Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana perbincangan was-was dalam al-Quran dan hadith?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ وَنَعْلَمُ مَا تُوَسْوِسُ بِهِ نَفْسُهُ

Maksudnya: Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya

(Surah Qaf: 16)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan, terdapat beberapa nas al-Quran dan hadith yang menyentuh berkenaan permasalahan waswas. Syaitan akan membisikkan bisikan ke dalam hati-hati anak Adam ketika anak Adam berada dalam keadaan sedih dan gembira. Jika manusia itu berjaya untuk mengingati Tuhannya, maka syaitan itu akan menjauhinya. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 4/750).

Firman Allah SWT:

الشَّيْطَانُ يَعِدُكُمُ الْفَقْرَ وَيَأْمُرُكُمْ بِالْفَحْشَاءِ

Maksudnya: “Syaitan menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (kikir).”

(Surah al-Baqarah: 268)

Ibn Kathir dalam tafsirnya menyebutkan, maksud ayat ini adalah, syaitan sentiasa menakutkan kamu dengan kefakiran dengan menahan apa yang ada dalam tangan kamu supaya kamu tidak menginfakkan harta kamu pada jalan keredhaan Allah, dan syaitan sentiasa melarang kamu daripada berinfak dan sentiasa menyuruh kamu melakukan kemaksiatan, dosa serta perkara yang diharamkan dan juga yang menyalahi akhlak. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/538)

Manakala dalam hadith, ia boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

الشَّيْطَانُ جَاثِمٌ عَلَى قَلْبِ ابْنِ آدَمَ ، فَإِذَا ذَكَرَ اللهَ خَنَسَ وَإِذَا غَفَلَ وَسْوَسَ

Maksudnya: “Syaitan itu duduk bercangkung di atas hati manusia, apabila manusia menyebut nama Allah, dia (syaitan) akan mengundurkan diri dan apabila manusia lalai, dia (syaitan) akan membisikkan kejahatan.”

Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (35919), Abu Daud dalam al-Zuhd(337). Hadith ini sanadnya dinilai sahih oleh pengarang Takhrij Misykat al-Masabih (2221)

Al-Tibi menjelaskan, lafaz ini merupakan majaz iaitu tipu daya syaitan dan bisikannya berjalan pada manusia sebagaimana darah berjalan pada salurannya. Syaitan ini sentiasa memperdayakan jiwa manusia, dan sentiasa meniupkan bisikan dan waswas pada hati dan jiwa manusia dengan menggunakan kemarahan dengan menggunakan darah (dalam diri manusia) dan menggunakan kekuatannya. Cara merawatnya adalah dengan lapar dan berpuasa kerana ia dapat menghalang hawa nafsu dan juga syahwat yang merupakan senjata syaitan. Kekenyangan membawa kepada dosa, kekurangan iman dan juga gangguan fikiran. (Lihat al-Kasyif ‘an Haqa’iq al-Sunan, 2/521).

Dalam hadith lain, daripada Abdullah bin Mas‘ud, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ لِلشَّيْطَانِ لَمَّةً بِابْنِ آدَمَ

Maksudnya: “Sesungguhnya syaitan merasuk dan mengganggu manusia”

Riwayat al-Tirmizi (3256)

Al-Mubarakfuri dalam syarahnya menyebutkan, sesungguhnya syaitan dan tenteranya mendekati hati dengan bisikan dan was-was kepada manusia, dan bisikan syaitan ini mengajak kepada kekafiran, kefasiqan dan kezaliman. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/265)

Selain daripada itu, Safiyyah binti Huyay R.Anha pula ada meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الشَّيْطَانَ يَجْرِي مِنْ ابْنِ آدَمَ مَجْرَى الدَّمِ

Maksudnya: “Sesungguhnya  syaitan itu bergerak di dalam diri anak-anak Adam melaui saluran darah.”

Riwayat al-Bukhari (7171) dan Muslim (2174)

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa al-Qadhi dan selainnya berkata, dikatakan iaberdasarkan zahir pada hadith tersebut dan Allah menjadikan bagi syaitan kekuatan untuk mengalir dalam perut manusia dan juga mengalir dalam darah manusia. Dikatakan juga, disampaikan kepadanya waswas dan bisikan yang lembut daripada badannya, maka sampailah waswas dan bisikan itu ke dalam hati. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/157).

Alangkah baiknya, kita melazimi surah al-Nas sebagaimana firman-Nya:

قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ ١ مَلِكِ ٱلنَّاسِ ٢ إِلَـٰهِ ٱلنَّاسِ ٣ مِن شَرِّ ٱلْوَسْوَاسِ ٱلْخَنَّاسِ ٤ ٱلَّذِى يُوَسْوِسُ فِى صُدُورِ ٱلنَّاسِ ٥ مِنَ ٱلْجِنَّةِ وَٱلنَّاسِ

Maksudnya: “Katakanlah wahai Muhammad, “Aku berlindung dengan Tuhan manusia.” “Pemilik dan Raja manusia.” “Tuhan yang disembah manusia.” “Daripada kejahatan was-was bisikan syaitan.”“Syaitan yang mencampakkan bisikan was-wasnya dalam dada-dada manusia.” “Syaitan dalam kalangan jin dan manusia.”

(Surah al-Nas: 1-6)

Kami akhiri dengan doa:

نَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

Maksudnya: “Kami berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Dia ciptakan.”