Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum mengenakan denda lewat pulang barang dan adakah ia dikira sebagai riba?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pinjaman merupakan salah satu bentuk amalan kebajikan dan urusan muamalah yang dianjurkan dalam Islam, di mana dengan meminjamkan sesuatu barang, kita dapat saling membantu dalam memenuhi keperluan sesama insan.
Firman Allah SWT:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa.”
(Surah al-Maidah: 2)
Menurut Istilah syara’, pinjaman ialah membenarkan penggunaan sesuatu yag halal digunakan dengan mengekalkan keadaan asal. Oleh itu, apabila peminjam telah selesai menggunakan barang pinjaman, atau telah sempurna segala tujuan peminjaman dn berlalu tempoh yang telah ditetapkan, maka peminjam perlu memulangkan semula barang pinjaman. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 3/193)
Dari Safwan bin Umayyah RA, Rasulullah SAW bersabda:
عاريّة مؤدّاة
Maksudnya: “Pinjaman perlu dipulangkan.”
Riwayat al-Tirmizi (39)
Imam al-Nawawi menyatakan dalam kitabnya, pemilik barang pinjaman boleh meletakkan syarat (muqayyad) seperti mengehadkan cara penggunaan atau tempoh penggunaan barang yang dipinjam. Contohnya seperti mengehadkan penggunaan kereta yang dipinjam hanyalah di dalam kawasan kampung atau terhad kepada tiga orang penumpang atau meminjam dalam masa seminggu sahaja.
Maka apabila pihak yang meminjam barang tidak mematuhi syarat yang telah dipersetujui dengan melebihi had syarat tersebut, maka dia hendaklah membayar denda (dhaman) mengikut kebiasaan (ujrah misl) atau mengikut kadar yang ditetapkan oleh pemilik barang itu. Hal ini disebabkan, peminjam barang telah menggunakan barang melebihi had yang diizinkan oleh pemilik barang. (Lihat Raudhah al-Tholibin, 4/434)
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bayaran denda kerana lambat memulangkan barang, bukanlah suatu yang dikira sebagai riba. Ini kerana bayaran denda tersebut berfungsi sebagai pampasan atas penggunaan barang tanpa keizinan pemilik. Tujuan dikenakan denda ini adalah untuk mengelakkan peminjam daripada melengahkan pemulangan barang mengikut waktu yang telah ditetapkan.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”