Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Tangan saya terluka kerana kucing saya cakar  dan menyebabkan kesan gores di pergelangan tangan saya dan beberapa minit kemudian saya dapati ada kesan darah yang telah kering di pergelangan saya. Saya tidak pasti sama ada saya telah membersihkannya atau tidak tetapi saya ada mencuci tapak tangan saya dan merasa pedih di pergelangan tangan saya sebelum saya menyedari dan saya mendapati pakaian yang saya pakai tiada kesan darah tetapi saya ada menyentuh barang adakah barang yang saya pegang dikira sebagai najis dan darah hanya sedikit di pergelangan tangan saya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Abu Qatadah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّهَا لَيْسَتْ بِنَجَسٍ، إِنَّمَا هِيَ مِنَ الطَّوَّافِينَ عَلَيْكُمْ، أَوِ الطَّوَّافَاتِ

Maksudnya: “Sesungguhnya kucing itu tidak najis kerana ia ialah haiwan yang berkeliaran di sekeliling kamu.”

Riwayat al-Tirmizi (92); Abu Daud (75); al-Nasa’i (68); Ibn Majah (367)

Maka, kita ketahui bahawa di sana ada kelonggaran dan hukum khas yang diberikan kepada kucing kerana ia termasuk dalam haiwan yang biasanya berkeliaran di tempat tinggal manusia atau dijadikan sebagai haiwan peliharaan.

Al-San‘ani menyebutkan dalam kitabnya bahawa Allah SWT telah memberi keringanan kepada hamba-Nya (hukum berkaitan kucing) dengan menjadikannya tidak najis, bagi menghilangkan kesusahan kepada manusia, dan hadith ini merupakan dalil bahawa kucing itu adalah suci, begitu juga bekas minumannya (air yang telah diminum). (Lihat Subul al-Salam, 1/33).

Kami nyatakan terlebih dahulu bahawa para fuqaha telah bersepakat mengenai pengharaman darah (yang mengalir) dan juga kenajisannya.  (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/557; al-Hidayah Syarh Bidayah al-Mubtadi, 1/34-35; Mawahib al-Jalil, 3/234; Mughni al-Muhtaj, 1/112; al-Mughni, 11/65; al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 2/220-221).

Di antara dalil yang menunjukkan kepada kenajisan darah (yang mengalir) ialah kita diperintahkan untuk mencucinya. Ini sebagaimana riwayat daripada daripada Asma’, katanya:

جَاءَتِ امْرَأَةٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ: أَرَأَيْتَ إِحْدَانَا تَحِيضُ فِي الثَّوْبِ، كَيْفَ تَصْنَعُ؟ قَالَ: تَحُتُّهُ، ثُمَّ تَقْرُصُهُ بِالمَاءِ، وَتَنْضَحُهُ، وَتُصَلِّي فِيهِ

Maksudnya: “Seorang perempuan datang kepada Rasulullah SAW lalu bertanya: ‘Bagaimanakah pendapat tuan jika salah seorang daripada kami, kainnya terkena darah haid, apakah yang harus dia lakukan?’ Rasulullah SAW menjawab: ‘Hendaklah dia menyental (kain yang terkena darah itu), kemudian menggores dengan kukunya dengan air, dan merenjisnya dengan air, setelah itu bolehlah dia menunaikan solat dengannya.’”

Riwayat al-Bukhari (227)

Ini bermakna darah jika terkena pada badan, pakaian atau tempat solat maka solat itu tidak sah kerana dikira sebagai menanggung najis. Sekalipun begitu, dalam hal darah tersebut, para ulama membezakan di antara jumlah atau kuantiti darah yang terkena pada badan/pakaian dalam menentukan kesahan solatnya.

Justeru, darah yang sedikit yang terkena pada pakaian, tidak kira ia darah manusia mahupun darah haiwan, maka ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan dan sah solat dengannya. Menurut Imam Nawawi, apabila seseorang itu membunuh nyamuk dan kutu dan darahnya terkena pada pakaian atau melekat pada celah-celah jari, hukumnya adalah najis jika ia dalam jumlah yang banyak. Adapun jika sedikit, maka terdapat perselisihan ulama mengenainya, dan pendapat yang paling sahih, ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan. (Lihat  al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/135).

Tambahan lagi, hal ini juga adalah sebagaimana dinyatakan oleh Syeikh Nawawi al-Jawi al-Bantani dalam kitabnya, bahagian najis yang dimaafkan pada pakaian tetapi tidak dimaafkan pada air iaitu darah yang sedikit. Hal ini kerana mudah untuk mengelakkan air dari terkena darah, berbeza halnya dengan pakaian (yang sukar untuk dielakkan daripada terkena darah). Termasuklah juga dalam bahagian ini kesan istinja’ dengan batu, ia juga dimaafkan pada pakaian dan badan sekalipun jika sebahagiannya mengalir dengan peluh lalu terkena pada pakaian di tempat berhampiran kemaluan ia turut dimaafkan. Namun, tidak dimaafkan dalam hal beristinja’ dengan air. (Lihat Nihayah al-Zain, hlm. 44).

Selain daripada itu, pengarang al-Fiqh al-Manhaji juga ada menyebutkan sebahagian najis-najis yang dimaafkan. Di antaranya, darah luka atau nanah walaupun banyak dengan syarat ia terjadi pada dirinya sendiri, bukan daripada perbuatannya dan tidak disengajakannya, serta tidak terkena ke tempat lain. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/43).

Begitu juga al-Bakri al-Dimyati juga ada menyatakan, darah bisul, luka, jerawat, tempat-tempat fasdu (flebotomi) dan bekam selepas ditutup atau ditampal dengan kapas misalnya, maka ia dimaafkan pada kadar/kuantiti darah yang banyak sebagaimana ia dimaafkan pada kuantiti yang sedikit, sekalipun ia tersebar disebabkan berbekam selagimana bukan daripada hasil perbuatannya sendiri dan tidak melampaui tempatnya (yakni tidak terkena tempat lain). Sekiranya tidak, maka ia dimaafkan pada kadar/kuantiti yang sedikit. (Lihat I‘anah al-Talibin, 1/120).

Oleh itu, dapat difahami daripada kenyataan di atas, jika darah seseorang keluar disebabkan luka sekalipun banyak bukan kerana perbuatannya sendiri, lalu tempat luka itu dibalut dengan kain atau seumpamanya, maka ia termasuk dalam najis yang dimaafkan dengan syarat ia tidak berpindah ke tempat lain, meskipun jelas pada balutan tersebut kesan merah disebabkan banyaknya darah yang keluar.

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan kesemua barangan yang anda pegang itu tidak dikira sebagai najis. Hal ini kerana darah tersebut telah kering dan dalam kuantiti yang sedikit sahaja (bukan mengalir), maka ia dimaafkan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَحْسِنْ عَاقِبَتَنَا فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا ، وَأَجِرْنَا مِنْ خِزْيِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْآخِرَةِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Perelokkanlah kesudahan segala urusan kami, serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan seksaan hidup di akhirat.”

Riwayat Ahmad (17628), al-Tabarani dalam al-Du’a (1436), al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (269) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (6508)