Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah terdapat sebuah hadith, dengan sebab kita ziarah kubur, menyebabkan urusan kehidupan kita selesai?

Dikatakan hadith:

«إِذَا ضَاقَتْ بِكُمُ الأُمُورُ فَعَلَيْكُمْ بِزِيَارَةِ الْقُبُورِ»

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Hukum menziarahi kubur adalah sunat, bahkan amalan sunat yang amat dituntut untuk mengingati kematian dan negeri akhirat yang kekal abadi.

Buraidah al-Aslami R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنِّي كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ فَزُورُوهَا؛ فَإِنَّهَا تُذَكِّرُ الْآخِرَةَ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku pernah melarang kamu untuk menziarahi perkuburan. Maka (sekarang) ziarahilahnya kerana ia mengingatkan kamu kepada akhirat.”

Riwayat Ahmad (23005)

Imam Sa‘id bin Muhammad Ba ‘Isyn berkata: “Disunatkan untuk menziarahi kubur terutamanya bagi kaum lelaki secara mutlak, sama ada kubur di sekitar dalam negeri atau luar negeri. Adapun bagi kaum wanita, dibolehkan menziarahi kubur Nabi, atau orang alim, atau keluarga dan kerabatnya; bersama mahramnya. Adapun selain ini, maka hukumnya makruh bagi wanita.” (Lihat Busyra al-Karim fi Syarh Masa’il al-Ta‘lim, hal. 474)

Benarkah dengan dengan sebab kita ziarah kubur, menyebabkan urusan kehidupan kita selesai?

Pada asasnya, ziarah kubur mempunyai kelebihan dan manfaat tersendiri dalam Islam, tetapi tidak ada dalil yang secara menyatakan bahawa urusan kehidupan seseorang akan selesai hanya kerana menziarahi kubur. Namun, terdapat beberapa manfaat yang boleh diperoleh daripada ziarah kubur, antaranya:

  1. Mengingatkan kepada kematian . Mengingat mati boleh menjadikan seseorang lebih insaf, memperbaiki amal, dan meningkatkan ketaqwaan, yang boleh membawa kepada keberkatan dalam hidup.
  2. Mendoakan ahli kubur – Ziarah kubur memberi peluang kepada kita untuk mendoakan mereka yang telah meninggal dunia, dan doa itu boleh menjadi sebab seseorang mendapat rahmat Allah SWT.
  3. Meningkatkan keinsafan dan ketenangan hati – Dengan mengingati kematian, seseorang akan lebih fokus kepada perkara yang lebih penting dalam hidup, mengurangkan tekanan duniawi, dan lebih berserah kepada Allah SWT.

Adapun jika seseorang menziarahi kubur dengan kepercayaan bahawa urusan kehidupan pasti selesai semata-mata dengan menziarahi kubur, maka ia tidak benar sama sekali. Ada pun yang dikatakan hadith:

إِذَا ضَاقَتْ بِكُمُ الأُمُورُ فَعَلَيْكُمْ بِزِيَارَةِ الْقُبُورِ

Maksudnya: “Jika urusan-urusan kamu menjadi sempit, maka ziarahilah kubur-kubur.”

Maka, ia bukanlah hadith, dan tidak sahih daripada Nabi SAW. Sebaliknya, menziarahi kubur adalah untuk mengingatkan kepada kematian dan hari akhirat. Oleh itu, sepatutnya dikatakan:

 إِذَا رَأَيْتَ مِنْ نَفْسِكَ الغَفْلَةَ عَنِ الآخِرَةِ وَالاِنْغِمَاسَ فِي الدُّنْيَا وَالتَّرَفَ فَعَلَيْكَ بِزِيَارَةِ الْقُبُورِ لِتَتَّعِظَ وَتَعْتَبِرَ بِأَصْحَابِهَا

Maksudnya: ‘Jika engkau melihat dirimu lalai daripada akhirat dan tenggelam dalam urusan dunia, maka hendaklah engkau menziarahi kubur agar engkau mengambil pengajaran daripadanya.’

Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin pernah ditanya: “Apa kebenaran ungkapan (Jika dada terasa sempit, maka hendaklah kamu menziarahi kubur)? Adakah ini merupakan hadis Nabi SAW? Jika ia adalah hadis, kami mohon penjelasannya. Semoga Allah membalas dengan kebaikan.”

Maka beliau menjawab: “Nampaknya si penanya tidak menetapkan ungkapan ini dengan tepat. Apa yang saya dengar tentang ungkapan ini ialah mereka mengatakan: ‘Jika urusan terasa sempit, maka pergilah kepada penghuni kubur’, iaitu jika seseorang menghadapi kesulitan, maka dia pergi kepada penghuni kubur dan berdoa kepada mereka (meminta pertolongan daripada mereka yang telah mati) agar diberikan pertolongan serta diselamatkan daripada musibah yang menimpanya. Tidak syak lagi bahawa perbuatan ini merupakan syirik akbar (syirik besar), iaitu seseorang pergi kepada penghuni kubur dan berdoa kepada mereka agar diselamatkan daripada kesulitan yang dihadapinya. Tidak syak lagi bahawa ini adalah syirik akbar yang mengeluarkan seseorang daripada Islam dan menyebabkan pelakunya kekal dalam neraka – na’udzu billah – sebagaimana firman Allah Ta’ala:

إِنَّهُ مَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ وَمَأْوَاهُ النَّارُ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنصَارٍ

Maksudnya: Sesungguhnya sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka pasti Allah haramkan ke atasnya syurga, dan tempatnya ialah neraka, dan tidak ada bagi orang-orang zalim itu sebarang penolong.

(Surah al-Ma’idah: 72)

Sesiapa yang menziarahi kubur hendaklah berdoa untuk penghuni kubur dengan doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, seperti:

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ دَارَ قَوْمٍ مُؤْمِنِينَ وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللَّهُ بِكُمْ لَاحِقُونَ، يَرْحَمُ اللَّهُ الْمُسْتَقْدِمِينَ مِنَّا وَمِنْكُمْ وَالْمُسْتَأْخِرِينَ، نَسْأَلُ اللَّهَ لَنَا وَلَكُمُ الْعَافِيَةَ، اللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُمْ وَلَا تَفْتِنَّا بَعْدَهُمْ وَاغْفِرْ لَنَا وَلَهُمْ.

“Salam sejahtera ke atas kamu, wahai penghuni perkampungan orang-orang beriman. Sesungguhnya kami, insya-Allah, akan menyusul kalian. Semoga Allah merahmati orang-orang yang terdahulu daripada kami dan orang-orang yang datang kemudian. Kami memohon kepada Allah untuk kami dan kalian keselamatan. Ya Allah, janganlah Engkau haramkan kami daripada pahala mereka, janganlah Engkau timpakan fitnah kepada kami selepas mereka, dan ampunilah kami serta mereka.” (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 6/2)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa menziarahi kubur merupakan amalan yang disunatkan dalam Islam kerana ia mengingatkan seseorang kepada kematian dan akhirat. Rasulullah SAW sendiri menggalakkan umatnya untuk menziarahi kubur setelah pada awalnya melarang, bagi tujuan mengambil iktibar daripada kehidupan dunia yang sementara. Selain itu, ziarah kubur juga memberi peluang kepada seseorang untuk mendoakan ahli kubur serta meningkatkan keinsafan dan ketenangan hati. Namun, menziarahi kubur bukanlah cara untuk selesainya masalahurusan kehidupan seseorang, sebagaimana yang didakwa dalam sebuah ungkapan yang dinisbahkan kepada Nabi SAW: “Jika urusan-urusan kamu menjadi sempit, maka ziarahilah kubur-kubur.”Ungkapan ini bukanlah hadith yang sahih dan tidak boleh dijadikan sandaran dalam beramal.

Sebaliknya, kepercayaan bahawa menziarahi kubur akan menyelesaikan urusan kehidupan boleh membawa kepada kesalahan dalam akidah sekiranya ia disertai dengan pergantungan kepada ahli kubur atau doa kepada mereka, sedangkan doa hanya boleh ditujukan kepada Allah SWT semata-mata. Syirik dalam berdoa merupakan kesalahan besar yang boleh mengeluarkan seseorang daripada Islam. Oleh itu, umat Islam hendaklah memahami bahawa tujuan sebenar ziarah kubur adalah untuk mengambil pelajaran dan mengingatkan diri kepada akhirat, bukan sebagai jalan penyelesaian bagi masalah kehidupan di dunia.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”