Soalan:
Assalamualaikum. Saya ingin bertanya mengenai hadith “Berpuasalah, nescaya kamu akan sihat”yang sering dikaitkan dengan Nabi SAW. Apakah status hadith ini? Mohon penjelasan dengan perincian sanadnya.
Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga hari kiamat.
Terdapat hadith yang diriwayatkan yang menyatakan:
صُومُوا تَصِحُّوا
Maksudnya: “Berpuasalah, nescaya kamu akan sihat”
Hadith ini diriwayatkan melalui jalur, antaranya:
Hadith Pertama: Dari Abu Hurairah R.A
Diriwayatkan daripada beliau melalui jalur Muhammad bin Sulaiman bin Abi Dawud, yang memberitakan daripada Zuhair bin Muhammad, daripada Suhail bin Abi Salih, daripada bapanya, daripada Abu Hurairah secara marfu’, dengan lafaz:
اغْزُوا تَغْنَمُوا، وَصُومُوا تَصِحُّوا، وَسَافِرُوا تَسْتَغْنُوا
Maksudnya: “Berperanglah, nescaya kamu akan mendapat harta rampasan; berpuasalah, nescaya kamu akan sihat; dan mengembaralah, nescaya kamu akan menjadi kaya.”
Hadith ini diriwayatkan oleh:
- Al-‘Uqaili dalam al-Dhu‘afa’ al-Kabir (2/92),
- Al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Ausat (8/174),
- dan juga dalam Juz’ Ahadith Abi ‘Arubah al-Harrani (no. 45).
Al-Tabarani berkata: “Hadith ini tidak diriwayatkan daripada Suhail dengan lafaz ini kecuali oleh Zuhair bin Muhammad.” (Lihat al-Mu‘jam al-Ausat, 8/174)
Kritikan terhadap Perawi dalam Rantaian Sanad Ini:
- Muhammad bin Sulaiman bin Abi Dawud yang dikenali sebagai Bumah:
- Al-Nasa’i berkata: “Tidak mengapa dengannya.”
- Abu Hatim berkata: “Hadithnya munkar.”
- Sebagaimana dalam Tahzib al-Tahzib (9/200), hanya al-Nasa’i yang meriwayatkan daripadanya.
- Zuhair bin Muhammad, Abu al-Munzir al-Khurasani, wafat pada tahun 162H. Para ahli hadith berbeza pandangan mengenai beliau:
- Pendapat yang menganggapnya thiqah:
- Imam Ahmad berkata: “Thiqah.”
- Yahya bin Ma‘in berkata: “Salih, tidak mengapa dengannya.” Namun, beliau melemahkannya dalam riwayat Mu‘awiyah bin Salih daripadanya.
- Ya‘qub bin Syaibah berkata: “Seorang yang benar dan hadithnya baik.”
- Musa bin Harun berkata: “Saya berharap dia seorang yang benar.”
- Pendapat yang menganggapnya thiqah:
ii. Pendapat yang Mendhaifkannya
- Al-Nasa’i berkata: “Dha‘if.”
- Namun, di tempat lain beliau berkata: “Tidak mengapa dengannya.”
- Beliau juga menyatakan bahawa dalam riwayat ‘Amr bin Abi Salamah daripadanya terdapat riwayat-riwayat munkar.
- Al-Hakim Abu Ahmad berkata: “Dalam hadithnya terdapat beberapa riwayat munkar.”
- Ibn Hibban menyebutnya dalam kitab al-Thiqat, tetapi berkata: “Dia sering melakukan kesilapan dan bercanggah dengan perawi lain.”
- Abu Zur‘ah memasukkannya dalam senarai perawi yang lemah.
iii. Pendapat Ketiga, dan ia adalah pendapat yang Lebih Jelas dalam Keadaannya, iaitu terdapat perincian padanya
Pendapat ini menyatakan bahawa hadith yang diriwayatkan melalui jalur perawi Syam mempunyai unsur munkar, sama ada daripada Zuhair bin Muhammad sendiri atau daripada perawi yang meriwayatkan daripadanya. Namun, jika perawi dari Iraq yang meriwayatkannya, maka hadithnya sahih dan boleh diterima.
- Abu Bakr al-Athram berkata: Aku mendengar Abu ‘Abdillah (Imam Ahmad) menyebut tentang riwayat penduduk Syam daripada Zuhair bin Muhammad, lalu beliau berkata: “Mereka meriwayatkan daripadanya hadith-hadith munkar.” Kemudian beliau berkata kepadaku: “Adakah kamu menyangka Zuhair bin Muhammad yang mereka riwayatkan ini sama seperti Zuhair bin Muhammad yang diriwayatkan oleh sahabat-sahabat kami?” Lalu beliau menambah: “Adapun riwayat sahabat-sahabat kami daripadanya, maka ia lurus dan sahih, seperti riwayat ‘Abd al-Rahman bin Mahdi dan Abu ‘Amir – hadith-hadith mereka lurus dan sahih. Tetapi hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hafs al-Tanisi daripadanya, itu adalah batil dan palsu.”
- Imam al-Bukhari berkata: “Hadith yang diriwayatkan oleh penduduk Syam daripadanya adalah munkar, sedangkan hadith yang diriwayatkan oleh penduduk Basrah daripadanya adalah sahih.”
- Abu Hatim berkata:
- “Dia seorang yang dipercayai (محله الصدق), tetapi ingatannya lemah.”
- “Hadith yang diriwayatkan di Syam lebih munkar berbanding hadithnya di Iraq, kerana kelemahan hafalannya.”
- “Hadith yang diriwayatkannya daripada hafalannya mengandungi banyak kesalahan, sedangkan hadith yang diriwayatkan daripada kitabnya lebih baik.”
- Abu Ahmad Ibn ‘Adi berkata:
- “Mungkin penduduk Syam tersilap dalam meriwayatkan daripadanya, kerana jika hadith diriwayatkan oleh penduduk Iraq, ia lebih lurus dan boleh diterima.”
- “Aku berharap tidak ada masalah dengannya.”
- Al-‘Ijli berkata: “Tidak mengapa dengannya (لا بأس به), tetapi hadith-hadith yang diriwayatkan oleh penduduk Syam daripadanya tidak menyenangkan aku.”
(Lihat Tahzib al-Tahzib, 3/350).
Perincian mengenai keadaan Zuhair bin Muhammad ini juga merupakan pendapat yang dipegang oleh al-Hafiz Ibn Hajar. Beliau berkata: “Riwayat penduduk Syam daripadanya tidak lurus, maka ia menjadi lemah kerana sebab itu. Al-Bukhari meriwayatkan daripada Ahmad (Imam Ahmad) bahawa seolah-olah Zuhair yang diriwayatkan oleh penduduk Syam itu adalah orang lain. Abu Hatim pula berkata: ‘Dia meriwayatkan hadith di Syam daripada hafalannya, lalu banyak melakukan kesilapan.'” (Lihat Taqrib al-Tahzib, 1/316).
Al-Hafiz al-‘Iraqi dalam Takhrij al-Ihya’ (3/75) berkata: “Hadith ini diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Ausat dan oleh Abu Nu‘aim dalam al-Tibb al-Nabawi daripada Abu Hurairah dengan sanad yang lemah.”
Al-‘Uqaili berkata: “Tidak ada yang mengikutinya kecuali dari jalur yang lemah.”
Al-‘Iraqi dalam Takhrij Ihya’ ‘Ulum al-Din (3/87) juga mendha‘ifkannya.
Al-Saghani dalam al-Maudhu‘at (hlm. 50) menggolongkannya sebagai hadith palsu, dan pendapat ini turut diikuti oleh ramai ulama yang mengumpulkan hadith-hadith palsu.
Hadith Kedua: Daripada Ibn Abbas R.Anhuma
Hadith ini diriwayatkan oleh Ibn ‘Adi dalam al-Kamil fi al-Dhu‘afa’ (7/57), katanya: ‘Abd al-Rahman bin Muhammad bin ‘Ali al-Qurasyi menyampaikan kepada kami, beliau berkata: Muhammad bin Raja’ al-Sindi menyampaikan kepada kami, beliau berkata: Muhammad bin Mu‘awiyah al-Naisaburi menyampaikan kepada kami, beliau berkata: Nahshal bin Sa‘id menyampaikan kepada kami, daripada al-Dahhak, daripada Ibn Abbas R.Anhuma. dengan lafaz hadith yang telah disebutkan sebelumnya.”
Sanad ini sangat lemah disebabkan oleh Nahsyal bin Sa‘id, yang dituduh sebagai pendusta, sebagaimana disebutkan dalam kitab Tahzib al-Tahzib (10/479).
Hadith Ketiga: Daripada bin Abi Talib R.A
Diriwayatkan oleh Ibn ‘Adi dalam al-Kamil fi al-Du‘afa’ (2/357) melalui jalur berikut: “Husain bin ‘Abdullah bin Dhamirah bin Abi Dhamirah menyampaikan kepada kami, daripada bapanya, daripada datuknya, daripada Ali r.a., beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:
صُومُوا تَصِحُّوا
Maksudnya: “Berpuasalah, nescaya kamu akan sihat”
Sanad ini juga rosak dan tidak boleh diterima kerana Husain bin ‘Abdullah bin Dhamirah telah dikritik oleh para ulama hadith:
- Imam Malik menilainya sebagai pendusta.
- Abu Hatim berkata: “Hadithnya ditinggalkan (matruk), dia seorang pendusta.”
- Imam Ahmad berkata: “Dia tidak bernilai apa-apa.” (Lihat Lisan al-Mizan, 2/289).
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa hadith “Berpuasalah, nescaya kamu akan sihat” tidak sahih dalam mana-mana jalur riwayatnya, bahkan ada ulama’ hadith yang menilainya sebagai sangat dhaif atau palsu kerana perawi-perawi dalam sanadnya sama ada dikritik sebagai perawi lemah, banyak melakukan kesilapan, atau bahkan dituduh sebagai pendusta. Oleh itu, hadith ini tidak boleh dijadikan hujah dalam syariat Islam.
Walaupun sanad hadith ini bermasalah, ini tidak menunjukkan bahawa makna daripada hadith itu juga tidak sahih. Hal ini kerana, ilmu perubatan telah membuktikan bahawa puasa mempunyai banyak faedah pada kesihatan. Bahkan, sebahagian doktor menjadikan puasa sebagai salah satu cara untuk merawat penyakit. Selain itu juga, kebanyakan manusia tersilap dalam memahami konsep ibadah ini kerana mereka menyangka bahawa diwajibkan berpuasa adalah untuk mendapatkan faedah-faedah ini, sedangkan tujuan utama berpuasa adalah sebagai tanda pengabdian seorang hamba itu kepada Tuhannya selain itu meraih taqwa.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita kefahaman yang lebih jelas dalam memahami status sesuatu hadith. Semoga Allah SWT sentiasa memberi taufik dan hidayah kepada kita dalam mencari ilmu yang sahih dan bermanfaat. Amin.
Wallahua‘lam.