Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh dato ceritakan sedikit tentang kisah Nabi Daud yang boleh kita santuni?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Suri Teladan: Kisah Nabi Daud
Pada suatu ketika, Nabi Daud AS keluar ke pesisir untuk beribadat dan apabila telah genap setahun, Baginda berdoa: “Ya Rabbi ya tuhanku, telah bengkok punggungku dan lemah mataku serta kering air mataku, tetapi aku belum juga mengetahui bagaimana nasibku?”
Lalu Allah SWT memerintahkan seekor katak untuk menjawab permohonan Nabi Daud AS itu, lalu katak berkata: “Hai Nabi Allah, apakah kamu mengungkit pada Tuhan tentang ibadatmu yang setahun demi Allah SWT yang mengutuskanmu menjadi Nabi? Saya berkelana di hutan ini selama tiga puluh tahun bertasbih dan bertahmid kepada Allah SWT, sedangkan persediaanku tetap gementar kerana takutkan Tuhanku.”
Maka menangislah Nabi Daud AS. Ada riwayat yang mengatakan kejadian ini juga pernah berlaku terhadap Nabi Musa AS selepas berlaku pembunuhan yang tidak disengajakan olehnya.
Al-Safarini dalam kitab Ghiza’ al-Albab menyebut: Bahawa dalam kitab al-Zāhir karya Abu ‘Abdullah al-Qurṭubī, disebut:
أَنَّ دَاوُد – عَلَيْهِ السَّلَامُ – قَالَ: لَأُسَبِّحَنَّ اللَّهَ تَسْبِيحًا مَا سَبَّحَهُ بِهِ أَحَدٌ مِنْ خَلْقِهِ فَنَادَتْهُ ضِفْدَعٌ مِنْ سَاقِيَةٍ فِي دَارِهِ يَا دَاوُد تَفْخَرُ عَلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ بِتَسْبِيحِك، وَإِنَّ لِي لَسَبْعِينَ سَنَةً مَا جَفَّ لِسَانِي مِنْ ذِكْرِ اللَّهِ سُبْحَانَهُ، وَإِنَّ لِي لَعَشْرَ لَيَالٍ مَا طَعِمْت خَضْرَاءَ وَلَا شَرِبْت مَاءً اشْتِغَالًا بِكَلِمَتَيْنِ فَقَالَ: مَا هُمَا فَقَالَتْ: يَا مُسَبَّحًا بِكُلِّ لِسَانٍ، وَمَذْكُورًا بِكُلِّ مَكَان، فَقَالَ دَاوُد فِي نَفْسِهِ وَمَا عَسَى أَنْ أَقُولَ أَبْلَغَ مِنْ هَذَا.
Maksudnya: Diriwayatkan bahawa Nabi Daud AS pernah berkata: “Aku akan bertasbih kepada Allah dengan tasbih yang belum pernah diucapkan oleh sesiapa pun daripada makhluk-Nya.” Lalu seekor katak yang berada di dalam sebuah saluran air di halaman rumahnya bersuara dan berkata kepadanya: “Wahai Daud, adakah engkau berbangga kepada Allah Azza wa Jalla dengan tasbihmu? Sesungguhnya aku telah berzikir kepada Allah selama tujuh puluh tahun tanpa henti, lidahku tidak pernah kering daripada menyebut nama-Nya. Bahkan, sudah sepuluh malam aku tidak menjamah makanan yang hijau (tumbuhan) dan tidak meminum setitis air pun kerana aku begitu sibuk dengan dua kalimat ini.” Lantas Nabi Daud bertanya: “Adakah dua kalimat itu?” Kata itu menjawab: “Wahai Zat yang disucikan oleh setiap lidah, wahai Zat yang disebut di setiap tempat!” Maka Nabi Daud berkata dalam hatinya: “Apa lagi yang mampu aku ucapkan yang boleh mengatasi tasbih ini?”
Dalam Syu’ab al-Īmān karya al-Baihaqī, diriwayatkan daripada Anas R.A, katanya:
أَنَّ نَبِيَّ اللَّهِ دَاوُد – عَلَيْهِ السَّلَامُ – ظَنَّ فِي نَفْسِهِ أَنَّ أَحَدًا لَمْ يَمْدَحْ خَالِقَهُ بِأَفْضَلَ مِمَّا مَدَحَهُ فَأَنْزَلَ اللَّهُ عَلَيْهِ مَلَكًا، وَهُوَ قَاعِدٌ فِي مِحْرَابِهِ، وَالْبِرْكَةُ إلَى جَانِبِهِ فَقَالَ: يَا دَاوُد افْهَمْ مَا تُصَوِّتُ بِهِ الضِّفْدَعُ فَأَنْصَتَ إلَيْهَا، فَإِذَا هِيَ تَقُولُ: سُبْحَانَك وَبِحَمْدِك مُنْتَهَى عِلْمِك فَقَالَ لَهُ الْمَلَكُ: كَيْفَ تَرَى فَقَالَ وَاَلَّذِي جَعَلَنِي نَبِيًّا إنِّي لَمْ أَمْدَحْهُ بِهَا.
Maksudnya: Bahawa Nabi Allah Daud pernah menyangka dalam dirinya bahawa tiada seorang pun yang memuji Penciptanya dengan pujian yang lebih baik pujiannya. Lalu Allah menurunkan seorang malaikat kepadanya, ketika beliau sedang duduk di dalam mihrabnya. Malaikat itu berkata kepadanya: “Wahai Daud, fahamilah suara yang dilantunkan oleh katak itu.” Maka Nabi Daud pun mendengar dengan penuh perhatian, dan mendapati bahawa katak itu berkata: “Maha Suci Engkau, dengan segala pujian bagi-Mu, setakat ilmu-Mu yang tiada batasnya.” Malaikat itu kemudian bertanya kepadanya: “Bagaimana pendapatmu?” Lalu Nabi Daud menjawab dengan penuh kejujuran: “Demi Zat yang telah menjadikan aku sebagai nabi, aku belum pernah memuji-Nya dengan pujian seperti ini!”
Inilah sepertimana dinukilkan dalam kitab Ghiza’ al-Albab fi Syarh Manzumah al-Adab oleh al-Safarini, 2/66)
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ آتِ نَفْسِي تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلَاهَا
Maksudnya: “Ya Allah, berilah sifat takwa di dalam jiwaku. Sucikanlah jiwaku, Engkaulah yang paling terbaik untuk menyucikannya. Engkau jualah pelindung dan pemiliknya.”
Wallahu a‘lam.