Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah zakat dan sedekah boleh membantu menghapuskan dosa-dosa seseorang?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
لَئِنْ أَقَمْتُمُ الصَّلَاةَ وَآتَيْتُمُ الزَّكَاةَ وَآمَنتُم بِرُسُلِي وَعَزَّرْتُمُوهُمْ وَأَقْرَضْتُمُ اللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا لَّأُكَفِّرَنَّ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَلَأُدْخِلَنَّكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ ۚ فَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ مِنكُمْ فَقَدْ ضَلَّ سَوَاءَ السَّبِيلِ
Maksudnya: Demi sesungguhnya jika kamu dirikan sembahyang, serta kamu tunaikan zakat, dan kamu beriman dengan segala Rasul (utusanku) serta menolong bantu mereka (dalam menegakkan ugama Allah), dan kamu pinjamkan Allah (dengan sedekah dan berbuat baik pada jalanNya) secara pinjaman yang baik (bukan kerana riak dan mencari keuntungan dunia), sudah tentu Aku akan ampunkan dosa-dosa kamu, dan Aku akan masukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Oleh itu, sesiapa yang kufur ingkar di antara kamu sesudah yang demikian, maka sesungguhnya sesatlah ia dari jalan yang betul”
(Surah al-Maidah: 12)
Zakat dan sedekah menghapuskan dosa-dosa. Rasulullah ﷺ bersabda:
الصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الْخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ
Maksudnya: “Sedekah itu memadamkan dosa sebagaimana air memadamkan api.”
Riwayat al-Tirmizi (2616), Ibn Majah (3973), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (1133) dan Ahmad (22069). Hadis ini dinilai sahih dalam Sahih al-Jami‘ [5136].
Maksudnya, ia menghapuskan dosa dan menghilangkannya, sebagaimana yang telah disebutkan bahawa kebaikan-kebaikan itu menghapuskan keburukan-keburukan.” (Lihat Mir’at al-Mafatih, 14/222)
Maka dalamnya terdapat galakan untuk bersedekah. Jika dosa-dosamu banyak, maka perbanyakkanlah sedekah, kerana sesungguhnya ia memadamkan dosa. (Lihat al-Talkhis al-Mu’in ‘ala Syarh al-Arba’in, hlm. 154)
Al-Mubarakfuri berkata: Ungkapan “وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ” (Sedekah memadam dosa sepertimana air memadam api) dengan maksud menghilangkannya dan menghapuskan kesannya. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 3/237)
Kami akhiri dengan doa:
آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا
Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.”