Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah Dato ceritakan sedikit tentang latar belakang imam al-Ghazali?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ

Maksudnya: “Oleh itu, hendaklah sebahagian sahaja daripada tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah). ”

Surah al-Taubah (122)

Pada ayat ini, Allah SWT dengan jelas menyatakan suruhan bagi sebahagian umat Islam mempelajari ilmu agama dan kemudiannya mengajarkannya kepada orang ramai. Syeikh al-Sa’di ketika mentafsirkan ayat ini berkata bahawa Allah SWT menyuruh sebahagian daripada umatnya untuk mempelajari ilmu syarak dan mempelajari larangan-larangan agama, memahami rahsia-rahsianya, dan mempelajari juga ilmu selainnya dan seterusnya mengajar kaumnya setelah sebahagian daripada mereka yang lain pulang (dari berjihad). (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 355)

Biografi Imam al-Ghazali  (Kelahiran dan Pendidikan)

Nama penuhnya Muhammad ibn Muhammad ibn Muhammad ibn Ahmad, dan nama gelaran nisbahnya al-Ghazali al-Tusi. Nama panggilannya (kunyah) pula Abu Hamid. Di antara nama-nama gelaran lain yang telah diberikan kepadanya ialah Hujjatul al-Islam, Siraj al-Mujtahidin dan Zain al-‘Abidin.

Abu Hamid al-Ghazali dilahirkan pada tahun 450 Hijrah di desa Ghazalah, di pinggir kota Tus, yang terletak pada hari ini di bahagian timur laut negara Iran, berdekatan dengan kota Mashhad, ibu kota wilayah Khurasan.

Keluarga Abu Hamid al-Ghazali kuat beragama. Ayahnya bekerja menenun kain dari bulu biri-biri. Hasil tenunan kainnya itu dibawa dari desa Ghazalah ke kota Tus untuk dijual di sana. Walaupun si ayah adalah seorang lelaki yang miskin, dia juga merupakan seorang yang jujur dan baik hati.

Dia suka bergaul dengan para ulama dan juga para sufi sambil memetik ilmu-ilmu agama, serta berbakti dan berkhidmat kepada mereka. Kerana selalu mendampingi orang-orang yang berilmu dan sering pula mendengar ceramah-ceramah daripada mereka, si ayah telah merasa kesan positifnya, lalu berdoa agar dia dikurniakan seorang anak yang cerdik, berilmu dan juga soleh. Doanya itu telah diperkenankan Allah SWT

Lahirlah anaknya yang telah diberikan nama Muhammad. Pada hari tuanya, Muhammad ini telah menjadi bukan sahaja seorang soleh, malah telah menjadi seorang guru pula kepada golongan al-solihin di zamannya, dan telah dikenali umum sebagai al-Imam Abu Hamid al-Ghazali. Juga digelar sebagai Hujjatul Islam.

Ayah Abu Hamid al-Ghazali telah meninggal dunia ketika Abu Hamid berusia lebih kurang enam tahun. Setelah ayahnya meninggal dunia, beliau dan adik lelakinya yang bernama Ahmad, telah hidup di bawah asuhan seorang sahabat ayah mereka, seorang mutasawwif (ahli tasawwuf).

Selepas habis wang peninggalan arwah bapanya, Imam al-Ghazali berhijrah ke Tus dan belajar di sebuah sekolah yang dibangunkan oleh Perdana Menteri, Nizam al-Mulk iaitu Al-Madrasah al-Nizamiyyah. Madrasah ini membiayai makanan, pakaian, dan juga kitab-kitab kegunaan para pelajarnya.

Al-Imam Abu Hamid al-Ghazali telah belajar ilmu fiqh daripada seorang alim yang bernama Al-Syeikh Ahmad ibn Muhammad al-Radhakani. Dia juga telah mempelajari ilmu nahu dan ilmu hisab, serta telah berjaya menghafal isi al-Quran. Dia lebih menggemari ilmu-ilmu yang zahir seperti ilmu fiqh, sedangkan adiknya yang bernama Ahmad itu, sejak masa mudanya lagi sudah mula cenderung kepada ilmu tasawuf.

Kemudian, pada tahun 465 Hijrah, al-Imam Abu Hamid al-Ghazali telah pergi ke Jurjan (di dalam bahasa Parsi disebut sebagai Gorgan dan kota lama ini terletak lebih kurang 160 kilometer dari Tus) dan telah belajar daripada seorang guru yang bernama Abu Nasr Al Ismaili dan mempelajari tasawuf daripada Yusuf al-Nassaj, seorang sufi terkenal serta ramai guru lain.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan Imam al-Ghazali dan buku terjemahan kitab Imam al-Ghazali, anda boleh dapatkan buku tulisan kami bertajuk, “Minhaj al-Abidin Panduan Para Hamba Menuju ke Syurga.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لاَ يَنْفَعُ ، وَمِنْ قَلْبٍ لاَ يَخْشَعُ، وَمِنْ نَفْسٍ لاَ تَشْبَعُ ، وَمِنْ دَعْوَةٍ لَا يُسْتَجَابُ لَهَا

Maksudnya: “Ya Allah! Kami berlindung dengan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, daripada nafsu yang tidak puas, dan daripada doa yang tidak diterima.”