Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh ceritakan kepada kami, bagaimana sifat isteri mithali yang solehah mempertahankan imannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا لِّلَّذِينَ آمَنُوا امْرَأَتَ فِرْعَوْنَ إِذْ قَالَتْ رَبِّ ابْنِ لِي عِندَكَ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ وَنَجِّنِي مِن فِرْعَوْنَ وَعَمَلِهِ وَنَجِّنِي مِنَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ

Maksudnya: Dan Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada mudaratnya) kepada orang-orang mukmin (berhubung rapat dengan orang-orang kafir kalau tidak terjejas keadaan imannya), iaitu: perihal isteri Firaun, ketika ia berkata: “Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam Syurga, dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim.”

(Surah al-Tahrim: 11)

Allah turut memberikan perumpamaan bagi orang-orang beriman bahawa pengaruh dan kekuasaan golongan kafir tidak melemahkan mereka. Mereka tetap teguh berpegang kepada agama. Salah satu contoh perumpamaan tersebut ialah wanita yang beriman, iaitu isteri Fir‘aun yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, Nabi Musa. Meskipun berada di bawah kekuasaan Fir‘aun yang zalim, dia tidak gentar dengan kejahatannya.

Dia berdoa: “Wahai Tuhanku, bina untukku sebuah rumah di syurga, yang dekat dengan rahmat-Mu! Selamatkanlah aku daripada kezaliman Fir‘aun, daripada seksaan dan perbuatannya yang keji. Selamatkanlah aku juga daripada kaum kafir yang menzalimi diri mereka sendiri, iaitu golongan Qibti dan para penyembah berhala yang mengikut Fir‘aun.” (Lihat Tafsir al-Wajiz, hlm. 251)

Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya Iman dan Kehidupan menceritakan sebuah kisah: Seorang suami yang marah kepada isterinya dan dengan segera mengancam isterinya: “Aku akan lenyapkan kebahagiaanmu.” Si isteri menjawab dengan tenang: “Anda tidak mampu melenyapkan kebahagiaanku sebagaimana anda tidak mampu memberikan kebahagiaan kepadaku.”

Suami bertanya: “Mengapa aku tidak akan mampu melenyapkan kebahagiaanmu?”

Isteri menjawab dengan penuh keyakinan: “Jika seandainya kebahagiaanku terletak dalam perbelanjaan, tentu anda mampu menghilangkannya. Dan jika seandainya kebahagiaanku terletak dalam pakaian dan perhiasan, tentu anda juga sanggup menahannya. Tetapi kebahagiaanku adalah sesuatu yang bukan milikmu dan tidak dapat kamu kuasai, baik kamu sendiri atau pun orang lain.”

Suami bertanya dengan penuh kehairanan: “Di manakah kebahagiaanmu?”

Lalu isteri menjawab dengan penuh bijaksana: “Sesungguhnya aku memperoleh kebahagiaan dalam keimanan-ku. Dan imanku itu ada dalam hatiku. Tiada seorang pun yang dapat menguasai hatiku selain Allah SWT.”

Oleh itu, kami katakan hati perlu dibersihkan serta dipelihara kesihatannya agar lahir sifat-sifat mahmudah seperti amanah, sabar, syukur, qana’ah, redha, pemaaf dan sebagainya. Kemuncak kebahagiaan ialah apabila hati seseorang mampu mendorongnya melakukan kebaikan dan menghindari kejahatan dan larangan yang ditentukan oleh Islam dengan mudah dan secara ‘auto pilot’, iaitu tanpa mujahadah dan bersusah payah serta tidak perlu difikirkan lagi. Imam al-Ghazali berkata: “Inilah hakikat akhlak yang mulia.”

Itulah kisah yang luar biasa dan kami bentangkan di sini kisah yang sering kita dengar dalam peristiwa Isra’ dan Mi’raj iaitu Masyitah kepada puteri Firaun.

Kisah Masyitah atau wanita tukang sikat ini sangat terkenal sebagaimana terdapat di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 ‏لَمَّا كَانَتْ اللَّيْلَةُ الَّتِي ‏‏أُسْرِيَ ‏‏بِي فِيهَا أَتَتْ عَلَيَّ رَائِحَةٌ طَيِّبَةٌ فَقُلْتُ: يَا ‏جِبْرِيلُ‏ مَا هَذِهِ الرَّائِحَةُ الطَّيِّبَةُ؟ فَقَالَ: هَذِهِ رَائِحَةُ ‏‏مَاشِطَةِ ابْنَةِ فِرْعَوْنَ ‏‏وَأَوْلادِهَا قَالَ: قُلْتُ: وَمَا شَأْنُهَا ؟ قَالَ: بَيْنَا هِيَ تُمَشِّطُ ابْنَةَ ‏‏فِرْعَوْنَ ‏‏ذَاتَ يَوْمٍ إِذْ سَقَطَتْ ‏‏الْمِدْرَى ‏‏مِنْ يَدَيْهَا فَقَالَتْ : بِسْمِ اللَّهِ فَقَالَتْ لَهَا ابْنَةُ ‏ ‏فِرْعَوْنَ‏ ‏أَبِي؟ قَالَتْ: لا وَلَكِنْ رَبِّي وَرَبُّ أَبِيكِ اللَّهُ قَالَتْ: أُخْبِرُهُ ‏‏بِذَلِكَ ! قَالَتْ : نَعَمْ فَأَخْبَرَتْهُ فَدَعَاهَا فَقَالَ: يَا فُلانَةُ ؛ وَإِنَّ لَكِ رَبًّا غَيْرِي ؟ قَالَتْ: نَعَمْ ؛ رَبِّي وَرَبُّكَ اللَّهُ فَأَمَرَ بِبَقَرَةٍ مِنْ نُحَاسٍ فَأُحْمِيَتْ ثُمَّ أَمَرَ بِهَا أَنْ‏ ‏تُلْقَى هِيَ وَأَوْلادُهَا فِيهَا قَالَتْ لَهُ : إِنَّ لِي إِلَيْكَ حَاجَةً قَالَ: وَمَا حَاجَتُكِ؟ قَالَتْ: أُحِبُّ أَنْ تَجْمَعَ عِظَامِي وَعِظَامَ وَلَدِي فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ وَتَدْفِنَنَا قَالَ : ذَلِكَ لَكِ عَلَيْنَا مِنْ الْحَقِّ قَالَ: فَأَمَرَ بِأَوْلادِهَا فَأُلْقُوا بَيْنَ يَدَيْهَا وَاحِدًا وَاحِدًا إِلَى أَنْ انْتَهَى ذَلِكَ إِلَى صَبِيٍّ لَهَا مُرْضَعٍ وَكَأَنَّهَا تَقَاعَسَتْ مِنْ أَجْلِه قَالَ: يَا ‏‏أُمَّهْ؛‏ ‏اقْتَحِمِي فَإِنَّ عَذَابَ الدُّنْيَا أَهْوَنُ مِنْ عَذَابِ الْآخِرَةِ فَاقْتَحَمَتْ

Maksudnya: “Ketika malam aku diisra’kan, aku terhidu bau yang wangi.” Lalu aku bertanya, “Wahai Jibril, bau wangi apakah ini?” Jibril pun menjawab, “Ini adalah wangian wanita tukang sikat anak perempuan Fir’aun dan anak-anaknya (anak-anak Masyitah). “Aku bertanya.” “Apakah yang berlaku padanya?” Jibril menjawab, “Pada suatu hari, Masyitah sedang menyikat rambut anak perempuan Fir’aun, tiba-tiba sikatnya terjatuh daripada tangannya. Lalu beliau berkata, “Bismillah (dengan nama Allah).” Lalu anak perempuan Fir’aun berkata kepadanya, “Adakah Allah itu ayahku?” “Tidak, tetapi Tuhanku dan Tuhan ayahmu adalah Allah.” Anak perempuan Fir’aun pun berkata, “Aku akan memberitahu kepada ayahku.” “Silakan”. Jawabnya tenang. Setelah diberitahu kepada Fir’aun, maka Masyitah dipanggil. “Wahai fulanah, apakah engkau memiliki Tuhan selain Aku?” Masyitah menjawab: “Ya, Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah.” Lalu Firaun memerintahkan supaya dibawakan sebuah patung lembu yang dibuat daripada tembaga, lalu dipanaskan. Lalu Fir’aun memerintahkan Masyitah dan anak-anaknya agar melompat ke dalamnya.” Wanita tukang sisir itu pun berkata, “Aku ada satu hajat kepadamu.” Fir’aun berkata, “Apa keperluanmu?” “Aku ingin agar engkau mengumpulkan tulang-tulangku dan tulang anakku ke dalam satu kain, lalu engkau menguburkan kami.” Firaun berkata: “Itu hakmu yang mesti ditunaikan daripada kami.” Lalu Fir’aun memerintahkan untuk melemparkan anak-anaknya di hadapan wanita tukang sikat itu satu persatu sehingga tinggal anaknya yang masih menyusu. Masyitah amat berat dengan keadaan anaknya tersebut. Kemudian anak kecil itu berkata, “Wahai ibuku, tabahlah, sesungguhnya azab dunia lebih ringan daripada azab akhirat.” Maka Masyitah pun menjadi tabah.

Riwayat Imam Ahmad di dalam al-Musnad (1/309), al-Tabrani (12280), Ibn Hibban (2903) dan al-Hakim (2/496)

Daripada Abdullah bin ‘Amr R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏ الدُّنْيَا مَتَاعٌ وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ

Maksudnya: “Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.”‏

Riwayat Muslim (715)

Imam al-Qurtubi menjelaskan makna wanita yang solehah dalam hadith di atas ialah wanita yang menggembirakan suami apabila dilihat, mentaatinya apabila disuruh, dan memelihara kehormatan suaminya apabila ketiadaannya pada diri dan juga hartanya. (Lihat al-Mufhim, 4/221).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نَفْسِي تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلَاهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berilah sifat takwa di dalam jiwaku. Sucikanlah jiwaku, Engkaulah yang paling terbaik untuk menyucikannya. Engkau jualah pelindung dan pemiliknya.”

Wallahu a‘lam.