Soalan
Apakah dibolehkah menyentuh Mushaf al-Quran tanpa wudhu’?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Al-Quran adalah kalam tuhan sekalian alam yang diturunkan oleh Malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad SAW untuk hidayah bagi manusia semuanya.[1]
Syeikh Muhammad Ali al-Sobuni pula mendefinisikan: Al-Quran adalah Kalam Allah yang mukjizat yang diturunkan kepada penutup segala Nabi dan Rasul melalui Malaikat Jibril AS yang ditulis pada mashaf-mashaf yang dipindahkan kepada kita secara mutawatir dengan membacanya adalah ibadah bermula dengan surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah al-Nas.[2]
Membaca al-Quran merupakan amalan yang sangat dituntut di dalam Islam. Begitu juga, akan diberi pelbagai ganjaran dan kelebihan bagi sesiapa yang membaca al-Quran sepertimana hadith yang diriwayatkan oleh Muhammad bin Ka’ab al-Qurazi menyebut, aku mendengar daripada Abdullah bin Mas’ud RA berkata, Nabi SAW bersabda:
مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ
Maksudnya: Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitabullah (al-Quran) maka baginya satu kebaikan.[3]
Selain itu, di antara kelebihan membaca al-Quran ianya boleh memberi syafaat ketika pada hari kiamat kelak. Ini seperti hadith yang diriwayatkan ole Abu Umamah RA bahawa ia mendengar Nabi SAW bersabda:
اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ
Maksudnya: Bacalah al-Quran, kerana sesunggunhnya ia akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada sesiapa yang membacanya.[4]
Hukum Menyentuh al-Quran Ketika Berhadas
Dalam membincangkan perihal menyentuh al-Quran tanpa bersuci, sebahagian para ulama bersepakat bahawa menyentuh al-Quran atau mushaf adalah haram melainkan dalam keadaan seseorang itu suci daripada hadas kecil atau besar.[5]
Ini bertepatan dengan Firman Allah SWT:
لَّا يَمَسُّهُ إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ
Maksudnya: Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci.[6]
Imam Qurtubi menyebut di dalam kitabnya bahawa para ulama berbeza pendapat dalam hal menyentuh mushaf dalam keadaan tidak berwuduk, jumhur ulama melarang daripada menyentuhnya berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Amru bin Hazm RA. Dan ini merupakan pandangan mazhab Saidina Ali RA, Ibnu Mas’ud, Saad bin Abi Waqaz, Said bin Zaid, Ata’, al-Nakhai serta mazhab fuqaha’ daripada Malik dan Syafi’e.[7]
Pandangan Yang Membenarkan Menyentuh Mushaf Tanpa Wudhu’
Imam al-Syaukani menyatakan: “Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas, al-Sya’bi, dan sebilangan daripada mereka bahawa boleh bagi seorang yang berhadas untuk menyentuh Al-Quran.[8]
Ibnu Abbas R.Anhuma dalam menafsirkan ayat “لا يَمَسُّهُ إِلا الْمُطَهَّرُونَ” bermaksud: “Kitab yang ada di langit.”[9]
Ibn Kathir di dalam tafsirnya menyatakan: Al-Mutahharun adalah malaikat. Ini juga pendapat para sahabat dan kibar al-Tabi’in seperti: Anas, Mujahid, Ikrimah, Said bin Jubair, al-Dahak, Abu Sya’tha, Jabir bin Zaid, Abu al-Nahik, Abd al-Rahman bin Zaid bin Aslam, As Suddi dan lainnya.[10]
Imam al-Syaukani menukilkan beberapa pendapat berkenaan tafsiran al-Mutahharun: [11]
- Al-Wahidi berkata: “Kebanyakan Ahli tafsir mengatakan bahawa dhamir (kata ganti) tersebut dikembalikan kepada kitab al-maknun (lauh mahfuz), Hal ini bermaksud tidak ada yang menyentuh lauh mahfuz kecuali al-Mutahharun iaitu para malaikat.
- Ada juga yang menyatakan: malaikat dan para rasul daripada Bani Adam. (Tidak ada yang menyentuhnya) iaitu menyentuh secara hakiki (sebenarnya).
- Ada yang mengatakan: tidak ada yang menurunkannya kecuali al-Mutahharun. Dikatakan; tidak ada yang membacanya.
- Ada yang menafsirkan kitab al-maknun adalah al-Quran, maka dikatakan (tidak menyentuhnya kecuali al-Mutahharun) iaitu orang yang suci daripada hadas dan najis, ini merupakan pendapat Qatadah dan selainnya.
- Al-Kalbi pula berkata: “Orang-orang yang suci daripada kesyirikan.”
- Rabi’ bin Anas pula berkata: “Orang yang suci daripada dosa dan kesalahan.”
- Muhammad bin Al-Fadhl dan lainnya pula berkata: (tidak ada yang menyentuhnya) iaitu tidak ada yang membacanya kecuali al mutahharun, iaitu orang-orang yang mentauhidkan Allah.
- Al-Fara’ berkata: Tidak ada manfaat dan keberkatannya kecuali bagi al-Mutahharun, iaitu orang-orang beriman.
- Al-Husein bin Al Fadhl berkata: “Tidak ada yang mengetahui tafsirnya dan takwilannya kecuali orang yang disucikan oleh Allah daripada syirik dan nifaq.”
Syeikh Sayyid Sabiq juga dalam menafsirkan ayat ini juga berkata: “Ada pun firman Allah SWT: (Tidaklah menyentuhnya kecuali al-Mutahharun), maka menurut dhamir (kata ganti) mesti dikembalikan al-kitab al-maknun , iaitu lauh mahfuz, kerana ia lebih dekat. Al-Mutahharun adalah malaikat. Hal ini sebagaimana firmanNya:
فِي صُحُفٍ مُكَرَّمَةٍ * مَرْفُوعَةٍ مُطَهَّرَةٍ * بِأَيْدِي سَفَرَةٍ * كِرَامٍ بَرَرَةٍ
Maksudnya: “Di dalam kitab-kitab yang dimuliakan, yang ditinggikan lagi disucikan, di tangan para penulis (malaikat), yang mulia lagi berbakti.”[12]
Menurut Ibnu Abbas, al-Sya’bi, Al-Dahak, Zaid bin Ali, Muayyid Billah, Daud, Ibn Hazm, Hammad bin Abi Sulaiman: bahawa boleh bagi orang berhadas kecil menyentuh mushaf. Ada pun membacanya tanpa menyentuh, adalah boleh menurut kesepakatan ulama.”[13]
Ibn Hazm berkata: Membaca al-Quran, sujud tilawah, menyentuh mushaf serta berzikir. Dibolehkan kesemuanya sama ada dengan berwudhu atau tidak, dan boleh juga bagi orang yang berjunub dan haidh.[14] “Maka pada ayat ini, tidak terdapat hujjah (alasan) bagi mereka (untuk mengharamkannya), sebab di dalamnya tidak ada perintah, yang ada hanyalah pemberitaan (khabar). Allah Ta’ala tidaklah berfirman kecuali yang benar. Dan, tidak boleh mengubah lafaz khabar (berita) kepada makna amr (perintah) kecuali ada dalil yang jelas atau ijma’ yang meyakinkan. Maka, ketika kami melihat ada orang yang suci dan tidak suci menyentuh mushaf, maka tahulah kami bahawa Allah SWT tidaklah memaksudkan itu adalah mushaf, melainkan itu adalah kitab yang lain.”[15]
Justeru, ini merupakan pandangan majoriti ahli tafsir sebagaimana yang dinyatakan oleh Abdullah bin Abbas R.Anhum ahli tafsir al-Quran seperti Said bin Jubair, Mujahid, dan Al-Dahak bahawa ayat tersebut membincangankan mengenai Lauh al-Mahfuz, dan al-Mutahharun ditafsirkan sebagai para malaikat.
Pandangan Yang Melarang Menyentuh Mushaf Tanpa Wudhu’
- Mazhab Al-Hanafiyah
Para ulama mazhab Al-Hanafiyah secara umumnya berpendapat bahawa tidak boleh menyentuh mushaf kecuali dalam keadaan berwudhu. Al-Kasani yang merupakan ulama’ mazhab Al-Hanafiyah menyatakan: Ada beberapa hukum yang berkaitan dengan hadas kecil iaitu tidak boleh bagi orang yang berhadas kecil melakukan solat kerana ketiadaan wudhu, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak sah solat kecuali dengan wudhu”, dan tidak boleh menyentuh mushaf Al Quran tanpa wudhu’ dalam mazhab kami. [16]
- Mazhab Al-Malikiyah
Para ulama mazhab Al-Malikiyah juga berpendapat bahwa tidak boleh bagi orang yang berhadas menyentuh mushaf al-Quran secara sengaja, sama ada secara langsung ataupun tidak langsung. Ibn Abd al-Barr yang merupakan ulama mazhab Al-Malikiyah menyatakan: Mushaf tidak boleh disentuh oleh siapa pun dengan sengaja baik secara langsung atau pun tidak kecuali dalam keadaan suci.[17]
- Mazhab al-Syafi’iyah
Imam al-Nawawi menyatakan: Haram bagi orang yang berhadas melakukan semua jenis solat, sujud, tawaf dan menyentuh mushaf.[18]
Abu Ishaq al-Syirazi berkata: Diharamkan atas orang yang berhadas menyentuh mushaf, kerana firman Allah SWT: “Tidak ada yang menyentuhnya kecuali orang-orang yang suci.” Juga riwayat Hakim bin Hizam RA, bahawa Nabi SAW bersabda: “Janganlah menyentuh Al Quran kecuali jika kamu suci.” Dan diharamkan juga atasnya membawanya di lengan bajunya, sebab jika si Fulan diharamkan menyentuhnya, maka membawanya juga diharamkan.[19]
Ibnu Hajar Al-Haitami pula menyatakan: Haram bagi seseorang yang sedang berhadas melakukan solat secara ijma’ dan perkara yang seumpamanya seperti sujud tilawah, sujud syukur, khutbah jumaat, solat jenazah, tawaf sekalipun ia sunat seperti terdapat dalam hadith, dan membawa mushaf, menyentuh kertasnya, hasyiahnya serta kulit yang bersambung dengannya.[20]
Pengarang Kitab al-Fiqh al-Manhaji menyatakan: Menyentuh mushaf, membawanya, atau menyentuh lembarannya, atau kulitnya, atau membawanya di dalam poket ataupun kotaknya. Allah SWT berfirman: “Tidak ada yang menyentuhnya kecuali orang-orang yang suci.” Nabi SAW bersabda: “Tidak boleh menyentuh Al Quran kecuali seorang yang suci.”[21]
- Mazhab Al-Hanabilah
Ibn Qudamah menyatakan: Tidak boleh menyentuh mushaf kecuali dalam keadaan suci, suci dari hadas kecil dan besar.[22]
Abu al-Abbas Ibn Taimiyyah juga menyatakan: Mazhab imam empat adalah tidak boleh menyentuh mushaf kecuali dalam keadaan suci sebagaimana tertulis dalam surat Rasulullah SAW yang dikirim kepada ‘Amar bin Hazm: “bahawa tidaklah seseorang menyentuh mushaf kecuali dalam keadaan suci.[23]
Syeikh Wahbah al-Zuhaili pula menyatakan bahawa menyentuh mushaf termasuk larangan bagi orang yang berhadas kecil). Katanya: “Kerana memuliakan al-Quran adalah wajib, dan bukanlah sikap memuliakan jika menyentuh al-Quran dengan tangan dalam keadaan berhadas.”[24]
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa menyentuh mushaf al-Quran mestilah dengan berwudhu’ sebagaimana pegangan daripada 4 mazhab yang utama. Malah ia merupakan satu penghormatan kepada al-Quran dan satu perbuatan yang mulia sebagaimana yang disebut oleh Syeikh Wahbah al-Zuhaili: Menyentuh mushaf termasuk larangan bagi orang yang berhadas kecil kerana memuliakan al-Quran adalah wajib, dan bukanlah sikap memuliakan jika menyentuh al-Quran dengan tangan yang berada dalam keadaan berhadas.”[25]
Bahkan, di dalam Buku Garis Panduan Pembuatan, Pengendalian, Penjualan Dan Pelupusan Bahan-bahan Penerbitan Dan Perhiasan Yang Mengandungi Ayat-ayat Suci Al-Quran menyebut: Bagi menyentuh dan membawa mashaf al-Quran yang lengkap, pengendali hendaklah mempunyai wudhu’ serta tidak berhadas besar kecuali Al-Quran dalam format cakera optik seperti CD, Brail dan paparan skrin telefon bimbit.[26]
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Bertarikh: 3 April 2022 bersamaan 1 Ramadhan 1443H
The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.
[1] Lihat al-Quran wa I’jazuhu al-‘Ilm, hlm. 2
[2] Lihat al-Tibyan fi ‘Ulum al-Quran, hlm. 8
[3] Riwayat al-Tirmizi (2910)
[4] Riwayat Muslim (804)
[5] Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Quwaitiyyah, 37/276
[6] Surah al-Waqiah: 79
[7] Lihat Tafsir al-Qurtubi, 17/226
[8] Lihat Fath Qadir, 7/137
[9] Lihat Tafsir Ibn Kathir, 7/544
[10] Ibid
[11] Lihat Fath al-Qadir, 7/137
[12] Surah ‘Abasa: 13-16
[13] Lihat Fiqh al-Sunnah, 1/57
[14] Lihat Al-Muhalla bi al-Ahsar, 1/94
[15] Ibid, 1/83
[16] Lihat Badai’ al-Sanai’ fi Tartib al-Syara’i, 1/33
[17] Lihat Al-Kafi fi Fiqhi Ahl al-Madinah, 1/172
[18] Lihat Raudhah al-Talibin wa Umdah al-Muftiyyin, 1/79
[19] Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi’i, 1/53-54
[20] Lihat Al-Minhaj Al-Qawim, hlm. 38
[21] Lihat al-Fiqh al-Manhaji ‘Ala Madzhab al-Syafi’i, 1/76
[22] Al-Mughni, jilid 1 hal. 108
[23] Lihat Majmu’ Al-Fatawa, 21/266
[24] Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 1/394.
[25] Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 1/394.
[26] Lihat Garis Panduan Pembuatan, Pengendalian, Penjualan Dan Pelupusan Bahan-bahan Penerbitan Dan Perhiasan Yang Mengandungi Ayat-ayat Suci Al-Quran JAKIM, hlm. 7