Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa status hadith berkenaan ziarah maqam Nabi SAW dan ziarah maqam Nabi Ibrahim dalam tahun yang sama akan dapat memperolehi syurga?

Dikatakan hadis:

«مَنْ زَارَنِي وَزَارَ أَبِي إِبْرَاهِيمَ فِي عَامٍ وَاحِدٍ ضَمِنْتُ لَهُ عَلَى اللَّهِ الْجَنَّةَ»

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertama sekali, Kita dituntut untuk tidak menyusahkan diri dalam bermusafir melainkan pada tiga buah masjid sahaja iaitu masjid al-Haram, masjid al-Nabawi dan juga masjid al-Aqsa berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari:

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلَّا إِلَى ثَلاَثَةِ مَسَاجِدَ: المَسْجِدِ الحَرَامِ، وَمَسْجِدِ الرَّسُولِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَمَسْجِدِ الأَقْصَى

Maksudnya: “Janganlah kamu bersusah payah mengembara (atau bermusafir bagi tujuan ibadah) melainkan pada tiga buah masjid iaitu masjid al-Haram, masjid Rasulullah SAW dan juga masjid al-Aqsa.”

Riwayat al-Bukhari (1189)

Melihat kepada hadith di atas, jelas menunjukkan kepada kita akan kelebihan dan fadhilat yang terdapat pada masjid Nabawi dan kelebihan ini tidak terdapat di masjid-masjid yang lain melainkan masjid al-Haram dan masjid al-Aqsa.

Al-Subki menyatakan bahawa: Tiada satu pun tempat di bumi ini yang tanahnya memiliki keutamaan sehingga perlu dikunjungi secara khusus, kecuali tiga tempat. Selain daripada ketiga-tiga tempat tersebut, tidak perlu dikunjungi kerana keistimewaan lokasinya, melainkan untuk tujuan menuntut ilmu, berjihad, berdamai, atau seumpamanya. Maka, tujuan kunjungan tersebut bukanlah kepada tempat itu sendiri, tetapi kepada orang atau perkara yang ada di tempat tersebut. (Lihat al-Tausyih Syarh al-Jami’ al-Sahih, 3/1018)

Islam mengajarkan bahawa perjalanan khusus untuk beribadah hanya boleh ditujukan kepada tiga masjid utama, iaitu Masjidil Haram, Masjid Nabawi, dan Masjid al-Aqsa, seperti yang disebutkan dalam hadith. Larangan untuk melakukan perjalanan khusus bagi tujuan mengagungkan atau beribadah di tempat selain daripada tiga masjid utama ini bertujuan untuk mencegah amalan yang boleh membawa kepada pengagungan tempat-tempat lain yang tidak disyariatkan dalam Islam. Hanya tiga masjid ini yang diberi keutamaan khusus, manakala tempat-tempat lain boleh dikunjungi untuk tujuan yang diharuskan seperti menuntut ilmu atau menziarahi dan sebagainya, yang bukan semata-mata untuk beribadah.

Imam al-Nawawi menyatakan: Apabila para jemaah haji dan umrah berangkat meninggalkan Makkah, hendaklah mereka menuju ke Madinah, iaitu kota Rasulullah SAW, untuk menziarahi makam baginda SAW. Ini kerana ia termasuk dalam amalan yang paling utama untuk mendekatkan diri kepada Allah dan antara usaha yang paling berjaya. (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-Umrah, hlm. 447)

Status Hadith Berkenaan Ziarah Maqam Nabi SAW dan Nabi Ibrahim AS dalam Tahun yang Sama akan Dapat Memperolehi Syurga

Adapun hadith yang berbunyi:

مَنْ زَارَنِي وَزَارَ أَبِي فِي عَامٍ وَاحِدٍ ضَمِنْتُ لَهُ عَلَى اللَّهِ الْجَنَّةَ

Maksudnya: “Sesiapa yang menziarahiku dan menziarahi ayahku dalam satu tahun, maka aku menjamin syurga untuknya”

Maka, ia adalah hadith yang tidak sahih dan dianggap sebagai hadith maudhu’ (palsu) oleh para ulama hadith.

Imam al-Nawawi menyatakan: “Di antara perkara yang tersebar dalam kalangan orang awam di Syam pada zaman-zaman muta’akhirin ialah dakwaan sebahagian mereka bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Sesiapa yang menziarahiku dan menziarahi bapaku Ibrahim dalam satu tahun, maka aku menjamin syurga untuknya.”

Hadith ini adalah batil, tidak diriwayatkan daripada Nabi SAW dan tidak diketahui dalam mana-mana kitab, sama ada yang sahih atau yang daif. Bahkan, ia telah direka oleh sebahagian pendusta. Adapun menziarahi Nabi Ibrahim AS, ia adalah satu keutamaan yang tidak dinafikan. Namun, yang mungkar adalah apa yang mereka riwayatkan dan mereka percayai.

Selain itu, ziarah ke makam Nabi Ibrahim AS tidak ada kaitan dengan ibadah haji, bahkan ia merupakan satu bentuk ibadah yang berdiri sendiri. Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Begitu juga dengan kata-kata sebahagian orang bahawa apabila seseorang itu menunaikan haji dan “mengkuduskan” dua kali haji, maka dia pergi menziarahi Baitul Maqdis, dan mereka meriwayatkan bahawa hal itu termasuk dalam kesempurnaan haji. Ini juga adalah batil. Ziarah ke Baitul Maqdis adalah suatu keutamaan dan sunnah yang tidak diragukan lagi, tetapi ia tidak ada kaitan dengan ibadah haji. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 8/277; al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-Umrah, hlm. 467-468)

Al-Mulla ‘Ali al-Qari menyatakan: Hadith “Sesiapa yang menziarahiku dan menziarahi ayahku Ibrahim dalam satu tahun, maka dia akan masuk syurga” telah dinilai oleh Ibn Taimiyah sebagai hadith maudhu’ (palsu). Imam al-Nawawi pula menyatakan bahawa hadith ini batil dan tidak mempunyai asal dalam sumber hadith yang sahih. (Lihat al-Masnu’ fi Ma’rifat al-Hadith al-Maudhu’, hlm. 184)

Syeikh al-Islam Abu al-Abbas Taqiyuddin juga ketika di tanya berkenaan dengan status hadith ini, beliau menjawab: Hadith-hadith yang diriwayatkan seperti:

مَنْ زَارَنِي وَزَارَ أَبِي فِي عَامٍ وَاحِدٍ ضَمِنْتُ لَهُ عَلَى اللَّهِ الْجَنَّةَ

Maksudnya: “Sesiapa yang menziarahiku dan menziarahi ayahku dalam satu tahun, maka aku menjamin syurga untuknya”

Dan hadith-hadith seumpamanya adalah hadith palsu (maudhu’) yang telah disepakati oleh para ulama sebagai tidak sahih.

Al-Daraqutni dan lainnya memang ada meriwayatkan hadith tentang ziarah kubur Rasulullah SAW, tetapi semua riwayat tersebut adalah dhaif (lemah) dan tidak boleh dijadikan hujah.

Malah, Imam Malik – yang merupakan salah seorang ulama paling alim dalam memahami hak-hak Rasulullah SAW serta sunnah penduduk Madinah yang terdiri daripada para sahabat, tabi’in, dan tabi’ tabi’in – tidak menyukai seseorang berkata, “Aku telah menziarahi kubur Rasulullah SAW.” Jika lafaz ini adalah sesuatu yang sabit daripada Rasulullah SAW dan diketahui oleh ulama Madinah, sudah tentu Imam Malik tidak akan membencinya.

Namun, jika seseorang berkata, “Aku telah menyampaikan salam kepada Rasulullah SAW”, maka ia tidak diperselisihkan dalam kalangan ulama. Hal ini berdasarkan hadith sahih dalam Sunan yang menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ رَجُلٍ يُسَلِّمُ عَلَيَّ إِلَّا رَدَّ اللَّهُ عَلَيَّ رُوحِي حَتَّى أَرُدَّ عَلَيْهِ السَّلَامَ

“Tidak ada seorang pun yang memberi salam kepadaku, melainkan Allah mengembalikan rohku kepadaku sehingga aku dapat membalas salamnya.”[1]

Ibn Umar R.Anhuma juga pernah mengucapkan:

“Assalamu ‘alaika ya Rasulullah, assalamu ‘alaika ya Aba Bakr, assalamu ‘alaika ya Abati.”

Dalam Sunan Abi Dawud, diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَكْثِرُوا عَلَيَّ مِنَ الصَّلَاةِ يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَلَيْلَةَ الْجُمُعَةِ فَإِنَّ صَلَاتَكُمْ مَعْرُوضَةٌ عَلَيَّ. قَالُوا: وَكَيْفَ تُعْرَضُ صَلَاتُنَا عَلَيْكَ وَقَدْ أَرِمْتَ؟ قَالَ: إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَ عَلَى الْأَرْضِ أَنْ تَأْكُلَ لُحُومَ الْأَنْبِيَاءِ.

“Perbanyakkanlah selawat ke atasku pada hari Jumaat dan malam Jumaat, kerana selawat kalian akan diperlihatkan kepadaku.” Para sahabat bertanya: “Bagaimana selawat kami akan diperlihatkan kepadamu sedangkan jasadmu telah hancur?” Baginda menjawab: “Sesungguhnya Allah telah mengharamkan bumi daripada memakan jasad para nabi.” (Lihat Majmu’ Fatawa, 27/35)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa hadith “Sesiapa yang menziarahiku dan menziarahi bapaku Ibrahim dalam satu tahun, maka aku menjamin syurga untuknya.” adalah batil dan tidak mempunyai asal dalam mana-mana kitab hadith, sama ada yang sahih atau yang daif. Hadith ini telah direka oleh sebahagian pendusta dan tidak boleh dijadikan hujah dalam agama. Walaupun menziarahi makam Nabi Ibrahim AS merupakan satu keutamaan yang tidak dinafikan, ia tidak mempunyai kaitan khusus dengan ibadah haji. Sebaliknya, ia adalah satu bentuk ibadah yang berdiri sendiri dan tidak disyariatkan sebagai sebahagian daripada amalan haji.

Begitu juga dengan dakwaan bahawa seseorang yang menunaikan haji perlu menziarahi Baitul Maqdis untuk “menyempurnakan haji”, ia juga tidak mempunyai asas dalam syariat. Walaupun ziarah ke Baitul Maqdis adalah suatu keutamaan dan sunnah, ia bukan syarat atau sebahagian daripada ibadah haji. Oleh itu, umat Islam hendaklah berpegang kepada sumber yang sahih dan menghindari riwayat yang tidak berasas dalam perkara berkaitan ibadah.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.”

[1] Riwayat Abu Dawud (2041), Ahmad (10815)