Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh dato ceritakan bagaimana saat kematian Imam al-Ghazali?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

أَوَلَمْ يَرَوْا أَنَّا نَأْتِي الْأَرْضَ نَنقُصُهَا مِنْ أَطْرَافِهَا

Maksudnya: Mengapa mereka yang kafir itu masih berdegil dan tidak mahu memerhatikan bahawa kekuasaan kami sentiasa menakluk bumi (yang mereka diami) dengan menjadikan dia kurang sedikit demi sedikit dari kebaikannya dan kemuliaannya?

(Surah al-Ra’d: 41)

Ibn ‘Abbas R.Anhuma meriwayatkan bahawa maksud “kerosakan sesuatu daerah” ialah kematian para ulama, ahli fiqh, dan orang-orang soleh di daerah tersebut. Mujahid juga menyatakan perkara yang sama, iaitu maksudnya merujuk kepada wafatnya para ulama. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/211)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa Imam al-Ghazali pada akhir penghujung hayatnya, beliau telah berubah dari meminati ilmu fiqh kepada ilmu tasawwuf. Bukan sekadar itu, beliau banyak beruzlah seperti di Menara Putih Jamek al-Umawi, Damsyik beberapa tahun dan kemudian di Masjid al-Aqsa. Beliau juga mengamalkan ilmu tasawwuf.

Abi Manzur al-Razaz al-Faqih berkata, “Imam al-Ghazali masuk ke kota Baghdad pada permulaannya dan kami kira nilai pakaian serta kenderaannya sebanyak 500 dinar. Sedangkan selepas beliau zuhud dan bermusafır kemudian kembali ke Baghdad kami nilaikan pakaiannya hanya 15 qirat sahaja.”

Beliau meninggal dunia pada hari Isnin 14 Jamadilakhir 505 H bersamaan 19 Disember 1111 M di tempat kelahirannya, Tus. Jenazah beliau telah dikebumikan di al-Tabaran bersebelahan dengan makam seorang penyair terkenal bernama Firdausi.

Di dalam kitab al-Thabat ‘inda al-Mamat karya Abu al-Farj Ibn al-Jauzi diceritakan:

Ahmad adik al-Ghazali berkata, “Pada hari Isnin tersebut (kematiannya) ketika waktu subuh abangku berkata kepadaku, ‘Bawakan kain kapanku,’ Kain itu kemudian dia pegang, cium dan letak di matanya dan berkata, Aku patuh dan taat untuk masuk kepada malaikat.’ Syeikh Abu Hamid al-Ghazali kemudian mengunjurkan kakinya dan menghadap ke kiblat sebelum akhirnya meninggal dunia sebelum matahari terbit.”

Firman Allah SWT:

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۖ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ ۗ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ

Maksudnya: Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.

(Surah Ali Imran: 185)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”