Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah keistimewaan al-Quran? Mohon pencerahan Dato Terima Kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

إِنَّ هَـٰذَا الْقُرْآنَ يَهْدِي لِلَّتِي هِيَ أَقْوَمُ وَيُبَشِّرُ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya al-Qur’an ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam) serta memberikan berita gembira buat orang-orang yang beriman”.

(Surah al-Isra’: 9)

Ibn Kathir berkata: Allah SWT memuji Kitab-Nya yang Mulia, iaitu al-Quran, yang diturunkan-Nya kepada Rasul-Nya, Muhammad SAW. Al-Quran dipuji kerana memberikan petunjuk kepada jalan yang paling lurus dan menjelaskan dengan jelas jalan-jalan yang benar. Allah memberi khabar gembira kepada orang-orang yang beriman yang melakukan perbuatan yang baik, bahawa mereka akan memperoleh pahala yang besar pada Hari Kiamat. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/45)

Definisi al-Quran

Menurut al-Qamus al-Muhit, al-Quran dari sudut bahasa bermaksud al-Tanzil (التَّنْزيل) iaitu yang diturunkan. ( (Lihat al-Qamus al-Muhit, 1/49)) Menurut al-Mu’jam al-Wasit, al-Quran adalah kata terbitan daripada al-Qiraah (القراءة), iaitu bacaan sebagaimana firman Allah SWT:

إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْآنَهُ ﴿١٧)‏ فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَاتَّبِعْ قُرْآنَهُ

Maksudnya: Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu); Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu.

(Surah al-Qiyamah: 17-18)

Kata qur’anah (bacaannya) pada ayat di atas bererti qira’atuh (bacaannya/cara membacanya). (Lihat al-Mu’jam al-Wasit, 2/722)

Firman Allah SWT:

وَقُرْآنَ الْفَجْرِ ۖ إِنَّ قُرْآنَ الْفَجْرِ كَانَ مَشْهُودًا

Maksudnya: “Dan (dirikanlah) sembahyang subuh sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya).”

(Surah al-Isra’: 78)

Dikatakan juga bahawa al-Quran adalah majaz (kiasan) bagi solat, sebab itu ditafsirkan firman Allah SWT di atas dengan solat Fajr, dan dinamakan al-Quran kerana ianya adalah rukun sebagaimana dinamakan ruku’ dan sujud. Dikatakan juga sesungguhnya kalimah al-Quran digunakan dengan makna yang hakiki (sebenar). (Lihat Mu’jam Alfaz al-Quran al-Karim, 2/197-198)

Dari sudut Istilah, al-Quran adalah kalam tuhan sekalian alam yang diturunkan oleh Malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad SAW untuk hidayah bagi manusia semuanya. (Lihat al-Quran wa I’jazuhu al-‘Ilm, hlm. 2)

Syeikh Muhammad Ali al-Sobuni pula mendefinisikan: Al-Quran adalah Kalam Allah yang mukjizat yang diturunkan kepada penutup segala Nabi dan Rasul melalui Malaikat Jibril AS yang ditulis pada mashaf-mashaf yang dipindahkan kepada kita secara mutawatir dengan membacanya adalah ibadah bermula dengan surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah al-Nas. (Lihat al-Tibyan fi ‘Ulum al-Quran, hlm. 8)

Makna al-Quran yang disepakati oleh Ulama’ Usul, fuqaha’ dan Ulama’ Bahasa – Al-Quran adalah Kalam yang mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW pada mazhaf yang dipindahkan secara mutawattir dan membacanya adalah Ibadah. (Lihat Mabahith fi Ulum al-Quran, hlm 21)

Definisi al-Quran dari sudut Istilah yang masyhur ialah: Kitab yang diturunkan Allah secara mutawatir kepada Nabi SAW yang bersifat mukjizat di mana mendapat pahala jika dibacanya yang terangkum dari awal surah Fatihah hingga akhir surah al-Nas.

Sebenarnya al-Quran cukup istimewa berbanding dengan mana-mana kitab. Oleh kerana tajuk ini cukup besar, penulis hanya menyebut sepintas lalu dengan satu dalil sahaja dengan setiap satunya. Dipetik daripada karya Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang bertajuk “Bagaimana kita berinteraksi bersama dengan al-Quran al-Azim.” Antara lain menyebut:

  • Al-Quran kitab Ilahi. Hal ini dijelaskan dengan banyak ayat antaranya:

الٓر ۚ كِتَـٰبٌ أُحْكِمَتْ ءَايَـٰتُهُۥ ثُمَّ فُصِّلَتْ مِن لَّدُنْ حَكِيمٍ خَبِيرٍ

Maksudnya: Alif, Lam, Ra. Al-Quran sebuah Kitab yang tersusun rapi ayat-ayatnya, kemudian dijelaskan pula kandungannya satu persatu yang diturunkan daripada Allah SWT Yang Maha Mendalam pengetahuan-Nya.

(Surah Hud: 1)

  • Al-Quran adalah kitab mahfuz (terpelihara). Firman Allah SWT:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا ٱلذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُۥ لَحَـٰفِظُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan memeliharanya.

(Surah al-Hijr: 9)

Maksud hafizun dalam ayat ini dengan pemeliharaan Allah dari sebarang perubahan dan pertukaran seperti kata Ibn Kathir.

  • Al-Quran adalah kitab mukjizat. Firman Allah SWT:

قُل لَّئِنِ ٱجْتَمَعَتِ ٱلْإِنسُ وَٱلْجِنُّ عَلَىٰٓ أَن يَأْتُوا۟ بِمِثْلِ هَـٰذَا ٱلْقُرْءَانِ لَا يَأْتُونَ بِمِثْلِهِۦ وَلَوْ كَانَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍۢ ظَهِيرًۭا

Maksudnya: Katakanlah (hai Muhammad) sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun demi mendatangkan sesuatu yang sebanding dengan al-Quran, mereka tidak akan mampu mendatangkannya walaupun mereka saling membantu.

(Surah al-Isra’: 88)

Dalam buku al-Ijaz al-Ilmi oleh Yusuf al-Haj Ahmad antara lain menyebut: “Tidak diragukan lagi bahawa sudut kemukjizatan al-Quran al-Karim begitu pelbagai dan tepat. Dari aspek kepelbagaiannya antara lain kemukjizatan saintifik, kemukjizatan legislatif, kemukjizatan retorik, kemukjizatan metafizik, kemudian yang terakhir kemukjizatan artistik-ilustratif. Sementara dari ketepatannya, kita boleh melihat sejumlah amaran yang dibuktikan kebenarannya oleh sains moden dari waktu ke waktu. Fakta-fakta alamiah (bahanal) mahupun imbahanal ini semakin menegaskan dan mendukung isyarat yang diberitakan al-Quran.

  • Al-Quran kitab yang nyata lagi mudah. Firman Allah SWT:

فَإِنَّمَا يَسَّرْنَـٰهُ بِلِسَانِكَ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ

Maksudnya: Maka sesungguhnya kami memudahkan al-Quran dengan bahasamu (hai Muhammad) semoga mereka mengambil pengajaran.

(Surah al-Dukhan: 58)

  • Al-Quran kitab zaman semuanya. Ianya bermaksud kitab yang kekal yang bukan hanya sesuai pada suatu masa sahaja dan bukan untuk satu generasi. Tetapi al-Quran sesuai sepanjang zaman dan semua tempat. Justeru tidak pelik sehingga sekarang al-Quran tetap menjadi panduan dan pedoman dalam menempuh kehidupan.

Semoga umat Islam mempelajari al-Quran dan menjaganya sebaik mungkin kerana dengan usaha ini akan menjadikan mereka umat yang berjaya di dunia dan di akhirat. Amin. Wallahu a’lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”