Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh dato kisahkan satu kisah tentang seorang yang sakit disembuhkan Allah SWT? Terima Kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَإِذَا مَرِضْتُ فَهُوَ يَشْفِينِ

Maksudnya: “Dan apabila aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan penyakitku;

(Surah al-Syu’ara’: 80)

Suri Teladan: Kisah Lelaki Lumpuh dan Kala Jengking

Terdapat sebuah cerita tentang seorang lelaki yang lumpuh, kesan penderitaannya hingga tidak boleh bergerak dan hanya duduk di dalam rumah sahaja. Dia sudah menderita selama beberapa tahun sehingga akhirnya berputus asa. Para doktor sudah menyatakan tidak mampu untuk mengubatinya. Mereka menyampaikan berita sedih itu kepada kaum keluarganya.

Pada suatu hari, ada seekor kala jengking jatuh dari atap rumahnya tepat di atas tubuhnya, dan dia tidak boleh menghalaunya kerana tidak boleh bergerak dari tempat duduk. Kala jengking itu menjalar ke kepalanya dan menyengatnya beberapa kali. Selepas itu, secara mengejut badannya boleh digerakkan mulai dari tapak kaki hingga ke kepala. Darah mengalir ke dalam semua organ tubuh, dan kesembuhan menjalar ke seluruh jasad. Orang itu pulih dan sihat semula. Dia berdiri di atas dua kakinya, berjalan-jalan di dalam biliknya, membuka pintu lalu menghampiri keluarga dan anak-anaknya.

Apabila dia berdiri, mereka tidak percaya melihat apa yang berlaku. Mereka terperanjat bukan kepalang. Dan kepada mereka, dia menceritakan apa yang sudah berlaku. Maha Suci Allah SWT yang memberikan kesembuhan kepada orang itu melalui cara yang sedemikian itu.

Cerita ini pernah diutarakan kepada ramai doktor, dan mereka pun membenarkan apa yang saya katakan. Dia menyebut ada serum antibiotik yang mengandungi racun. Jika toksiknya diperkecilkan secara kimia, maka serum itu boleh menjadi ubat untuk orang yang sakit lumpuh.

Hal ini berbetulan dengan nas Nabawi, daripada Jabir bin Abdillah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءٌ ، فَإِذَا أُصِيبَ دَوَاءُ الدَّاءِ بَرَأَ بِإِذْنِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ

Maksudnya: “Bagi setiap penyakit ada ubatnya. Apabila betul ubatnya, maka sembuhlah dengan izin Allah.”

Riwayat Muslim (2004), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (7556) dan Ahmad (14597)

Imam al-Nawawi menjelaskan: Hadith ini memberi isyarat disunatkan mengubat penyakit. Inilah mazhab ashab kita (aliran mazhab al-Syafi`i), kebanyakan salaf dan keseluruhan khalaf. Kata al-Qadi ‘Iyadh: Dalam hadith-hadith ini terkandung beberapa ilmu-ilmu agama dan dunia, antaranya; benarnya ilmu perubatan, diharuskan berubat secara keseluruhannya..” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 359/14)

Maha Tinggi Zat Yang Maha Baik itu, yang tidak menurunkan suatu penyakit pun kecuali Dia juga yang menurunkan penawarnya.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

Maksudnya: “Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”