Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah seseorang yang beri’tiqad pada sesuatu, nescaya ia akan dapat memberi manfaat kepadanya berdasarkan hadith Nabi SAW?

Dikatakan hadis:

“مَنْ اِعْتَقَدَ فِي شَيْءٍ نَفَعَهُ”

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara dasarnya, Islam telah meletakkan dasar pegangan yang kukuh bahawa tiada apa yang boleh memberi manfaat dan mudarat melainkan Allah SWT. Firman Allah SWT:

وَإِن يَمْسَسْكَ اللَّـهُ بِضُرٍّ فَلَا كَاشِفَ لَهُ إِلَّا هُوَ ۖ وَإِن يُرِدْكَ بِخَيْرٍ فَلَا رَادَّ لِفَضْلِهِ ۚ يُصِيبُ بِهِ مَن يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ ۚ وَهُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

(Surah Yunus: 107)

Ibnu Kathir berkata: “Sesungguhnya kebaikan, keburukan, manfaat dan bahaya hanyalah milik Allah SWT sahaja. Tidak ada sesuatu pun menyekutui-Nya dalam hal yang demikian. Maka hanya Allah sahajalah yang berhak diibadahi. Tidak ada sekutu bagi-Nya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/407)

Status Hadith Sesiapa yang Beri‘tikad pada Sesuatu, Nescaya ia akan Memberi Manfaat Kepadanya

Adapun hadith yang berbunyi:

“مَنْ اِعْتَقَدَ فِي شَيْءٍ نَفَعَهُ”

(Sesiapa yang beri‘tikad pada sesuatu, nescaya ia akan memberi manfaat kepadanya)

Maka, ia adalah hadith yang tiada asalnya dan tidak ditemui dalam mana-mana kitab hadith yang muktabar. Tidak ada riwayat sahih, hasan, atau dha‘if yang menyebut lafaz ini secara spesifik dalam sumber-sumber hadith yang muktabar oleh ulama hadith. Oleh itu, dakwaan bahawa ia adalah hadith Nabi SAW adalah tidak benar dan tidak boleh diterima sebagai hujah dalam perkara agama tanpa bukti dan dalil yang sahih.

Sebaliknya, Islam mengajarkan bahawa manfaat dan mudarat hanya berada dalam kekuasaan Allah SWT, bukan ditentukan oleh semata-mata keyakinan seseorang terhadap sesuatu. Dalam ayat lain, Allah SWT menegaskan bahawa segala manfaat dan mudarat hanya datang daripada-Nya:

قُل لَّا أَمْلِكُ لِنَفْسِي نَفْعًا وَلَا ضَرًّا إِلَّا مَا شَاءَ اللَّهُ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat kepada diriku dan tidak pula (berkuasa) menolak kemudaratan kecuali apa yang dikehendaki Allah’.”

 (Surah al-A‘raf: 188)

Imam al-Tabari dalam tafsirnya menyebut: Allah SWT berfirman kepada Nabi-Nya, Muhammad SAW: Katakanlah, wahai Muhammad, kepada orang yang bertanya kepadamu tentang hari kiamat: “Bilakah waktunya?” – “(Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat atau menolak mudarat bagi diriku sendiri)” – yakni, aku tidak mampu mendatangkan manfaat kepada diriku sendiri, mahupun menolak mudarat daripadanya, kecuali apa yang Allah kehendaki untuk aku miliki daripada perkara itu, dengan Dia memberikan kekuatan dan pertolongan kepadaku. (Lihat Jami’ al-Bayan, 10/515)

Begitu juga, diriwayatkan daripada Abdullah bin Abbas RA bahawa Nabi SAW bersabda:

“يَا غُلَامُ، إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ، احْفَظِ اللَّهَ يَحْفَظْكَ، احْفَظِ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ، إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللَّهَ، وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ، وَاعْلَمْ أَنَّ الْأُمَّةَ لَوِ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ، لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ لَكَ، وَإِنِ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ، لَمْ يَضُرُّوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ، رُفِعَتِ الْأَقْلَامُ وَجَفَّتِ الصُّحُفُ.”

Maksudnya: “Wahai anak muda, aku akan mengajarkan kepadamu beberapa kalimat: Jagalah Allah, nescaya Dia akan menjagamu. Jagalah Allah, nescaya kamu akan dapati-Nya di hadapanmu. Jika kamu meminta, mintalah kepada Allah. Jika kamu meminta pertolongan, mintalah kepada Allah. Ketahuilah bahawa sekiranya seluruh umat berkumpul untuk memberikan suatu manfaat kepadamu, mereka tidak akan dapat memberikannya kecuali dengan sesuatu yang telah Allah tetapkan untukmu. Dan jika mereka berkumpul untuk mendatangkan mudarat kepadamu, mereka tidak akan dapat melakukannya kecuali dengan sesuatu yang telah Allah tetapkan atasmu. Pena-pena telah diangkat, dan lembaran-lembaran telah kering (telah ditetapkan segala ketentuan).”

Riwayat al-Tirmizi (2516)

Hadith ini jelas menunjukkan bahawa manfaat dan mudarat bukanlah hasil daripada keyakinan seseorang terhadap sesuatu, tetapi ia sepenuhnya bergantung kepada ketetapan Allah SWT.

Begitu juga, hadith ini bermaksud, jika engkau memohon suatu keperluan, maka janganlah meminta kecuali kepada Allah SWT, jangan sekali-kali meminta kepada makhluk. Seandainya engkau meminta sesuatu kepada makhluk yang ia mampu memberikannya, maka ketahuilah bahawa itu hanyalah sebagai perantara semata, sedangkan yang berkuasa mewujudkan sebab itu ialah Allah SWT. Jika Allah SWT berkehendak, Dia boleh menghalangnya daripada memberikan apa yang engkau minta. Oleh itu, bersandarlah hanya kepada Allah Azza wa Jalla. (Lihat Syarh al-Arba‘in al-Nawawiyyah, hlm. 225)

Begitu juga, sesiapa yang meyakini bahawa sesuatu itu boleh memberi manfaat atau mudarat kepadanya, maka keyakinan itu akan mendorongnya untuk bertindak atau meninggalkan sesuatu perbuatan, serta menggerakkannya ke arah itu. Jika keyakinan itu benar, maka manfaat akan diperoleh dan mudarat akan terhindar, sekiranya tidak ada halangan yang menghalangnya. Namun, semata-mata meraih manfaat daripada sesuatu perbuatan atau mengalami mudarat daripadanya tidaklah semestinya menjadikan manfaat atau mudarat itu benar-benar wujud. Ini hanyalah dakwaan sebahagian orang kafir yang jahil, yang mengatakan: “Jika seseorang berbaik sangka terhadap batu, maka batu itu akan memberi manfaat kepadanya.” Mereka menjadikan manfaat daripada sesuatu perkara bergantung kepada sangkaan terhadap manfaatnya.

Orang musyrik juga meyakini adanya manfaat daripada berhala, sedangkan Allah SWT telah berfirman tentangnya: يَدْعُو لِمَنْ ضَرُّهُ أَقْرَبُ مِنْ نَفْعِهِ “Dia menyeru kepada sesuatu yang mudaratnya lebih dekat daripada manfaatnya.” (Surah al-Hajj: 13). Maka, apabila seseorang meyakini bahawa sesuatu perbuatan itu diperintahkan sama ada sebagai anjuran yang mendapat pahala seperti ibadah sunat, atau sebagai kewajipan yang jika ditinggalkan akan dikenakan hukuman seperti perbuatan maksiat, atau dia meyakini bahawa Allah SWT telah melarangnya, maka keyakinannya itu berkaitan dengan sifat perintah dan larangan Allah SWT. (Lihat Majmu’ Fatawa, 19/146-147)

Hal ini jelas menunjukkan bahawa beriktikad terhadap sesuatu boleh memberi manfaat atau mudarat tidak menjadikannya benar, melainkan jika keyakinan tersebut selaras dengan hakikat dan hukum Allah SWT. Hal ini berkait dengan konsep bahawa manfaat dan mudarat hanya berada dalam kekuasaan Allah SWT, bukan dalam sesuatu objek atau amalan secara mutlak. Orang musyrik dahulu mempercayai bahawa berhala dapat memberikan manfaat atau menolak mudarat, sedangkan Allah SWT menegaskan bahawa keyakinan ini adalah batil. Ini sejajar dengan hadith-hadith yang melarang kepercayaan terhadap tangkal, azimat, atau benda-benda lain sebagai pemberi manfaat dan pelindung mudarat.

Justeru, keyakinan seseorang terhadap sesuatu tidak serta-merta menjadikan sesuatu itu berkuasa memberi manfaat atau mudarat. Keyakinan tersebut perlu selari dengan hakikat tauhid dan syariat Islam, bukan sekadar berdasarkan perasaan atau sangkaan semata-mata.

Seorang hamba, meskipun telah diberikan kedudukan, kekuatan, dan kekuasaan, tetap tidak berdaya dan lemah dalam mendatangkan manfaat serta menolak bahaya daripada dirinya sendiri. Oleh sebab itu, dia wajib meminta pertolongan kepada Allah SWT semata-mata untuk kebaikan agamanya dan dunianya. Sesiapa yang ditolong oleh Allah SWT, dialah orang yang benar-benar mendapat pertolongan dan taufik, manakala sesiapa yang dihinakan-Nya dan dibiarkan sendirian, maka dialah orang yang rugi dan bangkrut.

Maka, setiap Muslim wajib memohon pertolongan kepada Allah SWT untuk mentaati-Nya dan meninggalkan maksiat kepada-Nya, serta memohon pertolongan untuk bersabar terhadap segala ketentuan-Nya dan memperoleh keteguhan hati pada hari pertemuan dengan-Nya, iaitu pada hari di mana anak dan harta tidak lagi memberi manfaat. Allah SWT berfirman:

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ

Maksudnya: “Hanya kepada Engkau-lah kami beribadah dan hanya kepada Engkau-lah kami memohon pertolongan.”

(Surah al-Fatihah :5)

Rasulullah SAW bersabda:

اِحْرِصْ عَلَى مَا يَنْفَعُكَ ، وَاسْتَعِنْ بِاللهِ ، وَلَا تَعْجَزْ…

Maksudnya: “Bersungguh-sungguhlah terhadap apa yang bermanfaat bagimu, minta tolonglah kepada Allah, dan jangan lemah.”

Riwayat Muslim (15)

Rasulullah SAW pernah berwasiat kepada Mu‘az bin Jabal RA agar sentiasa berzikir selepas solat fardu lima waktu dengan membaca:

اللَّهُمَّ أَعِنِّيْ عَلَى ذِكْرِكَ وَ شُكْرِكَ وَ حُسْنِ عِبَادَتِكَ

“Ya Allah, bantulah aku dalam mengingati-Mu, mensyukuri-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik.”

Riwayat Abu Dawud (1522), al-Nasaie (3/53), Ahmad (5/245), dan al-Hakim (1/273; 3/273).

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, dakwaan bahawa terdapat hadith berbunyi مَنْ اِعْتَقَدَ فِي شَيْءٍ نَفَعَهُ” merupakan hadith yang tidak ada asalnya dan tidak ditemui dalam mana-mana kitab hadith yang muktabar. Oleh itu, ia tidak boleh dijadikan sandaran dalam perkara akidah.

Bahkan hukum beriktiqad dengan sesuatu bahawa ia dapat mendatangkan manfaat atau mengelakkan kemudaratan adalah haram. Islam menegaskan bahawa manfaat dan mudarat hanya berada dalam ketentuan Allah SWT, bukan kerana sekadar keyakinan seseorang terhadap sesuatu perkara. Dalil-dalil al-Quran dan hadith sahih menunjukkan bahawa segala sesuatu hanya berlaku dengan izin dan kehendak Allah SWT. Maka, adalah penting bagi umat Islam untuk berpegang teguh kepada ajaran tauhid yang murni dan menjauhkan diri daripada kepercayaan yang tidak berasaskan dalil sahih.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

بِسْمِ اللهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya: “Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudaratan di bumi mahupun di langit. Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”