Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah bahagian-bahagian fatwa? Mohon pencerahan Dato

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Fatwa Dari Segi Bahasa

Memandangkan perkataan ‘fatwa’ (فَتْوَى) berasal daripada bahasa Arab, sudah tentu rujukan makna dan maksudnya dipetik daripada buku-buku bahasa Arab yang muktabar (Lihat Lisan al-Arab oleh Ibn al-Manzur, Mu’jam Maqayis al-Lughah oleh Ibn Faris, Mukhtar al-Sihah, Taj al-‘Arus dan lain-lain lagi.). Kami juga mendapati bahawa perkataan fatwa disebut dalam tiga sebutan, iaitu fatwa (فَتْوَى), futya (فُتْيَا), dan futwa (فُتْوَى) di mana jamaknya al-fatawa (الفَتَاوَى) dan al-fatawi (الفَتَاوِي) yang memberi maksud:

  • Penjelasan tentang sebarang perkara oleh seseorang yang faqih.
  • Penerangan berkenaan perkara yang mempunyai kemusykilan dan kesamaran tentang hukum oleh seorang faqih.
  • Memberi jawapan bagi sesuatu permasalahan oleh seorang faqih.

Asal sebutan-sebutan ini adalah dari kalimah ‘fata’ (فَتَى) yang bermaksud seorang pemuda yang sihat, cergas, dan gagah. Hubungkaitnya dengan fatwa pula ialah apabila seseorang mufti mengeluarkan fatwa terhadap perkara yang samar-samar dan tidak jelas, fatwanya itu menjadikan sesuatu hukum tersebut lebih kuat dan kukuh.

Ia juga dikatakan berasal daripada perkataan ‘fata’ iaitu seorang lelaki yang berusia muda. Perkaitannya juga jelas, apabila seseorang mufti mengeluarkan fatwa tentang sesuatu permasalahan bermakna dia memperbaharui hukum tersebut.

Lantaran itu, perkataan futya dan fatwa mempunyai maksud yang sama dengan salah satunya digunakan di tempat yang berbeza. Kedua-duanya juga merupakan kata nama (isim).

Ibn Manzur berkata: “Perkataan fatwa lebih banyak digunakan berbanding futya kerana ia sesuai untuk menjadi masdar iaitu kata nama. Seterusnya, kedua-dua perkataan ini iaitu futya dan fatwa digunakan di tempat al-ifta’ yang bermaksud satu perbuatan menetapkan fatwa tentang sesuatu hukum atau kepentingan hukum yang dikeluarkan oleh seorang faqih.

Definisi Fatwa Dari Segi Istilah

Oleh kerana fatwa dibahaskan di dalam kitab-kitab usul fiqh sebagai salah satu cara mengeluarkan hukum secara mendalam, justeru para ulama telah mendefinisikan fatwa seperti berikut:

  • Kata Al-Imam al-Qarafi (684 H), fatwa ialah mengkhabarkan hukum Allah sama ada pada yang mesti ataupun harus. (Lihat al-Furuq oleh al-Qarafi, 4/53)
  • Kata Al-Jurjani (816 H) fatwa adalah: Menjelaskan hukum bagi suatu permasalahan.
  • Syeikh al-Qunawi al-Hanafi (978 H) mengatakan bahawa fatwa adalah menyebutkan hukum pada perkara yang ditanyakan kepada penyoal. (Lihat Anis al-Fuqaha, 1/319)
  • Kata al-Imam al-Munawi (1031 H) fatwa ialah jawapan dari seorang mufti. (Lihat al-Ta’arif li al-Munawi, 550)
  • Kata al-Imam al-Buhuti (1051 H): Fatwa adalah menjelaskan hukum syarak kepada sesiapa yang bertanya tentangnya. (Lihat Syarah Muntaha al-Iradaat oleh Mansur bin Yunus al-Buhuti, 3/483)
  • Imam al-Syaukani (1250 H) mengatakan bahawa fatwa adalah hasil daripada ijtihad. (Lihat Irsyad al-Fuhul, hlm. 443)

  • Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili (1436 H) mengatakan bahawa fatwa adalah jawapan yang diberikan oleh seorang mufti terhadap sesuatu perkara yang berlaku apabila diajukan soalan kepadanya. (Lihat Usul al-Fiqh al-Islami, 2/2284)
  • Muhammad Taqi al-‘Uthmani berkata: “Fatwa ialah jawapan kepada masalah agama. Ini kerana, mufti menjawab semua hukum syara’ yang bersifat amali dan juga permasalahan akidah.” (Lihat Usul al-Ifta’ wa Adabuhu, hlm. 10)

Sementara itu ulama fiqh pula telah mendefinisikan fatwa dengan pelbagai takrif antaranya:

  • Menerangkan hukum sesuatu permasalahan.
  • Menjawab segala kemusykilan baik dari sudut syarak atau undang-undang. Kedua takrifan di atas merupakan pendapat mazhab Hanafi.
  • Mengkhabarkan hukum syarak tanpa sebarang kemestian untuk diikuti. Ini adalah pendapat ulama Malikiah.
  • Memberikan penjelasan hukum syarak bagi sesuatu permasalahan sebagai jawapan kepada sesiapa yang bertanya, baik secara individu mahupun secara berkumpulan.

Bahagian-Bahagian Fatwa

Dalam Usul al-Ifta’ wa Adabuhu (hlm. 9-11), antara lain menyebut, kalimah dan perkataan fatwa atau ifta’ memberi tiga makna yang mungkin kita boleh bahagikan kepada tiga bahagian:

Pertama: Fatwa Tasyri’iyyah

laitu fatwa yang dikeluarkan daripada syarak sama ada dengan wahyu yang dibaca pada al-Quran atau wahyu yang tidak dibaca pada Sunnah Nabi SAW dalam memberi jawapan kepada persoalan. Atau menerangkan isu yang berlaku pada zaman Nabi SAW, maka jadilah ia seperti syarak yang umum. Contohnya, firman Allah SWT:

يَسْتَفْتُونَكَ قُلِ اللَّهُ يُفْتِيكُمْ فِي الْكَلَالَةِ

Maksudnya: “Mereka (orang-orang Islam umatmu) meminta fatwa kepadamu (Wahai Muhammad mengenai masalah Kalaalah).”

(Surah al-Nisa’: 176)

Kedua: Fatwa Fiqhiyyah

laitu seorang faqih di kalangan fuqaha’ yang memberikan pandangan dan pendapat dan bukan hanya semata-mata menjawab persoalan yang telah berlaku secara khusus. la adalah pecahan daripada cabang permasalahan yang bersifat juz’i di mana faqih tersebut telah mengistinbatkan hukumnya dengan dalil-dalil syarak.

Ketiga: Fatwa Juz’iyyah

Dikehendaki di sini adalah jawapan kepada persoalan yang berlaku dengan menurunkan fiqh kulli pada tempat juz’i. Sebagai contoh, seorang yang ditanya berkenaan dengan pembahagian pusaka dengan sebab kematian seorang lelaki yang meninggalkan dua ibu bapanya, isterinya, seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan, maka bagaimana pembahagian pusaka tersebut?

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”