Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Sejauh manakah kebenaran amalan bersedekah dapat berperanan dalam menghalang bencana dan musibah yang menimpa seseorang?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ

Maksudnya: “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat.”

(Surah al-Baqarah: 43)

Syeikh al-Sa‘di menyebutkan, ayat di atas antaranya mengandungi perintah Allah SWT supaya mengeluarkan zakat daripada harta-harta yang telah Allah SWT kurniakan kepada para hamba-Nya, lalu memberikannya kepada orang-orang fakir dan selainnya yang terdiri daripada penerima-penerima zakat yang telah disebutkan oleh Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 573).

Ia boleh berperanan dalam menghalang bencana. Ia ibarat bertarung dengan bala yang turun dari langit agar tidak sampai ke bumi. Dengan izin Allah, sedekah menjadi sebab perlindungan daripada musibah yang menimpa seseorang. (Lihat al-Syarh al-Mumti’, 1/6-7)

Benarlah sabda Rasulullah SAW, daripada Anas bin Malik R.A:

 صَنَائِعُ الْمَعْروُفِ تَقِي مَصَارِعَ السُّوءِ

Maksudnya: “Melakukan perkara yang baik dan makruf boleh menyelamatkan daripada tempat-tempat kejahatan atau kebinasaan.”

Riwayat al-Hakim (429), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat(6086) dan al-Munziri dalam al-Targhib wa al-Tarhib (2/69)

Al-Munawi berkata: “Dan sesungguhnya orang yang berbuat kebaikan” – yakni yang melakukan ihsan dan kebaikan kepada orang lain – “akan terpelihara daripada tempat jatuh yang buruk.” Perkataan ‘صَنِيْعَة’ (ṣanī‘ah) adalah bentuk jamak kepada ‘صَانِعُ الْمَعْرُوفِ’ (ṣāni‘ al-ma‘rūf) yang bermaksud perbuatan baik atau ihsan yang dilakukan seseorang kepada orang lain. Dalam kitab al-Misbah dan sumber lain, ia merujuk kepada segala kebaikan yang diusahakan oleh seseorang. Maksud ‘تَقِي مَصَارِعَ السُّوءِ’ adalah bahawa perbuatan baik itu akan menjadi sebab seseorang terselamat daripada akibat buruk atau tempat jatuh yang membinasakan. (Lihat Faidh al-Qadir, 2/456)

Daripada ‘Amr bin ‘Auf al-Muzani, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

صَدَقَةٌ المَرْءِ المُسْلِمِ تَزِيدُ فِي الْعُمُرِ، وَتَمْنَعُ مِيتَةَ السُّوء وَيُذْهِبُ الله تَعَالَى بِهَا الْفَخْرَ وَالْكِبْرَ

Maksudnya: “Sedekah seorang Muslim dapat memanjangkan usia, mencegah mati dalam keburukan dan Allah menghilangkannya daripada sifat bangga diri dan takabbur.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (13518). Al-Suyuti dalam al-Jami’ al-Saghir (4979) menyatakan hadith ini sebagai dha’if. Manakala pengarang Dha’if al-Jami’ (3471) menyatakannya sebagai dha’if jiddan.

Al-Munawi berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Sedekah seorang Muslim menambah umurnya dan mencegah kematian yang buruk.” Dalam hadis ini, kata ميتة” (mitah) disebut dengan baris bawah pada huruf mim dan baris atas pada huruf sin. Asal katanya ialah موتة” (mawtah), namun huruf waudiubah menjadi ya, yang membawa maksud keadaan seseorang ketika mengalami kematian.

Maksud “kematian yang buruk” ialah kematian yang tidak diingini akibat keadaan yang mengundang kebinasaan atau kesudahan yang buruk. Ia merujuk kepada keadaan-keadaan tertentu yang menimpa seseorang ketika ajalnya hampir tiba, seperti:

  • Kemiskinan yang melampau
  • Penyakit yang menyakitkan dan berpanjangan
  • Kematian mengejut (sudden death)
  • Kematian akibat lemas (tenggelam)
  • Kematian akibat kebakaran
  • Dan seumpamanya

Pendapat ini dinyatakan oleh al-Turbusyti. Manakala al-Hakim, yang diikuti oleh sekumpulan ulama, menyatakan bahawa “kematian yang buruk” merujuk kepada perkara yang Rasulullah ﷺ sendiri berlindung daripadanya dalam doa baginda.

Al-Tibi pula menjelaskan bahawa “kematian yang buruk” merujuk kepada kesudahan yang buruk (su’ al-khatimah) dan akibat yang tidak baik (wakhāmah al-‘āqibah).

Rasulullah ﷺ bersabda: “Dan Allah akan menghapuskan sifat bangga diri dan kesombongan dengan sedekah.” Kenyataan ini tidak bercanggah dengan hakikat bahawa sedekah menambah umur, sebagaimana firman Allah: “Dan tiada seorang pun yang diberi umur panjang, atau dikurangkan umurnya, melainkan telah tertulis dalam Kitab (Luh Mahfuz).” (Surah Fatir: 11)

Ini kerana dalam bahasa Arab, sesuatu perkara kadangkala dinamakan berdasarkan kesudahannya. Dalam ayat tersebut, kata ganti dalam “dan tidak dikurangkan dari umurnya” kembali kepada orang yang diberi umur panjang, walaupun secara zahirnya kelihatan mustahil umur seseorang dikurangkan setelah diberikan umur panjang. Ini adalah sebahagian daripada bentuk kelonggaran dalam gaya bahasa (tasamuh fil ibarah), di mana pemahaman umum seseorang terhadap ayat ini boleh berbeza berdasarkan tahap pemahamannya.

Namun, apabila diteliti dengan lebih mendalam, seseorang yang telah ditetapkan umurnya panjang boleh sahaja mencapai had usia yang telah ditetapkan untuknya, tanpa mengalami pertambahan mahupun pengurangan dalam ketetapan asalnya. Ini kerana takdir yang telah ditentukan bagi setiap manusia bukanlah berdasarkan jumlah hari atau tahun secara mutlak, tetapi berdasarkan jumlah hembusan nafas yang telah ditentukan baginya.

Bilangan nafas ini boleh bertambah atau berkurang bergantung kepada faktor kesihatan, kehadiran hati (hudur al-qalb), penyakit, keletihan, dan keadaan fizikal seseorang. Hal ini dinyatakan oleh Ibn al-Kamal, yang mengambil pandangan ini daripada al-Kashshaf dan sumber lain. (Lihat Faidh al-Qadir, 4/193)

Kami akhiri dengan sebuah kisah berikut: Abu Uthman al-Hiri al-Naisaburi, beliau adalah imam di masjid di Naisabur menceritakan yang bahawa di tempatnya dikuasai oleh seorang pemimpin yang zalim, yang bernama Ahmad Ibn Abdillah al-Khujustani. Beliau bernazar jika peniaga tidak meletakkan dan memberikan kepadanya emas yang di satu tempat yang dipanggil Marba’ani (satu kawasan yang dibina di tanah tinggi untuk diisi dengan harta benda seperti dinar dan dirham), nescaya akan dibunuh.

Setiap seorang dikehendaki membayar sekurang-kurang 30 ribu dirham. Salah seorang peniaga datang bertemu Abu Uthman al-Hiri: “Hai Abu Uthman. Kamu telah mendengar nazar gabenor tersebut sedangkan tidak ada di sisiku melainkan tiga ribu dirham sahaja. Apa yang kamu cadangkan kepada kami? Sedangkan esok adalah hari yang mesti diserahkannya.” Katanya Abu Uthman: “Adakah kamu izinkan untuk aku menggunakan hartamu yang memberi manfaat kepadamu?” Jawabnya, “Ya.”

Kemudian dia membahagikan semuanya kepada fakir miskin wang sejumlah tiga ribu tersebut dan beliau pun terus-menerus berdoa pada malam tersebut sehinggalah azan Subuh dikumandangkan.

Kemudian orang ramai menunggu untuk diiqamatkan solat. Lalu dia berkata kepada khadamnya, “Pergilah lihat. Adakah berlaku apa-apa di negeri ini?”

Lalu khadam pergi dan kemudian pulang memberitahunya bahawa tiada apa-apa yang berlaku. Lalu Abu Uthman sujud dan berdoa. Antara doa yang beliau baca ialah:

وَحَقِّكَ لَا أَقَمْتُ الصَّلَاةَ حَتىَّ تُفَرِّجَ عَنْ عِبَادِكَ

Maksudnya: “Demi hak-Mu. Aku tidak mendirikan solat sehinggalah Kamu melepaskan bala ini daripada hamba-hamba-Mu.”

Kemudian dia menyuruh khadamnya sekali lagi pergi untuk melihat apa yang berlaku di pasar atau pekan. Kemudian, khadamnya pun pergi dan dengan segera pulang seraya memberitahunya: “Gabenor Ahmad Ibn Abdillah al-Khujustani telah ditikam dan perutnya terburai. Yang membunuhnya adalah mamaliknya sendiri (khadamnya).”

Lalu Abu Uthman pun mendirikan solat. Dengan sebab itu, Imam al-Zahabi berkata: “Kisah ini menunjukkan betapa besar dan pentingnya kelebihan waktu.” (Lihat Keajaiban Sedekah, hlm. 94-95)

Kami akhiri dengan doa:

 آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا

Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.