Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum memaki hamun di jalanraya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda :

بُعِثْتُ لأُتَمِّمَ صَالِحَ الأَخْلاَقِ

Maksudnya: “Aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak perangai yang baik.

Riwayat Al-Baihaqi (7609) di dalam Syu’ab Al-Iman

Al-Tahawi menyebut bahwa makna hadis tersebut ialah Allah mengutuskan Nabi Muhammad SAW untuk melengkapkan agama ini. Ini termasuk juga di dalam firman Allah SWT :

ٱلْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ

Maksudnya : “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu.”

Perkataan أكملت di dalam ayat ini boleh difahami juga dengan maksud أتممت iaitu menyempurnakan. Maka sabda Nabi SAW “Aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak perangai yang baik” bermaksud aku diutuskan untuk menyempurnakan agama. (Lihat Syarh Musykil Al-Athar, 11/262)

Daripada Abu Hurairah R.A bahawa:

سُئِلَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم‏: مَا أَكْثَرُ مَا يُدْخِلُ الْجَنَّةَ قَالَ:‏ التَّقْوَى وَحُسْنُ الْخُلُقِ‏.‏ وَسُئِلَ:‏ مَا أَكْثَرُ مَا يُدْخِلُ النَّارَ قَالَ:‏ الْفَمُ وَالْفَرْجُ ‏

Maksudnya: “Nabi SAW pernah ditanya berkaitan sebab kebanyakan orang dimasukkan ke dalam syurga. Baginda SAW menjawab: ‘Bertaqwa kepada Allah dan baik akhlaknya.’ Dan Baginda SAW turut ditanya berkaitan sebab kebanyakan manusia dimasukkan ke dalam neraka. Baginda SAW menjawab: ‘Mulut dan kemaluan.’

Hadith ini diriwayatkan oleh al-Tirmizi (2004), Ibn Majah (4246), dan al-Hakim (4/324) melalui jalur Abdullah bin Idris, katanya: Bapaku menyampaikan kepadaku, daripada datukku, daripada Abu Hurairah R.A, kemudian dinyatakan hadith sebagaimana yang kami sudah sebutkan di atas.

Imam al-Tirmizi menyatakan, hadith ini adalah sahih gharib. Manakala al-Hakim menyatakan, hadith ini sanadnya adalah sahih tetapi tidak diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, sedangkan al-Zahabi pula diam mengenai statusnya (tidak memberikan sebarang komentar).

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan hukum memaki hamun di jalan raya adalah dikira berdosa. Meskipun orang yang melanggar kita itu salah, selesaikanlah ia dengan cara yang baik. Jauhilah daripada menyebut atau menggunakan perkataan yang kasar. Berusaha untuk menasihati dengan cara yang baik. Ingatlah bahawa setiap apa yang kita ucapkan kesemuanya akan dicatitkan. Jika kita ucapkan perkara yang baik maka pahalalah bagi kita. Jika kita ucapkan perkara yang buruk dan kesat maka dosalah yang akan kita peroleh. Ini boleh dilihat melalui firman Allah SWT :

مَّا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ

Maksudnya: “ Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).”

(Surah Qof : 18)

Ingatlah pesanan Rasulullah SAW: Daripada Abdullah bin Mas’ud r.a. melaporkan hadith secara marfu’:

لَيْسَ الْمُؤْمِنُ بِالطَّعَّانِ وَلَا اللَّعَّانِ وَلَا الْفَاحِشِ وَلَا الْبَذِيءِ

Maksudnya: “Bukanlah sifat mukmin sejati yang banyak mencela, suka melaknat, dan yang berbuat keji serta bercakap kotor.”

Riwayat Imam al-Tirmizi (1977), Imam Ahmad (3829) Ibn Hibban (192) dan Al-Hakim (22) Dinilai oleh sebagai hadith hasan gharib oleh Imam al-Tirmizi.

Imam al-San’ani menjelaskan bahawa perkataan-perkataan yang bersifat keras, carutan dan provokatif adalah haram sama ada dalam bilangan yang banyak mahupun sedikit. Hadis di atas juga memberi pengajaran kepada umat Islam bahawa melaknat dan mencarut bukan daripada sifat seorang Mukmin yang sempurna imannya, namun larangan ini terkecuali kepada laknat ke atas orang kafir, laknat ke atas peminum arak dan juga kepada sesiapa yang dilaknat oleh Allah dan rasulnya. (Lihat Subul al-Salam, 4/360)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”