Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya teringat satu kisah tentang imam al-Ghazali terima nasihat dari seorang penyamun, tetapi saya terlupa jalan ceritanya. Boleh dato ceritakan secara ringkas tentang kisah tersebut?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيَاءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيَاءً يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ
Maksudnya: Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah memberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang boleh mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.
(Surah al-Baqarah: 269)
Al-Syaukani berkata: Firman Allah: يُؤْتِى الْحِكْمَةَ (Allah menganugerahkan hikmah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya) Maksudnya, ilmu pengetahuan , seperti yang dikemukakan oleh sesetengah pendapat. Tafsiran lain menyebut bahawa ia merujuk kepada pemahaman yang mendalam terhadap pelbagai perkara , terutamanya terhadap al-Qur’an dan as-Sunnah . Selain itu, ada juga pandangan yang menyatakan bahawa hikmah ini merujuk kepada ketepatan dalam ucapan dan tutur kata .
Firman Allah: وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِىَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ (Dan sesiapa yang dianugerahkan hikmah, sesungguhnya dia telah menerima kurniaan yang besar) Maksudnya : kurniaan itu adalah nilai yang tinggi . Ini kerana individu tersebut mampu meletakkan sesuatu perkara pada tempat yang sewajarnya , membuat pertimbangan yang tepat dalam setiap urusan, serta mempunyai keupayaan untuk mengurus dengan baik . Kebaikan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada dirinya, tetapi juga kepada orang di sekelilingnya, hasil daripada tindakan yang bermanfaat, kebijaksanaan yang hebat, serta seruan yang penuh keagungan . (Lihat Fath al-Qadir, 2/327)
Kisah Syeikh Abu Hamid dan Nasihat Daripada Penyamun
Setelah tamat belajar di Jurjan, al-Imam Abu Hamid al-Ghazali pun pulang ke Tus pada tahun 470 Hijrah. Dia telah mengikat nota-nota pelajarannya itu di dalam sebuah bungkusan dan kemudian telah bertolak bersama sebuah kafilah. Di tengah-tengah perjalanan, kafilah itu telah ditahan oleh sekumpulan penyamun yang telah merampas harta setiap anggota kafilah itu.
Ketika sampai giliran al-Imam Abu Hamid al-Ghazali pula, setiap barang kepunyaannya telah digeledah dan dirampas oleh kumpulan penyamun itu. Ketika penyamun-penyamun itu menyentuh bungkusan nota-notanya, al-Imam Abu Hamid al-Ghazali telah berkata, “Ambillah semua yang engkau mahu, tetapi jangan engkau ambil bungkusan ini.”
Penyamun-penyamun itu pula telah menyangka yang bungkusan itu mungkin mengandungi harta-harta yang amat berharga. Mereka pun membuka bungkusan itu. Tetapi mereka hanya menjumpai beberapa helai kertas yang sudah bertulis. Mereka pun bertanya, “Apa ini?”
Al-Imam Abu Hamid al-Ghazali telah menjawab, “Ini adalah hasil titik peluhku. Kerananya, aku telah meninggalkan kampung halamanku agar aku dapat mendengar, menulis dan memperolehi ilmunya.”
Seorang anggota kumpulan penyamun itu telah ketawa dan telah berkata, “Bagaimanakah engkau boleh mendakwa yang engkau telah memperolehi ilmunya? Andaikata kami rampas bungkusan ini, engkau akan kehilangan ilmunya. Ilmu yang tersimpan di dalam beberapa helai kertas bukanlah ilmu yang sebenar!”
Bungkusan nota-nota itu pun dikembalikan kepada al-Imam Abu Hamid al-Ghazali.. Kata-kata daripada si penyamun itu telah menyebabkan al-Imam Abu Hamid al-Ghazali tersedar dan mengubah cara dia berfikir.
Beberapa tahun kemudian, ketika dia mengingati kembali peristiwa ini, al-Imam Abu Hamid al-Ghazali telah berkata, “Kata-kata daripada lelaki itu sebenarnya adalah kata-kata yang telah digerakkan (yakni diilhamkan). Allah telah menggerakkannya untuk berkata dengan kata-katanya itu, agar aku dapat menerima petunjuk. Apabila aku sampai semula di Tus, aku telah bekerja keras selama tiga tahun, sehingga aku telah berjaya menghafal segala yang telah aku tulis.”
Al-Imam Abu Hamid al-Ghazali juga telah berkata, “Sebaik-baik nasihat dan teguran yang telah menyebabkan aku mengubah cara aku berfikir, telah datang daripada seorang penyamun jalanan!
Daripada sini, kami nyatakan peri pentingnya belajar ilmu, memahami dan menghafaz ilmu:
Hafazan adalah perkara penting bagi pelajar tolibul ilm, sebab itu Imam al-Rahabi dalam Matan al-Rahabiah (hal. 4) berkata:
فَاحْفَظْ فَكُلُّ حَافِظٍ إِمَامٌ
Maksudnya: “Maka hafazlah, kerana setiap orang yang menghafaz layak menjadi imam.”
Sebenarnya menghafaz masa kecil banyak memberi kesan dan ingatan yang kuat takala dewasa. Dalam Jami’ Bayan al-Ilmi menyebut beberapa contoh antaranya:
- Ibrahim bin Alqamah berkata: “Apa yang aku hafaz ketika kecil atau muda seolah-olah aku melihat pada kertas.
- Al-Hasan bin Ali menasihatkan anak cucunya: “Belajarlah kamu ketika kamu kecil nescaya kamu menjadi orang yang hebat pada esok hari. Siapa yang tak dapat menghafaz hendaklah menulis dan mencatatnya.”
- Abu Ubaidillah Naftawaih berkata: “Aku dapati diriku lupa bila aku belajar masa tua dan tidak lupa bila aku belajar masa kecil.”
- Luqmanul Hakim berkata kepada anaknya: “Hai anakku, tuntutlah ilmu semasa kecil kerana ia sukar ketika dewasa.” (Lihat Tinta Nasihat untuk Penuntut Ilmu, 94-95)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”