapat hujan dari langit.”
Riwayat Ibn Majah (4019) dan al-Tabarani (13619). Hadis ini dinyatakan sahih dalam Sahih al-Jami‘ [5204].
Al-Munawi berkata: Iaitu tidak turun kepada mereka hujan sebagai hukuman dengan sikap mereka yang tidak menunaikan zakat kepada yang berhak. Maka manfaat mereka dengan hujan sepatutnya mereka perolehi, terikut sama bagi binatang, bahkan binatang ketika itu jauh lebih baik daripada mereka. Ini merupakan ancaman yang keras kepada golongan yang tidak menunaikan zakat. (Lihat Faidh al-Qadir, 5/297)
Hal ini juga berdasarkan nas hadith Nabi SAW, di mana malaikat mendoakan. Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِنْ يَوْمٍ يُصْبِحُ الْعِبَادُ فِيْهِ إِلاَّ مَلَكَانِ يَنْزِلاَنِ فَيَقُوْلُ أَحَدُهُمَا: اَللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا. وَيَقُوْلُ اْلآخَرُ: اَللَّهُمَّ أَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا
Maksudnya: “Tiada satu hari pun di mana seorang hamba berpagian, melainkan dua Malaikat turun kepadanya. Salah satu dari keduanya berkata: “Ya Allah! Kurniakanlah kepada pemberi sedekah, gantian.” Manakala Malaikat satu lagi berkata: “Ya Allah! Jadikanlah kepada yang kedekut, kehilangan.”
Riwayat al-Bukhari (1442) dan Muslim (1010)
Imam Badruddin al-‘Aini menjelaskan bahawa padanya terdapat doa malaikat, sedangkan doa malaikat adalah sebuah doa yang akan selalu dimakbulkan berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang ucapan aminnya itu bertepatan dengan ucapan para malaikat, maka diampunkan dosanya yang telah lalu.” (Lihat Umdah al-Qari, 8/307)
Kami akhiri dengan doa:
آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا
Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.”